Kalamullah

Kalamullah

Sunday, April 29, 2012

Back to Basics



Apabila manusia bertanya, kemanakah kita ingin membawa dakwah kita ini, maka pantas kita akan mampu menjawab, kita ingin mengembalikan manusia seluruhnya kepada Allah. Lantas persoalan yang paling asas akan terpacul keluar, sudahkah kita sendiri mampir kepada Allah Azza wa Jalla?

Kita terpekik dan terlolong menyeru manusia untuk memperlengkapkan diri mereka dengan tarbiyyah, kerana dakwa kita, tarbiyyah lah jalannya untuk mengembalikan Islam pada tempatnya. Maka kita pun mencanang-canangkan matlamat kita, mengislahkan seluruh jiwa manusia, semata-mata untuk meletakkan Islam kembali di tempatnya. Tapi persoalan asas, apakah kita sendiri mewajibkan diri kita dengan tarbiyyah?

Ini perkara asas. Tentang hubungan dengan Allah. Tentang tahap obses kita dengan Nya. Kita tidak mahu mengumpul robot-robot dakwah, yang sgt hebat kata-kata dan usaha dakwahnya, tapi apabila datang kepada soal hubungan dengan Allah, longlai. Lesu.

Jangan tersalah anggap, bukanlah bermaksud kita ingin melahirkan rahib yang asyik bercucuran air matanya. Tidak, kita bukan ingin melahirkan orang yang asyik beribadah di atas tikar sembahyang. Kita ingin lahirkan singa dan pahlawan. Tapi bukan sebarang singa dan pahlawan, sebaliknya singa dan pahlawan yang rendah diri, tunduk dan takut kepada Allah SWT, tidak sanggup bersenang dan berehat tatkala dia dan penciptanya belum berhubung. Kita ingin lahirkan penggerak yang merupakan hasil tarbiyyah, yang terserlah kekuatan ruhiyyahnya, dek teramat rapat hubungannya dengan Allah.

Ya, yang kita inginkan ialah Seorang Pahlawan di siang hari, tapi dimalamnya dia bertukar menjadi rahib yang tidak senang tidur tanpa tahajjud dan air mata. Pahlawan yang gagah dan tidak gentar dengan mana-mana musuh, tapi pada malamnya seolah anak kecil yang teresak-esak menangis mengenangkan dosa yang yang baginya bertimbun.

Apakah ciri ini terlampau ideal dan mustahil...????

Orang yang berkata sedemikian rupa, seolah berkata untuk Islam kembali mentadbir alam adalah sesuatu yang mustahil. Orang yang merasakan produk sedemikian tidak boleh dihasilkan, adalah orang yang belum melalui proses tarbiyyah yang asli. Kerana produk tarbiyyah, adalah singa yang amat ganas disiangnya, tapi malamnya diisi dengan tangisan sayu dan air mata. Dengan rijal sebeginilah, baru kita akan dapat menunjukkan kepada seluruh dunia, apakah manhaj Islam sebenar. Kerana produk seperti ini amat istimewa, amat dahsyat. Dengan produk seperti inilah baru kita mampu untuk melaksanakan projek mega dan rancangan besar kita. Untuk mendapatkan Ustadziatul Alam!

Orang yang mewajibkan dirinya dengan aktiviti dakwah, yang rancak dengan metodologi dan teori dakwahnya, yang hebat dalam usrahnya, tersusun program da'winya, tetapi apabila datang soal hubungan dengan Allah, soal qiyamulail, soal tilawatul Quran, dia lesu, maka dia tidak sejahtera pembentukannya..!!

Orang yang mewajibkan dirinya pada tilawah, tadarus, qiyam dan puasa, tapi apabila datang soal DF, soal pengorbanan masa dan tenaga, soal berfikir tentang mutarabbinya, tentang halaqah, usrah dan program tarbiah, dia berasa malas dan tidak berminat, maka dia juga tidak sejahtera pembentukannya..!!

Jadi ayuh ikhwati fillah.

Perkemaskan tarbiyyah diri kita. Sempurnakan muwasofat kita. Kerana ini semua adalah pembantu kita dalam menanggung bebanan dakwah yang sangat besar ini. Kita bukan ingin menjadi orang yang biasa-biasa. Sebaliknya kita ingin menjadi orang yang luar biasa. Orang yang bukan sahaja mampu menyala-nyala dalam arena da'winya, tapi juga bekobar dalam tarbawinya.

Wallahua'lam

MA,
London

Monday, April 16, 2012

Sekeping Memori



Usia.
Semakin panjang, semakin banyak memori yang ditinggalkan.

