Kalamullah

Kalamullah

Sunday, October 23, 2011

Tarbiyyah, Proses Insaniyah




Apabila sinar hidayah memenuhi benak dada kita, maka akan timbul satu perasaan. Perasaan untuk berubah dan menjadi lebih baik. Ingin sekali untuk menjadi hamba yang paling zuhud, paling ridho. Itulah ni'mat mendapat sinar hidayah. Ni'mat untuk berubah.


Tapi wahai ikhwati sekalian.
Perubahan adalah satu proses, begitu juga dengan tarbiyyah. Benar, tarbiyyah itu mengubah, namun perubahan yang kita harapkan bukanlah satu lakonan atau satu pakaian. Tapi perubahan yang kita harapkan adalah perubahan hati, bergeraknya satu posisi kepada posisi yang lain atas kefahaman. Atas kesedaran. Dengan penuh rela dan yakin. Benar, kita mahukan perubahan itu berlaku dalam diri kita, tapi kita harus sedar, seorang insan tidak mungkin berupaya untuk bertindak seperti mesin, yang ada butang on dan off nya.


Maka transisi dari satu titik ke titik yang seterusnya memerlukan banyak pengorbanan. Memerlukan masa. Memerlukan kesungguhan. Memerlukan keazaman. Dan tentunya, memerlukan KESABARAN.


Banyak insan yang terlupa hakikat keinsanan yang ada dalam diri mereka. Mereka terlalu asyik dengan kehebatan dan kemampuan orang lain, sedangkan mereka terlupa terus asal usul dan sejarah hidup mereka. Mereka terlupa terus kemampuan dan kebolehan diri mereka. Maka mereka bertindak gopoh, melompat jurang yang terlampau besar. Akhirnya, mereka jatuh dan terasa pedih dan kecewa. Saat itu, mampukan semangat terus menyalakan jiwa? Mampukan keinginan terus menguasai tubuh badan kita? Atau akan tumbuh bibit-bibit kekesalan, rasa tidak mampu, dan mula tercungap-cungap mencari pintu keluar.


Akhi, jalan ini tidak pernah berpintu. Ia tidak ada pintu masuk, dan tidak pula ada pintu keluar. Jalan ini adalah Jalan Juang, yang mulanya pada saat kita membuka mata, dan akhirnya pada saat roh kita mencari Tuhan Yang Maha Esa.


Akibatnya, kita terlupa pengajaran dari hidup si Beluncas. Hidupnya penuh perlahan dan hati-hati. Hidupnya juga tidak seceria mana. Apabila ia 'sedar' masanya tiba untuk berubah, maka ia pun mula menjadi seekor pulpa. Juga perlahan-lahan, sang pulpa menanti masa. Dia terlalu ingin menjadi seekor rama-rama. Tapi ia sedar, perubahan yang ia harapkan, mestilah datang sesuai dengan kemampuan dan kebolehannya. Maka sang pulpa terus menunggu. Sehinggalah satu hari, apabila dirasakan secara ''natural'', tubuhnya sudah kuat, maka sekali lagi Sang Pulpa menjadi seekor rama-rama. Rama-rama yang cantik, riang dan menarik. Apa jadi kalau si Beluncas mahu menjadi rama-rama sekelip mata? Tidakkah dia akan hanya bermimpi? Dia perlu melalui proses itu: tarbiyyah. Bagaimana pula kalau Sang Beluncas mahu cepat terbang? Jangann! Nanti kalau terlalu cepat, perubahan itu tidak kekal. Sayap yang tumbuh akan layu dan akhirnya rama-rama akan mati dengan begitu cepat.


Itulah sunnatullah yang mahu diajarkan pada kita. Jangan terlalu gopoh dalam melakukan perubahan. Baik pada diri sendiri, mahupun pada diri orang lain. Tapi maksudnya disini, bukan terus menunggu dan tidak melakukan apa-apa, itu salah sama sekali..!! Kalau beluncas tidak menjadi pulpa, dia tidak akan boleh menjadi rama-rama. Perubahan perlu dilakukan, tapi seiring dengan masa. Itulah yang sukarnya, dalam hidup ini, semuanya atas ''kehakiman'' yang kita letakkan. Neraca mana yang kita gunakan. Kita juga yang kena memilih, tindakan apakah yang terbaik untuk dilaksanakan.



