Kalamullah

Kalamullah

Thursday, April 29, 2010

Sang Ghulam, dan balingan batunya.



Masihkah anda ingat akan hadis tentang Si Ghulam?
Ya, tentang budak terpilih, menjadi ahli sihir kabalah di negeri Aden.
*berdasarkan fiksyen karangan ustaz Maszlee*
Tapi, kuasa tuhan, dia juga dipilihNya, menjadi pewaris nabi, menyampaikan risalah suci.
Dibukakan Basirahnya, melihat alam dengan iman dalam dada.

Dan ini, semuanya persis, kehidupan kita hari ini.

Terpilih, mendukung harapan tinggi, konon mendalami ilmu dunia.
Supaya nanti kan jadi permata bangsa dan negara, menjunjung kemajuan dan kesejahteraan.
Persis, sama dan tidak berbeza, dengan kisah Si Ghulam, harapan ibu, dipandang tinggi masyarakat, setelah terpilih menjadi murid Si Ahli Sihir.
-Kita, setelah terpilih menjadi murid di negara Inggeris.

Bila tiba masanya, ujian kan menjelma. Satu persatu. Sedikit demi sedikit, mengikut kadaran yang telah Allah tentukan. Kita tidak pernah dizalimi. Semuanya mengikut kapasiti.
Tapi, setiap ujian yang hadir bukan sekadar ujian yang biasa.
Tapi, ujian menguji tauhid. Menguji keimanan. Menguji keyakinan, kepada Tuhan.

Apakah bila wujud Makhluk besar yang menghalang jalan Si ghulam merungut dek tekanan?
Bahkan, dilihatnya sebagai peluang, membuktikan kepada masyarakat tentang kuasa tuhan.
Dibalingnya batu, dengan nama tuhan, mohon Allah berikan bantuan yang terbaik, untuk mengetuk pintu hati manusia yang memerhati.
Jangan kita lupa, aturan Tuhan tiada celanya. Sempurna, sesempurna angin yang tak dapat dijangkau mata.

Batu yang dibaling itu.

menjadi titik pembuktian kuasa tuhan.




Bukan sebelumnya tiada bukti yang nyata.
Tapi itu yang terbaik untuk membuka mata mereka yang masih terlena.
Itu pilihan tuhan sebagai wadah untuk bermadah dengan akal fikiran manusia.
Pada waktu senja membayangi mentari.
Saat Tauhid tidak dikenali, jauh sekali diimani.

Waktu itu, agama Allah dengan manhaj yang menurut sunnatullah,
akan melahirkan saat-saat penting untuk mengubah ummat.
Waktu itu, binatang besar yang terkena balingan batu si Ghulam, lari lintang pukang.
Sebagai bukti kepada manusia, buat pembuka jalan dakwah Ghulam.

Tapi.
Kalau binatang itu tidak lari.
Batu si Ghulam tidak kena.
Adakah petanda Ghulam tak perlu lakukan apa-apa?

Tidak.

Tuhan ada jalan2Nya untuk memberi petunjuk.
Ada cara2Nya membuka hijab kalbu.
Ada peristiwa2 yang sudah tersusun sempurna untuk menyengat iman.

Ya Allah.
Jadikanlah hati kami ini memahami
Bahawa hidup kami ini semuanya hanya aturanMu
dan setiap kejayaan, keberkesanan dan hasil yg diperoleh
adalah juga dariMu

Jadikanlah kami ridho
Menerima kegagalan
Berilah kami kefahaman
Bahawa agama ini adalah manhaj untuk manusia
Bukan kuasa ajaib yg memastikan kejayaan sentiasa

Berilah kami kesedaran dan kekuatan
Setiap kegagalan itu juga adalah kejayaan
Mendidik diri agar lebih sabar
Dan lebih bijak untuk menyempurnakan tugas amanahMu

Jadikanlah kami faqih
akan usaha yang kami lakukan
Adalah untukMu, dan hasilnya juga untukMu dan berjayanya juga untukMu
dan semuanya juga adalah dariMu.

Kami sudah membaling batu.
Sedaya yang kami mampu.
Selebihnya kami serahkan kepadaMu.
Untuk kau tentukan bila masanya haiwan besar itu ingin kau alihkan dari jalan
Untuk membuka hati ummat menyedari hakikat
Hidup sebagai hamba...
Kepada Mu, tuhan sekalian semesta..

Allahualam.

