Kalamullah

Kalamullah

Saturday, January 30, 2010

Gopoh, Terburu-buru


Salam Alaykum, ucapan selamat yang ditungu-tunggu di syurga.
InshaAllah kita semua akan kesana.

Demi Sesungguhnya, Aku berlindung dengan Allah dari Syaitan yang direjam.
Syaitan yang meniupkan tipu helah dan kebencian pada manusia. Demi Allah, Syaitan itu adalah musuh yang nyata, dan tidaklah ia akan membawa apa-apa melainkan keburukan dan kemungkaran.

Perasaan gopoh itu adalah perasaan yang ditunjukkan sendiri oleh Syaitan. Gopoh dalam Ego. Terlalu cepat membuat andaian itu dan ini. Kerana terburu-buru menolak perintah sujud pada Nabi Allah Adam, maka Syaitan sehinggalah ke hari ini mendapat laknat Allah. Sungguh, Azab Allah itu amat pedih.

Dan perlu diakui, setelah beberapa isbu' pena ini menari-nari di alam maya laman ini, itulah pengajaran terbesar yang diperoleh. Sikap cuba menyiapkan cerpen " Bunga Salju" secepat mungkin telah dengan dahsyatnya memberi kesan kepada hasil Bunga Salju itu sendiri. Ternyata, cerita itu gagal mencapat objektifnya, matlamatnya, hasil tindakan terburu-buru. Hasil paksaan, hasil keterpaksaan. Tidak memberi kesan, jauh sekali membawa perubahan.

Sikap ini juga merupakan duri dalam ranjau belukar. Kerana sikap inilah mungkin si rama-rama tidak hidup lama dek tak sempat 'beruzlah' dalam pulpanya. Dek kerana gopoh mahu melihat rama-rama, tindakan mengoyakkan pulpa ternyata tidak akan melahirkan rama-rama yang sihat. Tidak mampu hidup lama, jauh sekali terbang dengan perkasa.

Begitu jugalah dalam proses mengajar. Andai si Guru mengajar ilmu nombor rumit(complex numbers) kepada kanak-kanak darjah satu, laju benar mereka akan terasa beban sekaligus menghilangkan rasa ingin belajar mereka. Lekas benar mereka 'berlari'.

Dalam proses tarbiyyah, perkara sama menjadi sunnatullah. Mana mungkin si polan yang baru bertatih sudah hendak diajar berlari?
Maka para Ikhwah yang dikasihi.
Bersamalah kita mengawal sikap gopoh ini. Kerana dengan adanya ia mampu menjadi pemangkin dakwah, tapi dalam masa yang sama mampu juga ia menjadi pemasalah ummah.
Jangan gopoh, jangan pula terlalu perlahan.
Mengupas kata-kata seorang akhi,
"Jangan sampai tertinggal keretapi pertama~"
Dalam maksudnya, tambah lagi dengan penghayatan cerita Sahabat Nabi SAW, Zuljaushan.
Bolehlah dibaca kisahnya disini.
tapi nak di hadam dengan mudah, kisahnya berkisar tentang sahabat yang menolak agama Islam pada peringkat awal. Namun setelah Islam itu kuat dan gagah di persada dunia, barulah dia memeluk Islam. Dan Sungguh, Rasulullah SAW sendiri membezakan 'golongan pertama' ini dengan orang yang memeluk Islam kemudiannya. Tertinggal lah Zuljaushan meratap sendiri kejahilannya. Terlepas, keretapi pertama.

Dalam rentetan Sirah, dari sinilah kita juga sebenarnya nampak bagaimana Rasulullah SAW sendiri tidak gopoh dalam melaksanakan tugas Syahadatul Haqnya. Baginda bermula dengan dakwah secara sembunyi, kemudia barulah diikuti dengan peringkat-peringkat seterusnya.
Jelaslah disini, gopoh membawa padah, andai kita tersalah arah.
Ibarat ubat terlebih dadah, bisa nanti membawa parah.
Mari kita semua jadi Para Syuhada'!!!

Bunga Salju Bhgn 4

Jack cukup tidak senang hati. Dia bingung. Siapalah agaknya si pemanggil yang telah menelefonnya dari malam semalam. Pasti ada urusan yang sangat penting, sehingga berkali-kali dia cuba dihubungi. Nombor pemanggil pula, tiada dalam senarai kenalan dalam telefonnya. Yang biasa menghubunginya Madeleine, teman wanita yang juga merupakan rakan satu kelas dengannya. Kalu tak pun Edwin,jiran sebelah rumahnya. Jack memang bingung.

Sedang Jack mengeliat bangun dari tidur, telefonnya berbunyi sekali lagi. Dia teragak-agak untuk menjawabnya. Setelah beberapa lama, Jack mengambil keputusan untuk menjawabnya.

"Hello. Can I help you?"
"Assalamualaikum. Jack! Subhanallah Jack. Allah lagi sayangkan dia. Bawak bersabar ye. Erm.. Aku nak datang jumpa kau boleh?" kata suara kecil di hujung telefon.
Jack semakin bingung.
"Siapa nie? Dan siapa pulak yang Allah lg sayang tu? Weh, kau mengarut apa neh?"
"Astaghfirullah.. Akhi.. Nie Asrul.. Ingat lagi tak? Semalam pukul 3 pagi, Abang Sufian telefon. Dia kan duduk dekat Shah Alam, dekat-dekat dengan rumah kau tu? Dia dah start keje da tahun lepas.. Die yang bagi number ko kat aku.. Dah lama aku cari kau..."
"Oh.. So dia ke yang dah mati? Sakit ape? Ke accident? Atau die mati perang dekat Palestin?" sindir Jack.
"Aku mintak ko bertenang ye Jack. Bawak banyak bersabar.
Mak ko baru je pulang ke rahmatullah semalam. Kegagalan hati katanya. Bawak beristighfar.."