Dan sungguh aku bersyukur
Dalam sujudku yang tak seberapa
Sungguh aku terlalu amat menghargai
Pengalaman yang Kau susunkan untukku
Dalam perjalanan di negara yang bakal kutinggalkan ini

Oh, mustahil rasanya untuk dilenyapkan pengalaman dan kenangan ini
Terasa seolah dari 'kecil' hingga 'kini', inilah kota yang menjadi saksi
Tarbiyyah Illahi yang mendidikku
Menghargai, Bersabar, Berani, Bekorban, Kasih-Sayang

Tuhan, aku merayu agar tarbiyah ini kekal
Hatiku pula senantiasa condong ke arahMu
Tidak sekali ia mengeras dan membatu
Dari menerima titipan cahaya

Ya Rabbi
Aku bakal melangkah meninggalkan bumi yang penuh memori ini
Entah kenapa, sebaknya sukar dibayang kata-kata
Kerana apa yang pernah berlaku disini, hanya Engkau peneman setia
Duka lara, bahagia gembira
Tiada kalimah yang sesuai menceritkan liku perjalananku disini

Moga bumi ini menjadi saksi
dan segala makhluk diatasnya
Rerumput, pepohon, kawanan burung
Semuanya mendoakan
Agar aku mampu tsabat
Biarpun di bumi yang lain

Aku serahkan seluruh jiwaku untukMu
Dan aku serahkan seluruh kehidupanku untukMu
Dalam penuh pengharapan

"Jazaa uhum indarabbihim Jannatu Adnin Tajri min Tahtihal Anhar... Khalidinafiha.. Rodhi Allahu anhum wa Rodhu An.. Zalika liman Khoshi Ya Rabbah"

Aamin.

MA,
Germany

Friday, April 13, 2012

Menjadi Ghuraba'



Ar-Rasul dan Para sahabat, pada era permulaan dakwah, mendapat tentangan yang tidak putus-putus. Ada sahaja yang mengejek, mengeji, menghina dan mencerca mereka. Ada yang diseksa, hinggakan ada yang syahid dalam mempertahankan aqidahnya.

Mereka pada waktu itu, adalah ghuraba'. Asing. Berbeza sekali dengan yang lainnya.

Hidup mereka berbeza dengan hidup manusia lain. Matlamat mereka berbeza. Cara mereka menjalani kehidupan mereka berbeza. Cara mereka bergaul berbeza. Cara mereka bekerja berbeza. Pendek kata, semuanya berbeza, lagaknya umpama harimau belang disekalikan dengan sang singa. walau dari jauh, sudah cukup untuk teserlah perbezaannya.

Pasti terpacul persoalan, bagaimana perbezaan ini boleh berlaku selepas keislaman. Sedangkan, sebelum datangnya Islam, mereka sama sahaja. Sama-sama menanam anak perempuan. Sama-sama meminum arak. Sama-sama mengamalkan riba', sama-sama menyembah berhala. Tapi meresapnya iman dalam jiwa musabiqun al-awwalun(golongan² awal) ini, telah menukar secara total, dari kepercayaan, pemikiran, hinggalah kepada perilaku mereka. (rujuk analogi bola besi)



Itu kisah mereka. Kisah mereka menjadi berbeza daripada sekeliling. Kisah mereka melawan arus, menolak keinginan sendiri semata-mata untuk menjadi seperti yang dimaksudkan Al-Quran. Mereka tidak lagi menjadi orang yang mengikut atas sebab ingin ''bersama'' majoriti. Mereka bukan jenis pengecut yang takut kalau orang lain tidak boleh menerima mereka. Mereka adalah ghuraba' yang berani dan jelas dengan pendirian sendiri.

Bagaimana pula kisah kita? Sudahkah kita menjadi ghuraba'?

Atau kita ini, hanyalah orang yang mengikut-ikut sahaja. Hanya orang yang tidak mahu menjadi berbeza, takut dipandang pelik, tidak mahu ditinggalkan sahabat dan teman. Kita tidak bertindak berdasarkan kefahaman. Kita tidak mempunyai reaksi. Tidak mempunyai pendapat. Yang ada, hanya perasaan dan pendapat orang lain.

Adakah setelah sampainya kefahaman dan kesedaran Islam itu, kita berani untuk tampil ke hadapan, mengambil segala risiko, melawan segala kemungkinan, dan akhirnya kita pun terus membuat keputusan dan melangkah ke hadapan.

