Kalamullah

Kalamullah

Monday, August 18, 2014

Cinta kan Dunia



Kita ini umpama pelumba basikal. Perjalanan kita jauh. Sangat jauh.
Cuacanya panas. Jalannya bengkang-bengkok.

Yang perlu kita ingatkan diri kita:

  • teruslah mengayuh, jangan berhenti
  • hasil di penghujung sangat menguntungkan, maka bersungguh-lah
  • Kepedihan sekarang berbaloi untuk pulangan yang semewah ini

Tapi ternyata sekali.. Perjalanan jauh ini memerlukan kita menyiapkan bekal. Perlunya kita menyediakan minuman yang cukup. Mungkin perlukan bekalan tenaga dalam bentuk minuman tenaga @ makanan tenaga.

Tapi dalam menyiapkan bekal ini, datangnya satu penipu besar. Dunia.

Penipu ini akan cuba melalaikan kita dengan kemewahan. Meningkatkan nafsu kita sehingga kita tergelincir cuba memuaskannya. Walhal, nafsu itu umpama sebuah lembah yang tiada hujung, semakin ditambah semakin kosong.

Akhirnya....
Kita terpesona dengan tipu helahnya. Kita membawa bekalan yang tidak diperlukan. Perjalanan yang memerlukan kita membawa sebotol air minuman, kita tertipu dan akhirnya membawa dua buah kotak minuman. Makanan tenaga sepaket yang diperlukan, tapi kita pula membawa beberapa bungkusan. Menyusahkan perjalanan, menyebabkan sukarnya utk mencapai matlamat.

Begitulah... Bekal yang patutnya membantu kita melalui perjalanan panjang untuk sampai ke matlamat, akhirnya menjadi penyebab lambatnya kita sampai. Atau lebih teruk, menjadi penyebab kita gagal untuk sampai ke matlamat.

Dunia sangat² lah perlu diawasi.. Kerap kali, kita terasa beriman saat dunia ditarik dari kita.. kita berasa cukup seadanya, dekat dengan Allah dsb..

tapi saat ia dihamburkan pada kita.. saat ia menjadi apa yang peroleh dengan mudah.. kita akan mula dihantui perasaan cintakan dunia.. dan lebih teruk, apabila kita menjadi manusia yang takut hilangnya dunia dari dirinya. Hinggakan mungkin, kita sanggup gadaikan prinsip dan perjuangan, semata-mata kerana takut hilangnya dunia..

Sahabat Rasulullah SAW pernah berkata:
"Wahai dunia, tipulah orang lain, jangan tipu diriku. Aku telah menceraikan engkau dengan talak tiga. Aduh... Betapa sedikit bekal, dan betapa jauh perjalanan"

Beginilah mindset yang baik tentang dunia. Kita mengambil kurang daripada apa yang diperlukan, atau paling maksimum pun, secukup-cukup dengan apa yang diperlukan. Kerana lebihnya dunia daripada apa yang diperlukan, boleh membawa kepada bencana dan kecelakaan. Iaitu, saat hati kita mula terisi dengan dunia yang tiada pernah cukup.

Firman Allah swt:



Serta ia mengutamakan/melebihkan kehidupan dunia,





Maka sesungguhnya neraka Jahanamlah tempat kediamannya

(An-Naziat, 79:38-39)


Tapi jangan salah sangka... Bukanlah dunia itu tidak boleh ada. Kutiplah sebanyak mana pun dunia. Tapi pastikan kita tidak tertipu. Pastikan ia tidak menghalang kita daripada mencapai matlamat kita. Pastikan kita tidak berasa takut kehilangannya. Pastikan kita tidak berasa kedekut, rasa bakhil, rasa cinta akannya. Orang yang mahu mengejar dunia perlu punyai keimanan dan ketaqwaan yang luar biasa. Kerana bisa sahaja, kemewahan itu berjaya menipu keimanannya yang sejengkal.

Teringat kisah Sang Sahabat Rasulullah SAW, Abdul Rahman bin Auf RA

Saat beliau dihidangkan dengan santapan yang mewah bagi tujuan berbuka puasanya.
Dia mencela dirinya kerana menikmati kemewahan.

Ya, dia mencela dirinya!

Kerana Sang Sahabat terbayang kisah temannya yang mulia, Mus'ab bin Umayr yang syahid di medan Uhud.

Mus'ab dan dirinya sama-sama adalah hartawan. tapi penghujung kehidupan Mus'ab, dia telah menyerahkan segala kemewahannya untuk Allah. Bahkan, kematiannya juga dalam keadaan yang cukup mengusik jiwa, tatkala Ar-Rasul sendiri tersentuh, apabila kain yang tinggal untuk menutupi tubuhnya tidak cukup untuk menutup seluruh tubuhnya. Inilah budaya orang mu'min yang cintakan akhirat. Hidupnya ingin diinfaqkan untuk Allah swt.

Mengenang kisah ini, Abdul Rahman bin Auf mengutuk dirinya. Dia khuatir, apabila mengenangkan Mus'ab telah meninggalkan kemewahan dunia untuk akhirat. Apakah dia yang masih menikmati kemewahan dunia ini, bisa menikmati kelazatan akhirat?

Pokoknya mudah bagi para pejuang... Hidup bukan untuk menikmati keindahan. Tapi untuk bekorban. Berjuang. Memberi. 

Kemiskinan bukanlah pada tidak adanya sesuatu harta.
tapi kemiskinan sebenar adalah apabila tidak boleh/tidak sanggup kehilangan harta untuk tujuan² yang lebih besar.

Wallahua'lam