***

"Ya Allah!! Asrul... Tolong aku Asrul..Apa dah jadi dengan aku Asrul...", kata Jack dalam menangis kekesalan. Mujurlah Asrul terus datang ke rumahnya. Terlalu sunyi dunianya kini, setelah dia sedar dia sebenarnya dalam satu kandang besar yang penuh dengan kejahilan. Tidak dapat dia bayangkan, apa yang bakal dia lakukan, andai tiada Asrul disisi.
Barulah dia tersentak dari lamunannya. Jauh benar dia dari cahaya. Dia kecewa. Semenjak dia berada di bumi orang ini yang dilihatnya tidak lain melainkan kebebasan. Dia keluar berseronok hampir setiap minggu. Walaupun dia merupakan pelajar yang cemerlang, namun dia kecewa mengapa begitu sukar untuk dia memahami erti sebenar kehidupan. Ibu di rumah sangat jarang dihubungi, kalau adapun sekadar meluahkan rasa marah dan tekanan. Sekadar meminta wang saku yang kehabisan.

Kini ibunya sudah tiada. Hancur luluh segala ego dalam dirinya. Dia sangat kecewa dengan perubahan dirinya. Alangkah baiknya jika dia dan Asrul tidak bertengkar. Sudah tentu Asrul akan sentiasa menasihatkannya. Alangkah baiknya andai dia masih menyertai usrah. Tidaklah dia terjerumus kepada hiburan dunia semata. Air mata sesalan masih lagi mengalir deras. Kecewa dan terluka. Dia masih tidak dapat menerima berita pemergian ibunya. Dirasakan tidak ada gunanya dia berada di sini lagi. Dia mahu pulang, menjadi abang yang bertanggungjawab terhadap adik-adiknya.
Tidak ada tujuan katanya.

Asrul cuba menenangkannya. Dia mengingatkan kembali tujuan hidup seorang manusia. Sebagai 'Abid kepada Yang Maha Esa. Jack tenang mendengarnya. Dia sangat keliru dengan keperibadiannya. Asruk seorang kawan yang sangat baik, hasanah perkataanya, tapi kenapa dia menolak orang seperti itu.

***

Krrrriiiinnnggggggg...
Jam loceng Jack berbunyi. Ah, dia baru terjaga pada pagi itu. Matanya basah dek tangisan. Pantas dia mencapai telefon bimbitnya. Tiada sebarang panggilan. Hatinya lega. "mimpi rupanya"
Benak dada.

Pagi itu seperti biasa Jack akan pergi ke kelas. Hari ini ada kelas "History of Economic Thought".
Jack berasa sungguh keliru. Rasanya seakan telah hadir ke kelas ini. Dalam kelas, Dr Goodacre menerangkan penuh semangat. Tentang taxation. Jack cuba memeriksa notanya. Dia sangat yakin dia telah hadir ke kelas itu sebelum itu.
"errr.. Excuse me sir. I think we've done this before." pantas dia mengangkat tangan bertanya.
Satu kelas kelihatan pelik.
Mana pernah tajuk ini dikupas lagi sebelum ini.
"oh, are you sure? I don't think I've covered this. Have I class?" tanya Dr Goodacre terkejut.
"oh, sorry. Yeah, we haven't" kata Jack.

Hampir sahaja dia menangis. Allah telah mengilhamkan mimpi untuknya. Mimpi yang telah membuka matanya.

Dalam perjalanan balik, dia melalui satu taman. Taman yang sangat terkesan dalam hatinya. Tempat dia menumpang kasih ukhuwwah, dengan sahabatnya sebelum ini. Dia pergi dengan harapan yang samar; untuk berjumpa dengan bunga salju, yang muncul dalam mimpinya.
Dan disana, salji sememangnya kelihatan tebal. Tiada sebarang rumput pun, apatah lagi bunga yang mekar. Di sudut taman, kelihatan Asrul. Duduk penuh fokus pada buku yang sedang dibacanya. Pantas Jack berlari mendapatkannya.

Air mata mengalir di pipinya. Kesalan muncul satu-persatu. Asrul terkejut.
Tindakan Jack itu tidak disangka-sangkanya.

"Aku telah meninggalkan engkau kerana kebaikan yang kau seru. Perangai ku tak ubah seperti abu lahab, abu jahal dsb. Tidaklah aku berdosa melainkan dosa yang paling besarku kepadamu"
Kata Jack.

"Demi Allah, engkau telah pun lama aku maafkan. Janganlah dirisau akan kisah silam. Mari?" Asrul menghulurkan tangannya.