Saturday, April 24, 2010

Ukhuwwah, dan KITA



Pernahkah kita melihat apa yang berada disekeliling kita?
Pokok, batu-bata, kayu-kayan, beburungan, tetupaian dsb.

Kemudian, terlintas pula, objek bergerak yang sangat menarik. Sangat pelik. Sangat unik. Sangat sangat.
itulah, MANUSIA.

Dalam banyak-banyak manusia pula, siapakah yang dapat kita lihat disekeliling kita?
Kawan. Ya, kawan.

5 huruf yang membentuk satu perkataan.
Yang mungkin besar makna, lebih dari objeknya.

Antara benda yang menguatkan kita di jalan ini adalah perkataan ini.
Ukhuwwah.

Yang wujud sesama kawan.
Eh, tidak,
yang wujud sesama ikhwah.
-Saudara. Yang ikatannya inshaAllah lebih rapat dan ketat dari kawan.

Yang manisnya, tidak terkata.

Mudah, untuk kita jumpa dan pergi, kenal dan tinggal, kawan-kawan dari sekolah2 lama.
Dari kampung-kampung halaman.
Tapi, ikhwah....

Manisnya bukan kerana rupa wajah.
Bukan juga kerana lawak jenaka.
Bukan juga kerana sifat pemurah semata.
Walau mungkin, semua ini antara penyumbang.
Tapi yang paling utama, kerana Allah.

Wajah-wajah yang melahirkan kita,
setelah lama kita 'mati'.

Senyuman-senyuman yang menyedarkan kita
Setelah lama kita 'tertidur'.

Kata-kata yang membelai kita,
Setelah lama kita 'menangis'.

Mana mungkin semua ini hadir dalam hati
Kemudian pergi seolah semalam sudah berakhir tanpa erti?

Mana mungkin perasaan kasih dan sayang yang terjalin
Ditukar ganti dengan perasaan acuh-tak acuh, sakit menyakiti?

Mana mungkin perasaan yang mekar dalam jiwa ini
Tiba-tiba layu tanpa mengikut realiti?

Apalah harga satu dunia
Jika hendak dibandingkan dengan cinta sesama manusia
Lagi-lagi bila ia dipaksikan kerana Tuhan Yg Maha Pencipta.

Kata orang,
Ukhuwwah yang wujud kerana Allah, akan sama-sama meningkat bersama iman kepada Allah, namun, pada satu tahap, ia pasti akan diuji, untuk menguji keimanan kamu kepadaNya.
Sungguh.
Kemanisan yang dirasa
Tak akan kekal lama
Andai pahit yang terasa
Dicemuh seadanya
Sedangkan itu semua
Resmi kehidupan
Tanpa kesabaran
Apakah kan wujud kasih sayang
Tanpa kesanggupan
Apakah kan wujud pengorbanan
Tanpa kekuatan
Apakah kan kekal Hub fillah?

Sungguh, firman Allah menggetarkan darah-darah yang masih tersisa dalam tubuh ini.

"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, "Kami telah beriman," dan meraka tidak diuji?"
Al-'Ankabut, 29:2

Ya Allah,
Allahuma Innaka Ta'lam annaha zihil Qulub
Allahuma Tohir Qulubana
Allahuma 'Igsil Qulubana
...

Jadikanlah ujian ini
Sebagai pengikat kasih dan sayang sesama kami
Dalam perjuangan kami mencari RidhoMu

Jadikanlah setiap apa yang kami usahakan
Akan membawa kami semakin rapat
KepadaMu, Tuhan sekalian alam

Jadikanlah kepahitan yang kami telan ini
Sebagai ubat, untuk menguatkan cinta kami sesama kami
Dalam kami mencari cintaMu

Aamin.





Thursday, April 22, 2010

Semut kecil



Berjalan seekor semut kecil
Menghadapi satu alam yg tak dikenali
Jauh sekali hujungnya
Entah kemana halanya

Kecil sungguh semut itu
Bila ia berdepan dengan balak yang tertimpa
Bila ia terkatup dek daun yang menjalar
bila ia tertolak arus dek sungai yang mencabar

Apakah semut mengerti
Dia tidak berlaku seperti yg sepatutnya?
Bukankah semut bergerak dalam kumpulan?
Mencari makan untuk satu gerombolan?