Adakah apabila kita sedar, ummat pada hari ini tenat, maka kita bersedia menjadi ''doktor''nya.
Terus kita tawarkan ''rawatan'' buat pesakitnya. Kitalah yang perlu mencari ''pesakit'' ini, dan memberi ''ubatan'' yang sesuai dengannya. Kita lah yang perlu mewujudkan kesedaran pada masyarakat, ''penyakit'' ini boleh diubati, dan caranya ada dengan kita. Kita lah yang perlu lakukan semua ini, apabila kita sedar dan faham kewajipan yang ada pada kalimah syahadah yang kita agungkan.

Dan apabila kesedaran ini timbul, maka segala alasan penerimaan orang lain, pandangan dan skeptik, segala ragu-ragu yang pernah wujud, semuanya akan lesap, semuanya akan ditelan dan dicincang habis sehingga hilang. Kerana perasaan tanggungjawab itu jauh lebih besar daripada segala yang lain.

Sungguh, Islam itu datang dalam keadaan yang Asing.
Dan akan kembali dalam keadaan yang Asing.
Maka beruntunglah orang² yang Asing.

Jom! Jangan tunggu² lagi! Mulakan langkahmu sekarang!



Tuesday, April 10, 2012

Dosa yang terkumpul



Antara ciri hati yang tidak mampu untuk menggerakkan sebuah jasad, walaupun ia sudah mempunyai kesedaran dan kemahuan untuk beramal, namun senantiasa berasa lemah dan longlai, ialah hati yang padanya terkumpul bergunung-ganang dosa.

Dan dosa itu tidak semesti asalnya dari perbuatan, boleh sahaja ia datang dari lintasan hati. Dari perasaan, dari tanggapan, dan dari dzhon. Mungkin sahaja, perkara sebeginilah yang menjadi punca jatuhnya seseorang itu ke lembah Jahannam, atas kerana Nabi sendiri sahaja pernah bersabda,
"Tidak akan masuk syurga sesiapa yang ada dalam hatinya walau sebesar zarah sifat takabbur" (riwayat muslim)
Dan maksud takabbur itu, adalah menolak kebenaran dan merendah-rendahkan manusia lain. Maka boleh sahaja jadi, seorang aktivis yang penat berdakwah, namun dalam hatinya senantiasa terlintas dia-lah yang paling betul pekerjaannya. Dia-lah paling baik amalannya, dan orang lain semuanya cacat cela, dan mustahil untuk dirinya menerima teguran atau pandangan manusia yang lain.

Walau telah datang kebenaran kepadanya, hatinya akan tergerak-gerak mencari alasan, mencari istilah dan hujah untuk menolaknya. Kerana bagi dirinya, tidak boleh kalau dia salah, dan orang lain betul. Dia sukar menerima hakikat itu. Dan lalu, dia tersungkur dengan ego dan takabburnya..

Dosa ini terkumpul, menggunung ganang, malah mungkin sahaja melangit. Hitamnya usahkan dibasuh tidak hilang, malah seandainya dileburkan hati itu, kerak dosa itu seakan mustahil untuk lesap. Ia akan kekal disana. Maka tidak hairanlah, kita yang bergelar daie ini pun, semangatnya lesu, badannya lemah, jiwanya kering, tidak mampu mentarbiyyah, jauh sekali menyediakan barisan mujahid yang sanggup mengorbankan segala-galanya.

Mutarabbi yang cuba dibinanya bermasalah, tidak berdisiplin, malah bertambah lesu dan longlai. Dia hairan, apa kekurangan yang ada pada manhaj yang diserunya? Apakah cara penyampaiannya tidak cukup sesuai? Ataupun, mutarabbinya memang bukan anasir taghyir yang mampu menggegarkan dunia?

Pada saat itu, kita mula merungut. Menyalahkan prasarana, mensabitkan kelemahan manusia lain, menuding pada cacatnya struktur. walhal, akar pada semua ini, kitalah yang tidak cukup SABAR. Tidak mampu berlapang dada, dan akhirnya mula merendahkan manusia lain. Merasakan cara kita-lah yang paling tepat, paling muntij dan paling patut dilaksanakan. Walhal, kita ini terlampau cetek amalnya, jauh sekali pengalaman dan kefahaman. Mula lah dengan berlapang dada, itu kunci ukhuwah dan harakah ini.

Tatkala kita mula bercelaru dalam penerimaan kita dengan manusia lain, pada saat itulah, kita mula menidakkan kehambaan kita denganNya. Akhirnya, kita lah yang akan tersingkir dek lesu dan longlainya ruhiyy dan obses pada dakwah ini...

Kata kuncinya: SABAR. SABAR. dan SABAR.

Moga Allah pelihara.