Jack terkedu. Asrul seolah memahami dirinya. Seolah-olah Asrul benar-benar berada dalam mimpinya. Disambutnya tangan Asrul, dengan penuh rasa terharu. Sedang mereka berjalan pulang, Jack ternampak bunga salju itu semula. Di tengah-tengah salji yang menebal. Dia mengucap syukur, dengan kuasa Allah bunga inilah yang menjadi titik tolak kesedarannya. Benarlah firman Allah,

وَهُوَ ٱلَّذِى مَدَّ ٱلۡأَرۡضَ وَجَعَلَ فِيہَا رَوَٲسِىَ وَأَنۡہَـٰرً۬ا‌ۖ وَمِن كُلِّ ٱلثَّمَرَٲتِ جَعَلَ فِيہَا زَوۡجَيۡنِ ٱثۡنَيۡنِ‌ۖ يُغۡشِى ٱلَّيۡلَ ٱلنَّہَارَ‌ۚ إِنَّ فِى ذَٲلِكَ لَأَيَـٰتٍ۬ لِّقَوۡمٍ۬ يَتَفَكَّرُونَ (٣) وَفِى ٱلۡأَرۡضِ قِطَعٌ۬ مُّتَجَـٰوِرَٲتٌ۬ وَجَنَّـٰتٌ۬ مِّنۡ أَعۡنَـٰبٍ۬ وَزَرۡعٌ۬ وَنَخِيلٌ۬ صِنۡوَانٌ۬ وَغَيۡرُ صِنۡوَانٍ۬ يُسۡقَىٰ بِمَآءٍ۬ وَٲحِدٍ۬ وَنُفَضِّلُ بَعۡضَہَا عَلَىٰ بَعۡضٍ۬ فِى ٱلۡأُڪُلِ‌ۚ إِنَّ فِى ذَٲلِكَ لَأَيَـٰتٍ۬ لِّقَوۡمٍ۬ يَعۡقِلُونَ (٤

Dan Dialah yang menjadikan bumi terbentang luas dan menjadikan padanya gunung-ganang (terdiri kukuh) serta sungai-sungai (yang mengalir) dan dari tiap-tiap jenis buah-buahan, Dia jadikan padanya pasangan: Dua-dua. Dia juga melindungi siang dengan malam silih berganti. Sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang (mahu) berfikir. (3) Dan di bumi ada beberapa potong tanah yang berdekatan (tetapi berlainan keadaannya); dan padanya ada kebun-kebun anggur dan jenis-jenis tanaman serta pohon-pohon tamar (kurma) yang berumpun dan yang tidak berumpun; semuanya disiram dengan air yang sama dan Kami lebihkan buah setengahnya dari setengahnya yang lain (pada bentuk, rasa dan baunya). Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang (mahu) berfikir serta memahaminya. (4)

Tuesday, January 26, 2010

Bunga Salju Bhgn 3


"Woi!! Jack, apa yang kau buat tu! Astaghfirullah... Apa ni!!"
Jerit teman sebilik Jack, Asrul. Asrul sebenarnya adalah teman rapat Jack sejak sekolah menengah lagi. Kenal benar Jack dengannya. Dahulu, sakit bangunnya Asrul memang Jack lah orang disebelahnya. Kalau nampak Jack, memang akan ada Asrul. Macam isi dengan kuku.
Sangatlah rapat. Zaman-zaman sekolah menengah dulu, semua masalah memang dikongsi bersama. Daripada masalah kerja rumah, soal hati, sakit makit, semuanya lah.
Tapi bila berada di London ini, walaupun dalam universiti yang sama, malah dalam bilik yang sama, hubungan mereka makin renggang. Jack bingung.
"Aarrgh. Biarlah aku. Ko sebok apsal? Dah takda keja?" Tengking Jack.
Asrul hanya mampu menggelengkan kepala.
Jack berasa sungguh tidak senang dengan kehadiran teman sebiliknya. Setelah selesai peperiksaan Semester, Jack yakin dirinya berhak mendapat sedikit rehat. Dan bagi seorang lelaki dewasa yang kian dewasa, adalah normal untuk menonton perkara-perkara seperti itu di alam maya. "Aku tengok je, bukannya aku buat pon." bisik hati Jack.

Tiba-tiba Asrul pergi kearahnya.Dalam deruan air mata, Asrul memeluk Jack dan berkata,
"Demi Allah, sesungguhnya engkau adalah rakan aku yang paling aku sayangi. Dan Demi Allah, Aku tak mampu untuk melihat engkau memperlakukan semua ini keatas dirimu. Sungguh Jack, aku yakin, dalam dirimu masih ada sekelumit Iman untuk mengingatkan nafsumu semua ini dosa. Ya Allah, bantulah kami Ya Allah. Jack, aku merayu pada engkau untuk tinggalkan dosa-dosa ini. Jack, aku adalah teman sebilikmu, tak terdaya aku melihat teman yang paling aku sayang bergelumang dengan dosa. Jack, tolonglah!"
Jack naik berang.

"Aargggh."
Dan itulah kalimah terakhir yang diucapkan kepada Asrul. Selepas itu mereka tidak pernah berkata apa-apa lagi. Mana tidaknya, setiap kali Asrul cuba berbaik, Jack akan dengan selambanya tidak menghiraukannya. Masuk 2 minggu selepas itu, Jack mengambil keputusan untuk keluar dari bilik itu. Disewanya bilik lain, dek kerana tak tahan dengan sikap Asrul yang baginya terlalu banyak berubah berbanding zaman sekolah dulu.
Kalau dulu, dia yakin Asrul pasti akan bersama-sama dengannya untuk berseronok sekali sekala. Apatah lagi, dia sudah kepenatan setelah berhari belajar dengan sepenuh hati. Dia perlukan rehat.
Jauh disudut hatinya, Jack menyalahkan Abg Sufian. Baginya, sejak Asrul menyertai usrah Abg Sufian, Asrul banyak berubah. Dia sering mengejutkan Jack bangun setiap pagi untuk solat Subuh, sedangkan dulu tak pernah dilakukannya. Jack cukup bosan dengan sikap itu. Baginya, ini semua hanya "hangat-hangat tahi ayam", bila pulang ke tanah air, pasti hilang semua 'ke-alim-an' si Asrul itu.