Besar cita-cita si semut
Dalam ia berkhayal mendapat kota impian
Berisi buah-buahan untuk jiwa yg kontang
Sedang itu bukan apa yg terbentang

Monday, April 19, 2010

Maju, terus ke depan!



كُنتُمۡ خَيۡرَ أُمَّةٍ أُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنڪَرِ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ‌ۗ وَلَوۡ ءَامَنَ أَهۡلُ ٱلۡڪِتَـٰبِ لَكَانَ خَيۡرً۬ا لَّهُم‌ۚ مِّنۡهُمُ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَأَڪۡثَرُهُمُ ٱلۡفَـٰسِقُونَ

Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman) dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik.



Kita adalah sebaik-baik ummat? Apakah jasa pengorbanan yang telah kita lakukan yang melayakkan kita beroleh gelaran ini?

Wahai para ikhwah tersayang.
Mari kita sama-sama melihat ayat yang telah kita sama-sama pelajari semasa Syahadatul Haq.

(2:143)

"Dan Demikian pula kami jadikan kamu(umat Islam) "umat pertengahan" agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu.......{Ila akhir ayyat}"


Perhatikan.
Allah telah membezakan "kamu" dan "umat manusia".
Apakah ia bermakna mereka yang Allah maksudkan didalam ayat ini bukan manusia?
Cuba kita fikirkan sedalam-dalamnya.

Perhatikan pula ayat ini,
(49:14)

"Orang-orang Arab Badwi berkata, "kami telah beriman". Katakanlah kepada mereka, "kamu belum beriman. Tapi katakanlah 'kami telah Islam(tunduk)', kerana Iman belum masuk ke dalam hatimu". {ila Akhir ayyat}."


Sekali lagi, disini Allah membezakan.
Kali ini, Allah katakan, berbeza antara orang yang telah tunduk(masuk Islam) dan orang yang beriman. Nyatalah, ada 'minimum requirement' yang perlu dipenuhi untuk menjadi orang beriman. Sama seperti, ada ciri pembeza antara seorang pemain bola kelab terkemuka dan pemain bola biasa-biasa.

Ternyata, ada sesuatu yang perlu kita penuhi disini, untuk melayakkan kita memperoleh penghormatan "Khairun Ummat".
Dan jelaslah, ayat-ayat Al-Quran ini diturunkan untuk mereka yang bergelar "Khairun Ummat" ini. "khairun Ummat inilah yang dimaksudkan dengan "ummatan Wasotan". Dan Mahasuci Allah, telah Dia nyatakan kepada kita bagaimana untuk menjadi "khairun ummat" ini.

تَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ
Menyuruh dengan makruf.
وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنڪَرِ
Melarang tentang kemungkaran.
وَتُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ
Beriman dengan Allah.

Itulah pencirian yang Allah lakukan kepada mereka-mereka yang Allah anggap sebagai Khairun ummah, sebaik-baik ummat, dan sudah menjadi lumrah, pelajar terbaik akan disayangi gurunya, pemain terbaik akan disayangi jurulatihnya, dan anak yang baik akan disayangi ibunya.

Dengan menjadi khairun Ummat lah, kita akan beroleh nikmat yang PALING BESAR, yakni pulang kepadaNya dalam keadaan redha dan diredhai.
SubhanaAllah!!

Wahai para ikhwah fillah!
Perhatikan jugalah, bagaimana Allah menyusun kalimat-kalimatNya.
Ciri pertama yang Allah senaraikan adalah menyuruh dengan Makruf.
Ini bermakna inilah ciri paling penting. BERDAKWAH.
inilah kunci kepada Marodotillah!

Perhatikanlah!
Nabi Muhammad SAW pernah menceritakan darjat gandaan pahala bagi mereka yang bersolat di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram.
Tapi kenapa para sahabat tidak menghabiskan setiap saat masa mereka beribadat, beriktikaf, bersolat, bertahmid berzikir dan sebagainya disana?
Kenapa para sahabat gigih berjuang disana-sini, demi menyampaikan kalimat Allah?
Sudah tentu wahai ikhwah sekalian, kerana disitulah terdapatnya kasih sayang Allah.

Kita perlu faham, ciri-ciri yang dinyatakan diatas adalah saling melengkapi.
Bukan sesuatu yang boleh wujud dan tinggal sendiri.
Ianya ibarat satu 'Combo Meal'.
2 pcs Chicken, chips and drinks.
Tidak lengkap meal itu hanya dengan chips.
Tidak juga jika hanya terdapat chicken atau drinks sahaja.
Hatta jika chicken itu pula kuantitinya(2pcs) tak cukup, maka meal itu belum sempurna.
Belum layak diberi bayaran £2.20 di PFC.

