Kalamullah

Kalamullah

Sunday, April 29, 2012

Back to Basics



Apabila manusia bertanya, kemanakah kita ingin membawa dakwah kita ini, maka pantas kita akan mampu menjawab, kita ingin mengembalikan manusia seluruhnya kepada Allah. Lantas persoalan yang paling asas akan terpacul keluar, sudahkah kita sendiri mampir kepada Allah Azza wa Jalla?

Kita terpekik dan terlolong menyeru manusia untuk memperlengkapkan diri mereka dengan tarbiyyah, kerana dakwa kita, tarbiyyah lah jalannya untuk mengembalikan Islam pada tempatnya. Maka kita pun mencanang-canangkan matlamat kita, mengislahkan seluruh jiwa manusia, semata-mata untuk meletakkan Islam kembali di tempatnya. Tapi persoalan asas, apakah kita sendiri mewajibkan diri kita dengan tarbiyyah?

Ini perkara asas. Tentang hubungan dengan Allah. Tentang tahap obses kita dengan Nya. Kita tidak mahu mengumpul robot-robot dakwah, yang sgt hebat kata-kata dan usaha dakwahnya, tapi apabila datang kepada soal hubungan dengan Allah, longlai. Lesu.

Jangan tersalah anggap, bukanlah bermaksud kita ingin melahirkan rahib yang asyik bercucuran air matanya. Tidak, kita bukan ingin melahirkan orang yang asyik beribadah di atas tikar sembahyang. Kita ingin lahirkan singa dan pahlawan. Tapi bukan sebarang singa dan pahlawan, sebaliknya singa dan pahlawan yang rendah diri, tunduk dan takut kepada Allah SWT, tidak sanggup bersenang dan berehat tatkala dia dan penciptanya belum berhubung. Kita ingin lahirkan penggerak yang merupakan hasil tarbiyyah, yang terserlah kekuatan ruhiyyahnya, dek teramat rapat hubungannya dengan Allah.

Ya, yang kita inginkan ialah Seorang Pahlawan di siang hari, tapi dimalamnya dia bertukar menjadi rahib yang tidak senang tidur tanpa tahajjud dan air mata. Pahlawan yang gagah dan tidak gentar dengan mana-mana musuh, tapi pada malamnya seolah anak kecil yang teresak-esak menangis mengenangkan dosa yang yang baginya bertimbun.

Apakah ciri ini terlampau ideal dan mustahil...????

Orang yang berkata sedemikian rupa, seolah berkata untuk Islam kembali mentadbir alam adalah sesuatu yang mustahil. Orang yang merasakan produk sedemikian tidak boleh dihasilkan, adalah orang yang belum melalui proses tarbiyyah yang asli. Kerana produk tarbiyyah, adalah singa yang amat ganas disiangnya, tapi malamnya diisi dengan tangisan sayu dan air mata. Dengan rijal sebeginilah, baru kita akan dapat menunjukkan kepada seluruh dunia, apakah manhaj Islam sebenar. Kerana produk seperti ini amat istimewa, amat dahsyat. Dengan produk seperti inilah baru kita mampu untuk melaksanakan projek mega dan rancangan besar kita. Untuk mendapatkan Ustadziatul Alam!

Orang yang mewajibkan dirinya dengan aktiviti dakwah, yang rancak dengan metodologi dan teori dakwahnya, yang hebat dalam usrahnya, tersusun program da'winya, tetapi apabila datang soal hubungan dengan Allah, soal qiyamulail, soal tilawatul Quran, dia lesu, maka dia tidak sejahtera pembentukannya..!!

Orang yang mewajibkan dirinya pada tilawah, tadarus, qiyam dan puasa, tapi apabila datang soal DF, soal pengorbanan masa dan tenaga, soal berfikir tentang mutarabbinya, tentang halaqah, usrah dan program tarbiah, dia berasa malas dan tidak berminat, maka dia juga tidak sejahtera pembentukannya..!!

Jadi ayuh ikhwati fillah.

Perkemaskan tarbiyyah diri kita. Sempurnakan muwasofat kita. Kerana ini semua adalah pembantu kita dalam menanggung bebanan dakwah yang sangat besar ini. Kita bukan ingin menjadi orang yang biasa-biasa. Sebaliknya kita ingin menjadi orang yang luar biasa. Orang yang bukan sahaja mampu menyala-nyala dalam arena da'winya, tapi juga bekobar dalam tarbawinya.

Wallahua'lam

MA,
London

2 comments:

  1. ...mulakan harimu dengan dirimu...(erk?)

    mampir pun boleh ;)

    ReplyDelete
  2. Che Ann! :)

    Jom jadi macam orang-orang soleh terdahulu, merasakan dosa yang kecil umpama gunung-ganang yang besar, lantas berderulah air mata disisip rasa malu pada Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Mengampuni.
    T_T

    Joomm!

    *bahasa Indonesia macam ada bahan letupan. Baca buku tulisan sana macam berderau darah semua. hehehe. Haruslah Mampir mcm tu!

    ReplyDelete