***

Terkejut Jack. Tak disangka-sangka. Sungguh, masih ternganga mulutnya pada waktu itu.
Pertemuan itu sungguh tidak pernah dia bayangkan. Sejak berpindah 2 tahun lalu, wajah Asrul tidak pernah ditemuinya. Tapi entah bagaimana, takdir Illahi, sewaktu hendak mencabut bunga itu, matanya terpandang satu tubuh yang duduk kukuh pada satu kerusi. Kerusi yang sangat dikenali dan diingatinya. Kerusi yang pernah jadi tempat dia dan Asrul duduk pada setiap petang selama 2 bulan dia tinggal bersama Asrul. Mereka sering duduk duduk di kerusi taman itu setiap petang untuk mengambil udara segar disamping berborak tentang berbagai perkara. Waktu inilah juga, biasanya Jack dan Asrul akan mengimbas kenangan-kenangan selama 6 tahun mereka bersama di sekolah menengah.

Di tangannya, dipegang senaskah Al-Quran. Dengan bunyi yang syahdu dan menyentuh hati, dibacanya kalimat-kalimat Allah satu persatu. Suara yang sungguh merdu. Suara yang sungguh mendayu-dayu. Suara yang dikenali Jack.

Mata mereka tiba-tiba bertentang. Jack jadi tak tentu arah. Entah kenapa, berdegup jantungnya. Apatah lagi, sewaktu berita kematian ibu bapa Asrul dalam kemalangan disiarkan dalam akhbar Utusan, tidak pula ditegurnya Asrul. Tidak pula dilawatnya orang yang pernah menjadi sahabat yang paling dia sayangi. Rasa bersalah, takut dan khuatir merajai hati. Rasanya bagai ingin sahaja dia larikan diri dari kawasan itu. Patutlah dia berasa sungguh aneh kenapa sudah lama tidak dia singgahi taman itu. Dia tidak mahu bertembung dengan Asrul rupanya.

Ibarat tidak mengenali Asrul langsung, Jack terus sahaja berjalan. Berpura-pura tidak sedar akan kewujudan Asrul. Kakinya terus menapak ke depan, sambil hatinya gundah resah takut kehadirannya di sedari Asrul. Disangkanya andai dia berpura-pura bergerak terus, pasti Asrul tidak akan sedar. Pasti tidak ada yang akan menepuknya dari belakang.

Tapi, sangkaannya memang meleset. Tak sampai 10 langkah, sudah ada tangan yang menyentuh belakang Jack.
"Excuse me sir!" suara garau bergema.
"erm.. I believe this is yours?"
Jack menoleh dengan hati yang sangat resah. Terkejut juga dia. Yang disangkanya adalah Asrul yang menegurnya. Rupanya seorang pakcik tua yang memberinya beg galas yang ditinggalkannya sewaktu hendak mencabut bunga tadi. Perasaan gelisahnya hampir sahaja melupakannya tentang beg itu. Mujurlah ia tidak tertinggal. Penuh segala khazanah dan kerja kursus Jack didalam itu.

Sewaktu itulah, Jack perasan. Kerusi yang pernah menjadi tempat dia dan Asrul duduk dulu sebenarnya tidak berpenghuni. Kosong. Tidak ada Asrul pun disitu. Tidak ada orang yang membaca Quran pun disitu. Kosong, memang kosong. Malah, taman itu memang kosong. Hanya ada dia dan pakcik tua itu. Kedua-dua mereka memang menuju ke pintu taman untuk keluar pun sebenarnya. Cuaca sejuk pada hari itu telah mengakibatkan taman itu kosong.
Berderu darah Jack. Adakah tadi ilusi? Atau jin? Atau Syaitan? Atau Hantu? Atau jelmaan?
Fikirannya bertambah kusut.

Malam itu, tidur Jack tidak lena. Ada sahaja kisah-kisah silam yang kembali menampal di fikirannya. Ada satu masa, sewaktu mula-mula sampai Kota London, Asrul mengajaknya ke Primark untuk membeli belah. Tapi ajakan itu ditolaknya kerana Asrul telah banyak berbelanja 1-2 hari itu. Dari membeli kasut bola, jersi, baju sejuk dan sebagainya. Dia menasihati Asrul supaya berjimat. Dia mengingatkan Asrul yang tujuan mereka datang ke London bukan untuk berbelanja. Itu apa yang dikatakannya. Asrul kemudiannya menurut dan bersetuju dengan nasihatnya. Sebagai seorang sahabat yang sangat rapat, pendapat seorang sahabat selalunya dihargai dan dituruti. Itulah gunanya ada sahabat, benak hatinya.