Tuesday, April 3, 2012

Bila dipandu bayang-bayang



Alhamdulillah.
Hari ini Allah berikan aku kesempatan untuk membaca satu kisah untuk dijadikan iktibar.
Satu kisah yang ternyata menggegarkan jiwa, membasahkan hati.
Yang mengajar erti, kesungguhan.

Sungguh, bila dibaca, aku berasa kerdil.
Oh Tuhan, sucikanlah hati ini, sedang ternyata ia dipenuhi kotoran dan karatan yang maha berat.
Aku memang punya cita-cita. Tapi sayangnya aku dipandu gelojoh, nafsu dan perasaan.
Oh, apakah aku penyusah dakwah selama ini?

Banyak sekali kesusahan orang lain yang tidak kuperhati. Banyak sekali pengorbanan orang lain yang tidak aku hargai. Tapi, aku cukup mahu dihargai.
Oh Tuhan, apakah masih wujud kemahuan duniawi dalam diri ini?
Masih punya ghoyah selainMu?

Setiap daie ada cabaran dan ujian dalam medan tersendiri.
Tapi mengapakah aku kerap merungut sendiri dengan masalah yg dihadapi?
Bukankah masa juga merupakan tarbiyyah diri?

Bila membaca kisah pengalaman orang lain, yang ternyata lahir dari hati yang bersih, kita akan sedar, kita masih bertatih. Masih terlalu banyak yang perlu dipelajari.
Hai hati, kenapa kau mesti mencengkung dan hitam?
Oh Tuhan, jadikanlah pengajaran hari ini, sesuatu yang bisa meruntuhkan segala kebobbrokan yang telah lama mendiam dalam diri ini.

Aku terlalu lama dipandu bayang-bayang, menyangka itulah tempat tuju utama.

-draft pada summer 2010. Oh rindunya jiwa yang basah itu!
*SubhanaAllah, terus teringat kembali kisah lalu~~



Sunday, April 1, 2012

Terus dan terus lagi!



Dakwah ini adalah satu misi, satu cita-cita dan satu impian. Kita bukannya ingin semata-mata menjadi salah seorang pendakwah. Bukan setakat itu. Sebaliknya, seorang yang obses dengan syurga dan keredhaan Allah, akan punya irodah(keinginan) yang mengatasi keinginan orang-orang biasa. Mereka punya visi yang cukup besar, punya ufuk pandang yang cukup jauh. Dan mereka-lah, yang bisa menyinar lebih dari yang selainnya, lantas terus menjadi yang paling depan untuk beroleh rahmah dan maghfirahnya.

Ya, kita hendak menjadi daie yang terbaik.
Sepertimana keinginan kita menjadi pelajar terbaik.
Sepertimana juga keinginan kita menjadi pekerja terbaik.
Sepertimana juga keinginan kita menjadi seorang jutawan paling kaya.

Di mana obsesi kita untuk dakwah?

Kita dulu pun, pernah punya irodah yang cukup mengagumkan. Jika tidak, tentulah kita tak akan dapat biasiswa dan scholarship yang ada sekarang nih. Dalam kebanyakan pelajar yang bijak dan pandai semuanya, kitalah yang punya obsesi yang lebih besar, hinggakan kita sertai kelab-kelab, persatuan, permainan, pertandingan, dan segala macam aktiviti kokurikulum yang lain, untuk membuktikan kita ini lebih bercahaya daripada pelajar-pelajar biasa. Ya, kitalah yang lebih ke depan. Dulu pasti sahaja kita merasakan, dalam arena study kita, kita-lah yang paling berjaya, tidak ada sesuatu pun yang mustahil dalam pandangan kita. Semuanya boleh. Tak ada masalah. Susah bagaimanapun, kita merasakan dalam diri kita ini, ada kemampuan dan kekuatan untuk mengatasinya.

Tapi, setelah mengenal tujuan hidup dan kewajipan dakwah, di mana hilangnya sifat ini?

Apakah tarbiyyah hanya telah membantutkan kita?

Adakah dakwah menjadikan manusia lembik dan cincai?

Hohoho...

Percayalah, kekuatan itu ada dalam diri kita!
Hanya menunggu kunci yang bisa membuka segala kehebatan tersebut.

Didik lah jiwa, jangan manjakannya.
Hidup ini medan perjuangan, tempat nak berhempas-pulas.
Akhirat nanti kan dah ada untuk kita menikmati semuanya.
Biarlah tubuh kita terluka, badan lebam serba serbi, tidur tak cukup, dan sebagainya.
Kerana ni'mat mendekati Allah dengan ruh yang tenang itu, sungguh memang tiada bandingan dan misalannya.

jadi, Ayuh....!
Terus dan terus lagi