مَا لَكُمۡ كَيۡفَ تَحۡكُمُونَ (٣٦) أَمۡ لَكُمۡ كِتَـٰبٌ۬ فِيهِ تَدۡرُسُونَ (٣٧) إِنَّ لَكُمۡ فِيهِ لَمَا تَخَيَّرُونَ (٣٨) أَمۡ لَكُمۡ أَيۡمَـٰنٌ عَلَيۡنَا بَـٰلِغَةٌ إِلَىٰ يَوۡمِ ٱلۡقِيَـٰمَةِ‌ۙ إِنَّ لَكُمۡ لَمَا تَحۡكُمُونَ (٣٩) سَلۡهُمۡ أَيُّهُم بِذَٲلِكَ زَعِيمٌ

Mengapa kamu [berbuat demikian]: bagaimanakah kamu mengambil keputusan? (36) Atau adakah kamu mempunyai sebuah kitab [yang diturunkan Allah] yang kamu membacanya?, (37) bahwa di dalamnya kamu benar-benar boleh memilih apa yang kamu sukai untukmu. (38) Atau apakah kamu memperoleh janji-janji yang diperkuat dengan sumpah dari Kami, yang tetap berlaku sampai hari kiamat; sesungguhnya kamu benar-benar dapat mengambil keputusan [sekehendakmu]? (39) Tanyakanlah kepada mereka: "Siapakah di antara mereka yang bertanggung jawab terhadap keputusan yang diambil itu?" (40)




Pada akhirnya, kita akan ditanya, adakah kita melalui proses itu dengan sebaik-baiknya, atau kita mengurangi, ataupun melebihinya.

Monday, October 17, 2011

Istiqamah


Kunci kepada satu perjuangan, atau dalam kata lainnya, 3 wasilah umum dakwah:
1)Imanul Ameeq
2)Takwinul Daqiq
3)Amalul Mutawassil

Dan yang paling peritnya, adalah Amalul Mutawassil. Kerana had perjuangannya, dari mula kita bernafas, sehingga tercabutnya roh dari jasad. Istiqamah. Berterusan.

Sungguh, dakwah bukan sekadar sebuah projek mega. Yang akan memakan masa kita, sehinggalah projek itu berjaya. Tapi dakwah adalah benih kehidupan dan nyawa. Ia adalah hirupan udara, degupan jantung, malah ia adalah punca ataupun sebab yang melayakkan kita untuk terus hidup.

Maka ayuhlah, kita cuba mencari rentak paling sempurna untuk terus istiqamah. Terus dan terus melangkah tanpa henti. Setiap kali jatuh, bangun semula. Setiap kali terpesong, kembali! Setiap kali suudzon, jernihkan dgn husnudzon. Istighfar dengan setiap dosa. Setiap kali rasa marah, tenang, istighfar dan ingatkan jiwa akan kekerdilan kita sebagai hamba. Sabar itu barangkali lebih mahal harganya dari segala amalan yang pernah kita lakukan. Setiap retak-retak dalam hidup ini, tidak lain hanyalah akan menjadikan jalan ini makin susah. Maka hindarilah semua itu, sinarilah dan pancarkanlah dengan cahaya keimanan dan kasih sayang. Tanpanya, tidak mungkin bendera ini mampu dipegang lama. Ia pasti akan jatuh tidak bersambut. Dan pada waktu itu, barangkali tiada lagi jalan kembali.

Wallahua'lam

Tuesday, October 11, 2011

Taman Syurga



Obsesi seorang muslim itu seharusnya pada akhirat. Pada ganjaran dan habuan yang ditawarkan pada hari yang tidak ada penyelamat selain Dia. Itulah obsesi KITA yang sebenarnya.

"ada si fulan, yang hidupnya di dunia penuh sengsara, penuh dengan kesusahan dan kepayahan. Ujian datang silih berganti, hidupnya tidak pernah senang dan penuh pancaroba. Akan tetapi, di hari kiamat, si fulan telah dicelupkan sekejap sahaja di dalam syurga, dan apabila dia ditanya, apakah dia pernah merasai kesusahan, maka jawabnya, demi Allah, aku tidak pernah merasai kesusahan, walau sedikitpun."

"Ada si fulan yang lain pula, hidupnya di dunia penuh kemewahan. Dia sentiasa dalam keadaan sangat bahagia dan kaya-raya. Segala nafsu yang terbayang olehnya semuanya diperoleh dengan mudah. Dia cukup senang. Tetapi, di hari akhirat, dia dicelupkan sekejap sahaja di dalam neraka, dan apabila dia ditanya apakah dia pernah merasai kesenangan, maka dia menjawab, demi Allah, aku tidak pernah merasai kesenangan, walau sedikitpun."

