Kalamullah

Kalamullah

Sunday, April 9, 2017

Fasa Hidup


Kini telah hampir 5 tahun aku pulang ke tanah air selepas menamatkan pelajaran di negara orang putih itu. Terasa begitu jauh dan begitu lama jarak masa antara sekarang dan dulu. Hampir-hampir, terasa seperti ia berlaku dalam kehidupan yang lain.

Ya, kehidupan kini memang teramat berbeza dengan kehidupan pada masa itu.

Kehidupan yang mana aku hanya memikirkan tentang diri sendiri, dengan objek dakwah, dan beberapa permasalahan studi. Tiada masalah kewangan yang perlu difikirkan, tiada rumahtangga dan pasangan hidup yang perlu diberi perhatian, anak-anak yang perlukan kasih-sayang, ibu ayah dan sebagainya. Objek dakwah juga sangat berbeza, lantaran mereka juga diuji dari pelbagai sudut di bumi ini. Ternyata hidup kini lebih banyak suka duka, lebih banyak perkara yang perlu diselesaikan setiap hari.

Namun, walau apa pun, aku tetap akur.. kendur ku dalam dakwah kian terasa.. lemahnya rasa hati, lesunya kemahuan jiwa.. akhirnya menjadikan aku umpama buih yang dipukul badai.. terapung dan terbuai dengan arus yang mengganas.. Kadang aku ke kiri, pada waktu lainnya aku ke kanan.. Walaupun berkali-kali aku cuba melawan dan membuat 'comeback', lebih dari selalu aku akhirnya jatuh dan kembali menjadi kader yang lesu.

Umpamanya hanya mampu 'maintain', tiada lagi impian berderu untuk mengubah dunia.. terasa cita-cita memenangkan islam makin jauh, sejauh-jauh planet-planet yang hanya pernah aku dengar tetapi tidak pernah aku lihat.. Dimanakah ruh al-akh sodiq, rijal ammah yang mahukan kemenangan Islam? Kadang aku menangis dalam lenaku.. tak tertahan kelemahan diri, tak keruan mencari ubat dan solusi..

Dalam diri, aku hanya mampu berjanji, untuk kembali satu hari nanti. Untuk menyalakan semula obor di tapak yang sama, menerangkan kembali kawasan sekeliling. Aku merindui kehangatan ukhuwah dan keakraban dengan tuhanku. Aku teramat rindukan semangat membara yang menjadikan aku sanggup melalui apa sahaja untuk dakwah dan tarbiah.. Aku rindu.. rindu mengutamakan orang lain lebih daripada kesenanganku.. Kini untuk aku melepaskan tempat duduk dalam KTM untuk orang lainpun, terasa sangat tidak mahu..

Ya Allah, aku coretkan kekesalan dan kelemahanku, moga Kau ampuni dan tiupkan roh semangat untukku.. Agar aku kembali.. kembali untuk bersedia bertemu denganMu.

Aku doakan juga.. agar teman-temanku.. ada yang juga telah kendur.. ada juga yang telah mengundur diri.. Aku doakan semuanya, moga Engkau Ya Rabbi, tidak memalingkan kami dari jalan suci ini.. agar kau kembali titipkan semangat dan keinginan kami, untuk bekorban demiMu, memberi setiap derap nafas untuk kemuliaan ad-deen Mu.