Tapi telah lama benar dia tidak bersembang dengan Asrul. Sudah lama benar tidak dia bergelak ketawa dengan Asrul. Apakah keadaan Asrul sekarang? Tanya hatinya. Dulu, kalau zaman sekolah menengah, mereka selalu membeli mee segera banyak-banyak dan makan bersama-sama sambil bercerita berbagai perkara. Kalau dulu, Asrul selalunya akan bermain bolasepak bersama dengannya. Mereka memang terkenal sebagai 'dynamic duo'. selalu sahaja Asrul membuat hantaran lintang yang sangat sesuai untuknya. Selalu sahaja Asrul berlari ke depan meminta bola untuk disudahkan. Sangat manis pengalaman-pengalaman itu.

Pernah juga, sewaktu abang sulung Jack meninggal kerana sakit jantung, kepada Asrul lah dia mengadu. Sungguh, tidak pernah Jack menangis dihadapan teman-temannya yang lain. Hanya Asrul yang tahu kisah hidupnya. Abang sulung Jack adalah abang yang paling rapat dengannya. Pemergian abang sulung nya itu memang amat dirasainya. Hampir setiap malam, dia akan berjumpa Asrul dan mengadu kehilangannya itu. Mujurlah ada Asrul, kalau tidak entah kemana nak dibawa hati yang lara itu. Sifat Asrul yang lemah lembut dan baik hati pula memudahkan lagi segala kesedihan itu untuk dicurah dan diluahkan.

Tiba-tiba, perasaan syahdu Jack berubah menjadi benci. Di kesatnya air mata yang mula menakung. Perasaan marah membuak-buak. Wajah Abg Sufian yang tenang menjadikan dia naik darah. Baginya, Asrul sudah tidak menjadi temannya sekarang kerana telah dipengaruhi dakyah Abg Sufian. Bagaimana Asrul yang selalu sahaja bersama-sama dengannya bersuka ria tiba-tiba menjadi rendah diri dan rajin beribadat? Kenapa selepas itu selalu benar dia ditegur tentang itu dan ini sedangkan itu semua tidak pernah disebut sebelum ini?
Memang ini semua angkara Abg Sufian benaknya.

***

"Jack, ko pernah dengar cerita Khalifah Uthman Ibn Affan tak? MasyaAllah... Hebatnya beliau dalam penghayatan terhadap ibadat." Pernah sekali Asrul menegur.
"Ala.. biasa la tu.. kata sahabat.. memanglah gempak. kalau kita nak jadik macam tu.. hai, alamatnya rosaklah semua theory of consumer behaviour neh ha.." kata Jack serentak sambil tergelak.
"ye la.. tapi tengok lah.. Dia menangis sebab rasa malu dengan Allah! sedangkan dialah orang yang membeli perigi pertama orang Islam. Dialah orang yang menggunakan hartanya sewaktu Perang Badar. Dialah orang yang membeli tanah untuk membesarkan Masjid Nabi". Kata Asrul lagi penuh yakin.
"Habis tu? ala.. macam aku cakap.. Sirah ni macam baca cerita fiksyen.. macam aku kata, Superman boleh terbang. Power rangers ada kuasa. Samalah!" kata Jack sambil terus mengajuk kata-kata Asrul.
Asrul kelihatan kecewa dengan jawapan Jack. Dia menjangkakan dengan penceritaan para sahabat dapat meniup semangat Ar-Ruhul Jadid dalam diri sahabatnya itu. Sudah berbagai cara dicubanya. Dia telah bercerita tentang kisah Rasulullah SAW, cerita tentang Nabi Yusuf, hadis-hadis, malah sesetengah ayat Quran pun telah ditadabbur bersama. Tapi Jack masih tidak terkesan.

***

Kriiiiinnnngggggg!!!!!!
Jam loceng Jack berbunyi lagi. Dia terlupa. Hari ini adalah hari Sabtu. Tiada kelas. Dia tidak sepatutnya mengunci jam pada pagi itu. Sepatutnya dibiarkan sahaja terus berselimut dalam duvet itu. Dilihatnya telefon bimbit disisi.
Terdapat 25 missed call.
ternyata, dia tidur mati semalam, sehingga tidak sedar ada panggilan.
Diperiksanya si pemanggil......
bersambung.....


Monday, January 25, 2010

Bunga Salju Bhgn 2


"Assalamualaikum semua. Nama saya Johari bin Sudin. Saya berasal dari Kampung Titi Sekerat. Orang kampung saya panggil saya Jack sebab saya suka makan kacang. Ala, macam cerita Jack dengan kacang ajaib tu!"
"wah, nama Mat Salleh nampak!" tegur cikgunya.
Gelak ketawa menyambut kenyataan gurunya itu.

***

Tiba-tiba lamunannya terhenti. Jack sendiri terkejut mengapa dirinya mengelamun pada pagi itu. Dipandangnya skrin pensyarah didepannya, sudah hampir 5 muka surat dia tidak memberi perhatian. Jack berasa lesu pada pagi itu. Entah mengapa, imej bunga yang berdiri teguh ditengah-tengah salji menebal masih terbayang-bayang di fikirannya.Terlintas di fikirannya kata-kata Ustaz Azzam di sekolah lamanya. "Setiap perkara itu dijadikan atas sebab-sebab yang tertentu. Tidak jatuh satu daun sekalipun melainkan ia dalam pengetahuan Allah, dan sungguh Allah tidak menjadikan sesuatu dengan sia-sia."