Demikianlah dahsyatnya gambaran syurga dan neraka. Taman syurga umpama nikmat yang terlampau hebat, sehinggakan seorang yang penuh tersiksa di dunia apabila memperolehnya merasakan seolah dia tidak pernah merasai susah pun. Dia lupa akan semua kesusahannya kerana merasai nikmat yang tidak terhingga di syurga. Tapi lubang neraka pula, amat dahsyat seksaan dan sengsaraannya. Sehinggakan, seorang yang penuh mewah dan senang, terus melupai yang dia pernah merasai kesenangan dan kemewahan. Kepedihan dan keperitan api neraka melucutkan terus segala perasaan indah yang pernah dinikmatinya.

Maka kerana itulah, obsesi seorang muslim itu ialah pada akhiratnya. Kita mengejar apa yang disana.

Dan menyoroti jalan yang pernah dilalui insan-insan yang hebat, para anbiya' dan tabi'in, kesemuanya melalui jalan yang penuh keperitan. Tapi kini, mereka pastinya sedang berehat lega dan penuh tenang di bawah pohon syurga. Pastinya mereka sedang bersenang-senang menikmati ganjaran atas segala pengorbanan yang telah mereka lakukan. Taman-taman syurga pastinya bangga menerima mereka sebagai penghuni. Setiap peluh dan darah yang mereka gadai dan pertaruhkan untuk agama, semuanya dicatat dan dibalas dengan sebaik-baiknya. Dan nah, manisnya perjuangan itu, adalah pada akhirnya, setiap pejuang itu akan berada di syurga, menikmati segala janji yang diberikan. Lihat dan baca sahajalah kisah-kisah mereka ini.

Maka siapa pula yang tidak mahu mengikuti jejak mereka. Mereka sudahpun berada di tempat yang terbaik. Obsesi mereka membawa mereka ke syurga. Kita?

Wallahua'lam

Saturday, October 1, 2011

Terik Tarbiyah




(67:2)
"Yang menciptakan mati dan hidup, untuk Dia menguji siapa antara kamu yang paling baik amalannya. Dan sungguh, Dialah yang Maha Agung, Maha Mengampuni"

Hidup, salah satu dari ciptaan Al-Khaleeq. Mati, juga ciptaanNya.
Dan antara kedua-duanya, adalah lapangan amal. Dan lapangan ini, memerlukan kecekalan dan keutuhan jiwa. Cukup sukar.

Kita perlu untuk mematangkan tarbiyyah diri. Andai kita gagal melakukan ini, nescaya akan terurai ikatan dan kefahaman yang ada. Akan perlahan-lahan, jiwa dan emosi kita larut dalam lautan dunia. Tujahan dan hempasan ujian, pastinya akan menghakis keimanan yang telah terbina. Dan andainya bangunan ini tiada sokongan, nescaya walau sekukuh dan kuat manapun ia, pasti akan tumbang jua akhirnya.

Kemudian, datang pula isu dakwah. Apa lah gunanya tarbiyyah yang makin meninggi seandainya ia statik dan berhenti? Tapi kalau kita melangkah untuk berdakwah, kadang terasa seolah meredah angin halilintar. Dan dengan mudah dan pantasnya, segala muwasafat yang terbina, seolah lesap tanpa kesan. Apakah ini signal kelesuan iman?

Oh, teriknya tarbiyah.

Mana tidaknya, tanpa dakwah juga, tarbiyah yang membina jiwa kita akan makin layu dan kelam. Makin dilupakan. Makin tenggelam. Perlunya medan amal yang memacu kimpalan kefahaman.

Andai kita ingin memahami sesuatu, kita perlu dengar, faham, dan terus amalkan. InshaAllah tidak sesukar mana. Tapi untuk kita memberikan kefahaman kepada seseorang, apa pula langkahnya? Apa ukuran keberjayaannya? Dimana garis penamatnya? Apakah ianya mudah untuk disalurkan? Atau akan bergeser dan terluka sana sini?

Pada waktu ini, teringat satu konsep yang cukup indah.
"Selemah-lemah ukhuwah ada Salamatus Sadr(berlapang dada), dan setinggi-tinggi ukhuwah adalah itsar(mendahulukan orang lain)."

Sejauh mana kita mampu merealisasikan tarbiyah ini, dalam kehidupan kita? Dan bukankah tarbiyah mengajarkan kita untuk hidup dengan kefahaman, menjadi hidup berjalan sambil melambang dan mengajarkan kefahaman tersebut?

Wallahua'lam