Begitu jugalah, kita.
Belum layak bergelar "khairun Ummat".

Ya Ayyuhal Ikhwah!
Ud'u Ila Allah!

Akhir kalam, marilah kita perhatikan ayat ini pula.

(9:105)

"Dan katakanlah, "bekerjalah kamu, maka Allah akan melihat pekerjaanmu. begitu juga Rasul-Nya dan orang-orang mukmin, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah).....{Ila akhir ayyat}



kita tidak punya masa untuk bersenang-senang, kerana kita sebenarnya diletakkan disini untuk bekerja.
Itu adalah tanggungjawab mereka-mereka yang bergelar Khairun Ummat.
Wallahualam.

Friday, April 16, 2010

Dihantui rindu....



Manusia, lemah dan hina.
Masih mengimpi kasih yang kosong.
Masih dahagakan sayangnya seorang insan.
Sedangkan, Aku ada Tuhan.

Digambarkan, seekor burung yang tidak pernah tahu ia boleh terbang.
Apakah ia kan punya cita-cita untuk membelah udara?
Jawapannya YA, bila teman kiri dan kanan sudah lama berada angkasa.
Berganti-ganti, sayap yang dikepak memberi harapan fana.

Wahai Burung!!!!
Kau tu makhluk tuhan!
Kau dicipta tidak boleh terbang, ada sebabnya!
Jangan disebabkan sayapmu cacat, kau salahkan Allah!
Sungguh, bagi setiap sesuatu, ada sebabnya!
Allah itu Maha Adil, Maha Kuasa, Maha Bijaksana!
Tidakkah kau sedar berada diudara bukan tujuan asalmu?
Kau punya tanggungjawab, sebagai makhluk tuhan!
Apakah kau lupa, kasihNya lebih afdal dari segalanya??!

Sungguh, aku rindu.
Rindu kepada perasaan seorang hamba.
Yang senantiasa dambakan cintaNya semata.
Itulah matlamat kita semua.

........

Monday, April 12, 2010

Tarbiyyah Sepanjang Masa



Kadangkala, kita perlu berlapar untuk memahami nikmat dari Allah.
Tak setuju?

Mari kita singkap sirah Rasulullah.
Baginda SAW empunya akhlak yang tersangat mulia sehinggakan pernah diceritakan sewaktu Perang Khandak, dalam keadaan sejuk tidak terhingga, dalam Pasukan Muslimin sibuk menggali parit untuk persiapan perang, datang seorang Muslim mengadu kepada Rasulullah.
Katanya, dia sangat lapar sehingga terpaksa mengikat batu pada perutnya.
Baginda mengangkat bajunya dan terlihatlah oleh Muslim itu akan perut Baginda yang terikat jelas dua biji batu.
Subhanallah.
Kalau Rasulullah sendiri mengikat batu di perutnya, dalam menahan kelaparan, apakah kita punya hak untuk bersedawa sentiasa tanda kenyang tak terkira?
Diceritakan dalam pelbagai bentuk hadis juga bagaimana kebiasaannya Baginda hanya makan gandum-gandum lebihan sekali sehari. Itu sudah dikira cukup untuk baginda.

Mari kita lihat pula kisah Bani Yahudi dan Nabi Musa.
Allah telah memberi nikmat kepada Bani Yahudi dengan Manna wa Salwa.
Makanan dari syurga.
Diberikan juga kepada mereka air-air dari terjahan tongkat Nabi Musa.
Dengan kemewahan yang mereka peroleh, sifat kekufuran mula tumbuh, perasaan tidak cukup perlahan-lahan merasuk hati mereka.
Akhirnya, mereka meminta Nabi Musa makanan-makanan lain, mereka minta kacang adas, bawang merah dan sebagainya.(rujuk Al-Baqarah, 2:57-61)
Nauzubillahimindhalik.
Kekenyangan dan kemewahan telah membawa mereka jauh dari Tuhan.


Kadangkala kita kena belajar rasa dibawah, dihina dan dipijak, untuk memahami perasaan tawakkal dan bersemangat waja
Kan?