"Jack, are u alright there?" Tiba-tiba Dr. Goodacre menegurnya. Jack yang biasanya bertanya pada hari itu sunyi sepi. Tidak bersuara malah seolah-olah tidak berada dalam kelas pun. Ini menimbulkan kerisauan pensyarah kegemarannya itu.
"Oh, yea. I'm ok. Sorry bout that". jawab Jack.
"ok then. Now let's look at the creation of one of the most exciting yet I would say stupid invention, the creation of taxation. It was first created by Sir William Petty, with his introduction of National Income Accounting, and from there he showed that the labour fund is the largest component of the nation, and thus make a deduction that it would be sensible to tax labour." Dr Goodacre menyambung syarahannya.

Jack sudahpun mempelajari topik ini semalam. Malah dia sebenarnya sudahpun memahami sepenuhnya kebanyakan kelas yang dia hadiri, kebanyakan kelas yang dia sertai adalah semata-mata untuk bertanyakan soalan dan memeriksa kefahaman sahaja. Di atas kertas notanya, tertulis berbagai-bagai soalan, dan juga beberapa jawapan untuk pensyarahnya.
terukir kemas ayat-ayat di bawah.

Why do they need to Tax?
-to get more money for the nation
Why do they need more money?
-to fund Britain's war against France
Why do they need to fight and challenge France?
-To gain power in most part of Europe
Why do they need that then?
-???
Dari soalan-solan ini Jack tertanya-tanya. Kenapa manusia mempunyai cita-cita yang tinggi dan tidak tentu hala, tamakkan harta dan kuasa. Pelik. Tapi sememangnya lumrah manusia, apa yang ada, tidak pernah cukup. Mesti ada sahaja perkara yang diinginkan lagi. Basis of Economics, non-exhaustive demand. Sungguh sulit bagi Jack untuk memahaminya. Seolah-olah manusia sengaja mencipta tujuan-tujuan yang sukar dan pelik semata-mata untuk mempunyai hala tuju yang kononnya tidak ada kesudahan, supaya masa lapang mereka dapat dipenuhkan. Selesai sahaja kelas, Jack pun terus pulang menuju ke rumahnya semula. Dalam akalnya, bunga tadi masih lagi terbayang-bayang. Mahu sahaja dia pergi dan mencabut bunga itu, supaya ia patuh akan sunatullah gentarnya.

Dalam langkahnya itu, fikirannya mengelamun sekali lagi. Kali ini, dia terbayang akan zaman kanak-kanaknya. Pernah sekali, dia ditanya, apa cita-citanya.
"saya ingin menjadi seorang ustaz. Berbakti kepada anak bangsa dan agama." Jawab Jack selamba. Bangga dirinya memberi jawapan sekental itu.
Terukir senyuman sinis di bibirnya. "Berbakti kepada anak bangsa dan agama? mimpi kanak-kanak. Mana mungkin wujud seorang insan yang akan berbuat sedemikian pada zaman ini?
Aku belajar Ekonomi pun untuk memudahkan aku memperolehi kekayaan. Mudahlah nanti aku nak menyara kehidupanku." Hati Jack berkata-kata.

***

Jack memandang ke kiri dan kanan. Wajah rakan-rakan seusrahnya kelihatan bersemangat. Dia sangat tertekan. Terasa benar hatinya selepas jawapan yang dia berikan sebentar tadi seolah-olah tidak diterima. Mana tidaknya, Naqibnya Sufian telah betanya tentang What's Next dalam kehidupan anak-anak usrahnya. Jack cukup bersemangat bila bercakap tentang perancangan-perancangan kehidupan ini. Habis semua perancangan dia cerita. Bermula dari program keusahawanannya, hinggalah kepada membuka syarikat terbesar dalam dunia, dan menyenaraikan namanya sebaris dengan nama-nama tokoh korporat dunia lain seperti Donald Trump dan sebagainya. Namun jawapan jawapannya yang sangat hebat dan sering dipuji apabila diceritakan kepada rakan-rakan berbangsa Eropahnya, dijawab dengan soalan singkat, "selepas itu apa?". Panas sungguh hatinya. Memang sakit bila kita penat bercerita tapi sebenarnya cerita kita tak diterima orang. Sufian selepas itu mula menyusun biji-biji perkataan tentang tujuan hidup, tentang amanat Allah dalam Surah Ad-Dzariyat, yakni



وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ

"Tidak aku ciptakan jin dan manusia itu melainkan untuk beribadat padaku."

Jack menutup pintu hatinya. Tak kuasa dia mendengar segala perkara-perkara seperti ini. Baginya ini semua perkara karut. Idea berwawasannya sangatlah hebat, tapi tidak diterima. Mana mungkin dia dapat mendengar lagi. Semenjak itu, Jack tidak pernah hadir ke usrah lagi. Ada sahaja alasan yang diberi, ada sahaja tugasan yang belum diselesaikan.

***

Kaki Jack yang dari tadi menapak kedepan tiba-tiba berhenti. Dia sudah sampai ke taman yang terdapatnya sekuntum bunga tadi. Dia sangat geram dengan bunga itu. Dihampirinya bunga itu, dan.....

Bersambung.....

Sunday, January 24, 2010

Bunga Salju Bhgn 1


Seperti biasa, tepat jam 8 pagi kamar tidur Jack akan berdengung dengan kuatnya.
jam loceng beharga £9.00 nya menjerit memecah keheningan pagi.
Namun pagi itu jam itu dibiarkan menjerit tanpa dihentikan Jack.
Kesejukan Sang Salju yang mengakibatkan jalan-jalan memutih kesucian menyukarkan Jack untuk keluar dari duvet nya. Sejuk dan selesa katanya.

