Kalamullah

Kalamullah

Tuesday, April 10, 2012

Dosa yang terkumpul



Antara ciri hati yang tidak mampu untuk menggerakkan sebuah jasad, walaupun ia sudah mempunyai kesedaran dan kemahuan untuk beramal, namun senantiasa berasa lemah dan longlai, ialah hati yang padanya terkumpul bergunung-ganang dosa.

Dan dosa itu tidak semesti asalnya dari perbuatan, boleh sahaja ia datang dari lintasan hati. Dari perasaan, dari tanggapan, dan dari dzhon. Mungkin sahaja, perkara sebeginilah yang menjadi punca jatuhnya seseorang itu ke lembah Jahannam, atas kerana Nabi sendiri sahaja pernah bersabda,
"Tidak akan masuk syurga sesiapa yang ada dalam hatinya walau sebesar zarah sifat takabbur" (riwayat muslim)
Dan maksud takabbur itu, adalah menolak kebenaran dan merendah-rendahkan manusia lain. Maka boleh sahaja jadi, seorang aktivis yang penat berdakwah, namun dalam hatinya senantiasa terlintas dia-lah yang paling betul pekerjaannya. Dia-lah paling baik amalannya, dan orang lain semuanya cacat cela, dan mustahil untuk dirinya menerima teguran atau pandangan manusia yang lain.

Walau telah datang kebenaran kepadanya, hatinya akan tergerak-gerak mencari alasan, mencari istilah dan hujah untuk menolaknya. Kerana bagi dirinya, tidak boleh kalau dia salah, dan orang lain betul. Dia sukar menerima hakikat itu. Dan lalu, dia tersungkur dengan ego dan takabburnya..

Dosa ini terkumpul, menggunung ganang, malah mungkin sahaja melangit. Hitamnya usahkan dibasuh tidak hilang, malah seandainya dileburkan hati itu, kerak dosa itu seakan mustahil untuk lesap. Ia akan kekal disana. Maka tidak hairanlah, kita yang bergelar daie ini pun, semangatnya lesu, badannya lemah, jiwanya kering, tidak mampu mentarbiyyah, jauh sekali menyediakan barisan mujahid yang sanggup mengorbankan segala-galanya.

Mutarabbi yang cuba dibinanya bermasalah, tidak berdisiplin, malah bertambah lesu dan longlai. Dia hairan, apa kekurangan yang ada pada manhaj yang diserunya? Apakah cara penyampaiannya tidak cukup sesuai? Ataupun, mutarabbinya memang bukan anasir taghyir yang mampu menggegarkan dunia?

Pada saat itu, kita mula merungut. Menyalahkan prasarana, mensabitkan kelemahan manusia lain, menuding pada cacatnya struktur. walhal, akar pada semua ini, kitalah yang tidak cukup SABAR. Tidak mampu berlapang dada, dan akhirnya mula merendahkan manusia lain. Merasakan cara kita-lah yang paling tepat, paling muntij dan paling patut dilaksanakan. Walhal, kita ini terlampau cetek amalnya, jauh sekali pengalaman dan kefahaman. Mula lah dengan berlapang dada, itu kunci ukhuwah dan harakah ini.

Tatkala kita mula bercelaru dalam penerimaan kita dengan manusia lain, pada saat itulah, kita mula menidakkan kehambaan kita denganNya. Akhirnya, kita lah yang akan tersingkir dek lesu dan longlainya ruhiyy dan obses pada dakwah ini...

Kata kuncinya: SABAR. SABAR. dan SABAR.

Moga Allah pelihara.




No comments:

Post a Comment