Kita lihat sirah, semasa waktu Perang Badar.
Sewaktu itu, rata-rata penduduk jazirah Arab mentertawakan tindakan Rasulullah untuk berperang dengan askar-askar Quraisy pimpinan Abu Jahal.
Mana tidaknya, dalam keadaan tidak bersenjata lengkap, dengan hanya beberapa ekor kuda dan bilangan yang tidak mencecah separuh pun bilangan musuh, mana mungkin kan tertegak panji Islam dalam perang itu?
Tapi dengan kehendak Allah, dicampur dengan iltizam dan semangat yang tidak terkira dahsyatnya yang dimiliki Ahli Badar, Pedang Saidina Hamzah dan Saidina Ali telahpun bermandi darah. Walau mereka asalnya dianggap kalah sebelum bertanding, tapi semangat dan keinginan mengubah segalanya menurut sunnatullah Allah.
Keberserahan kaum Muslimin pada waktu itu nyata terpampang dengan jelas melalui pekikan takbir yang berkumandang.
Subhanallah.
Perang Badar nyata kan membakar semangat siapa sahaja yang menghayatinya.

Kadangkala, kita juga kena belajar menikmati kekecewaan, kerana hanya dengan itulah kita kan faham, hanya Allahlah satu-satunya tempat berharap, dan Allah tidak akan mengecewakan.
Fuh.

Selalu, kita mahukan sesuatu dan seringkali beroleh akannya. Kita rasa indah, kita rasa seronok. Kita minta pakaian baru, maka ibu ayah belikan pakaian baru. Kita dahagakan kasih sayang, abang-abang sentiasa luangkan masa mendidik erti kehidupan. Kita inginkan teman dalam keresahan, akan ada Ikhwah tersayang meminjamkan telinga. Maka akan timbullah rasa konon ayah dan ibu punca kebahagiaan, para ikhwah tempat mengadu keresahan.
Dan kita terlupa akan Tuhan.
Mungkin dengan ayah dan ibu terlupa belikan pakaian, abang-abang sibuk tak sempat lemparkan senyuman, para ikhwah asyik dengan kegembiraan masing-masing, tanda Allah sayangkan kita dan ingin kita kembali kepadaNya.
Barulah kita kan faham, semuanya datang dari Allah.
Kalau bukan sebab Allah, ibu bapa pun kita takda, bukan pakaian lagi.
Kalau bukan sebab Allah, jangankan ikhwah2, kawan biasa pun kita takkan ada.
Waktu itu, barulah kita akan faham,
kasih Allah itu adalah segala-galanya. Dialah satu-satunya tempat yang tidak akan mengecewakan, yang tidak akan berlaku zalim, yang tidak akan meletakkan kita bukan pada tempatnya. Dia Maha Adil. Uhibbullah!

Pada waktu itu jugalah, kita akan sedar.
Betapa hinanya kita, betapa tidak bermakna, bodoh, rugi, teruknya kita, kalau
pada hari akhirat nanti Allah memalingkan mukaNya dari wajah kita.
Jangan sampai Allah berkata "jangan engkau berbicara dengan Aku".
(rujuk surah Al-Mu'minun, 23:106-108)

Kalau ibu ayah marah, mungkin kita akan rasa sangat sedih.
Kalau ikhwah tersayang merajuk, kita akan dihantui rasa bersalah.
Tapi kalau Allah murka atas kita, maka ketahuilah, sudah tidak ada makna hidup dan mati kita.
Na'uzubillahimindhalik.

Betullah kata orang,
Tarbiyyah itu bermula dengan berakhirnya tasbih kifarah dan berakhir dengan bacaan Ummul Kitab
Usrah adalah tempat kita menuntut ilmu, membentuk pemikiran fikrah Islami.
Tapi sari-sari kehidupan yang kita laluilah bentuk tarbiyah untuk diri.
Tarbiyah dari illahi.
Tarbiyah ruhi yang kan meresap dalam jasadi.

Usrah tempat membentuk fikrah, tapi ia kan hanya bocor dalam hati setelah pengalaman menjadi guru, dan terserap dalam jasad tatkala ujian menjadi jalan.

Wallahu'alam.

Mari cuba lagi?



Setiap hari kan pasti pergi
Membawa kisah, menjadi memori
Yang tinggal hanyalah kita, mencari-cari
Melihat kembali, bermuhasabah sendiri

Hati takkan tenang
Selagi tidak kembali kepada Tuhan
Selagi jasad tak mampu dikawal
Jinakkanlah diri dengan erti istiqamah