Namun, mengingatkan lecture "History Of Economic Thought" nya yang dijadualkan pada jam 9.00 pagi, Jack menggagahkan diri. Dia seorang yang sangat komited terhadap pembelajarannya. Apatah lagi, hidup di perantauan telah mengajar Jack erti menghargai masa.

***

Masih jelas dalam sanubarinya, wajah-wajah keluarga tercinta nun jauh di Seberang sana.
Garisan-garisan tua di wajah ayahanda dan bonda masih tidak mengurangkan sedikit pun kemanisan senyuman mereka. Jack sedar, ayah dan bonda pasti pilu dan sebak atas keputusannya melanjutkan pelajaran di negara orang. Apatah lagi abang dan adik jarang berada di rumah, sibuk dek mengejar segulung ijazah. Jack pasti, di sebalik senyuman yang terukir, pasti ada ombak air mata yang masih ditahan di lubuk hati mereka.

Bonda yang dari paginya sunyi diam tak berkata akhirnya tak mampu menahan sebak. Mata tuanya kelihatan berkaca-kaca. Jack sudah rasa serba salah. Tak sanggup rasanya melihat bonda tercinta mengalirkan air mata. Didakapnya si Bonda dengan rasa kasih yang tak terhingga. Perasaan syahdu menyelubungi mereka. Tangisan air mata yang mengalir menjadi saksi betapa kasihnya seorang ibu terhadap anaknya.

Sewaktu mata masih basah disiram perasaan hati, si Ayah memberi pesanan.
Amanat dari Abah katanya.
"Jadikanlah masamu disana satu manfaat, untuk kamu, dan semua orang yang mengharapkanmu."
Jack mengangguk tanda memahami. Tak disangka, ayah yang sering dijadikannya idola seorang lelaki yang berjaya tetap tak tertahan dari menitiskan permata-permata dari sungai air mata. Ternyata, perpisahan yang bakal ditempuhnya membawa perasaan hiba yang tak terhingga. Namun Jack faham, pengorbanan ini perlu dilakukannya untuk membantu keluarga. Pondok tempat mereka berteduh makin lama makin rapuh ditiup Bayu, makin kusam ditelan mentari. Jack tak mahu keluarga yang menjadi penghubungnya dengan kasih sayang terus hidup dalam serba kekurangan. Peluang yang terhidang untuk ke Luar Negara di garapnya kedua belah tangan.
***

Selesai membersihkan badan, Jack segera mengambil nota yang baru dicetaknya malam semalam. Setiap hari, Jack berjanji pada dirinya untuk membaca nota kuliah sebelum setiap kelas. Membantu pemahaman tegasnya. Jack sememangnya mempunyai ciri-ciri pelajar yang cemerlang. Setiap kelas dia merupakan antara pelajar yang paling aktif bertanyakan soalan. Pensyarah-pensyarahnya selalu memuji Jack. Dan sememangnya, ramai pelajar-pelajar lain yang merujuk padanya untuk menambah kefahaman pada subjek-subjek yang mereka pelajari.

Tepat jam 840 pagi, Jack bingkas bangun dari meja belajarnya. Perjalanan dari rumahnya ke kelas mengambil masa 10 minit. Jack tidak pernah lewat ke kelas. Baginya, adalah satu perkara biadap untuk datang lewat pada mana-mana kelas. Disiplin yang terbentuk hasil didikan seorang ayah yang tegas senantiasa terpapar pada personaliti Jack. Pernah sekali, semasa berumur 5 tahun, Jack telah didenda berjemur di panasan terik mentari kerana tidak menunaikan janjinya. Sewaktu itu Jack berjanji pada ayahnya akan membantu ibu membasuh pakaian, tetapi Jack telah pergi bermain bersama-sama rakan sebayanya. Sewaktu ayahnya balik dari menoreh getah, didapatinya Ibu masih lagi membasuh setelah pulang dari menjual kuih di pasar. Hampir bergegar sekampung mendengar ayahnya memekik memanggil Jack. Semenjak dari peristiwa itulah Jack menjadi seorang yang setia pada janjinya.

Sebaik membuka pintu rumahnya, Jack mendapati masih terdapat bijih-bijih keputihan yang turun dari langit. Salji. Sudah berhari-hari lamanya salji membanjiri kawasan itu.
Boleh dikatakan setiap inci pemandangan pada hari itu bewarna putih. Indah. Memang indah.
Pelik rasanya bila kita melihat pemandangan seindah itu. Maklumlah, kita biasanya mahukan kehidupan yang bewarna-warni, penuh dengan campuran warna yang indah. Namun entah kenapa, pemandangan yang serba putih salju pada hari itu kelihatan lebih indah dari segala warna yang dicampurkan.Bangunan yang biasanya bewarna perang kehitaman kelihatan putih berpanjangan. Padang rumput hijau yang biasanya diselang-selikan dengan kuntuman bunga mawar merah tetap tak seindah pagi itu yang bewarna putih gebu. Segalanya serba putih, seolah-olah putihnya seorang bayi dari dosa, suci.

Dalam keberlangkahan Jack, tiba-tiba dia ternampak akan sekuntum bunga. Yang masih berdiri teguh tatkala rakan-rakan dikiri kananya sudah lama layu menyatu dibumi. Jack berasa sangat aneh dengan kehadiran bunga itu. Masakan kesejukan melampau ini tidak mampu membunuhnya? Salji yang sudah hampir 2 minggu turun dengan lebatnya itu sepatutnya sudah lama menimbusnya. Tapi bunga itu tetap tegap berdiri.

Jack melihat jam tangannya. Sudah hampir 850 pagi. Tanpa berlengah Jack terus melangkah ke kelas. Walau dalam cuba untuk bergerak pantas, fikirannya masih lagi terganggu dek bunga yang tak layu itu. Seolah-olah satu gambar telah terlekat pada otaknya. Jelas terbayang kuntuman bunga itu. Dia merasakan seolah-olah ada makna disebalik bunga yang masih teguh itu.

Jack meneruskan langkahnya tanpa menoleh lagi.....
bersambung....

Friday, January 22, 2010

Tangisan Semalam


Semalam
Aku menangis
Kerana kecewa
Kenapa aku tidak terpilih.

Mata telah lama menyaksikan
Telinga sudah berkali mendengar
Mulut tidak terkira menutur
badan juga sudah jenuh rukuk dan sujud
Tapi hati...

Ya, semalam aku menangis.
Mengenang kekerasan hati
Mengenang akan hitamnya hati
Teringat akan kotornya hati.

Ya Allah
Adakah Kau tidak redha dengan hidupku?
Adakah tiada aku di pandangan Mu?
Adakah aku bukan hamba yang kau beri nikmat?

Sungguh, aku tak meminta harta pangkat
Namun aku tagihkan kasih dan redha Mu
Sungguh, aku tercari cari
Di mana suis hati
untuk menghidupkan cahaya Illahi

Ya Allah
Kau telah memberi ku berjuta nikmat
Dari sejak kelahiran hingga ke hari ini
Kau beri aku peluang mempelajari agamaMu
Malah Kau jadikan aku seorang Muslim dari kecil.

Kau campakkan aku dalam kalangan orang yang mengingatiMu
Kau tunjukkan padaku akan hakikat Muslim dan Islam
Kau beri aku peluang bersama orang yang Kau redhai.

Tapi Ya Allah
Adakah tidak ada aku di pandangan Mu?
Adakah kau tunjukkan ini semua untuk jadikkan aku penentang agamaMu?
Mengapa Ya Allah tidak terkesan hati ini
Mengapa Ya Allah tidak wujud ikhlas diri ini
Adakah kerna aku terlampau nista di pandanganMu?

Ya Allah
Sungguh, aku tidak akan hiraukan sesiapa pun andai mereka menganggap ku hina
Tapi Engkau Ya Allah
Aku merayu
Aku meratap Ya Allah
Janganlah kau letakkan aku dalam golongan yang zalim Ya Allah
Tidaklah ada tempat pengaduan selain-Mu.
Aku menadah rahmat Mu

Ya Allah, Aku melutut padamu
Berilah aku hidayah
Hati ini masih jauh dari sinar Ad-Din Mu
Hati ini masih degil, keras dan kosong
Ya Allah
Bantulah aku
Hambamu yang sangat hina



جَزَآؤُهُمۡ عِندَ رَبِّہِمۡ جَنَّـٰتُ عَدۡنٍ۬ تَجۡرِى مِن تَحۡتِہَا ٱلۡأَنۡہَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيہَآ أَبَدً۬اۖ رَّضِىَ ٱللَّهُ عَنۡہُمۡ وَرَضُواْ عَنۡهُۚ ذَٲلِكَ لِمَنۡ خَشِىَ رَبَّهُ ۥ
[Ayat 8] Al Bayyinah, Surah 98
Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah syurga Adn (tempat tinggal yang tetap), yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekalah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah reda akan mereka dan merekapun reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Balasan yang demikian itu untuk orang-orang yang takut (melanggar perintah) Tuhannya.


Ya Allah
Adakah Kau tidak redha akan aku?
Mengapa kau beri segala peluang ini andai hati ini masih keras?
Mengapa Ya Allah!!!!!!!!!
Aku merayu padamu
Lembutkanlah hati ini
Fahamkanlah hati ini
Berilah hati ini petunjuk
Berilah hati ini kefahaman
Berilah hati ini cahaya
Aameen.

Thursday, January 21, 2010

Permulaan Kalam


Puji-pujian buat Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani.
Demi sesungguhnya, tidaklah ada tuhan melainkan Dia, dan kepada-Nya kita sujud dan meminta.


Firman Allah,


وَمَا تَسۡقُطُ مِن وَرَقَةٍ إِلَّا يَعۡلَمُهَا

.....dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya,....
Surah Al-An'Am, 6:59



Demikianlah kehebatan Allah, dan sungguh, aku bersumpah tiada Tuhan melainkan-Nya.
Tiadalah satu Ilmu itu, jika bukan ia datang dari-Nya.
Tiadalah satu tindakan itu, jika ia bukan dengan izin-Nya.
dan Tiadalah satu hasil itu, jika ia bukan kehendak-Nya.

Jatuhnya dedaun mengisi lapangan,
Umpama jatuhnya hujan, menaburi taman.
Biiznillah disini aku mulakan perjuangan,
mendidik diri, keluarga dan teman.

Ketahuilah kamu betapa pada hari ini,
merupakan satu titik pertama untuk aku.
Titik yang akan menyambungkan Aku dengan Penciptaku.
InsyaAllah.
Doakan Aku mencapai citaku.
Menyambut rindu yang sudah lama terbuku untuk Pencipta Yang Satu.

Allahu'alam.