Kalamullah

Kalamullah

Tuesday, March 22, 2011

Benarkah kita diatas Kebenaran?


Dalam Al-Quran, Allah sering mengaitkan kebenaran dengan cahaya, dan kebatilan sebagai zulm(kegelapan). Pernahkah kita terfikir mengapa..???

Hakikatnya, cuba kita bayangkan sebuah bilik yang gelap. Inilah perumpamaan sebuah kebatilan, penuh disulam kejahilan yang pekat hitamnya. Kemudian, datang pula sebuah kebenaran, yang berupa cahaya. Pada waktu inilah, kegelapan itu dipecahkan oleh cahaya. Kebenaran akan menutup segala kebatilan.

Kata-kata seorang teman,

Gelap itu tandanya tidak ada cahaya. Batil itu juga tandanya tiada Al-Haq.
SubhanaAllah... Tepat sungguh kata-kata ini! Batil dan Haq itu bukannya dua entiti yang berbeza, sebaliknya ia merupakan tanda tidak wujudnya yang satu lagi. Umpama malam dan siang, umpama panas dan sejuk. Tidak wujud pertarungan antara dua elemen ini, yang ada hanyalah sama ada Batil, ataupun Al-Haq!!

Maka ikhwati fillah...

Cubalah tanyakan pada diri kita, apakah kita ini cahaya ataupun kegelapan. Apakah kita ini sebuah bilik yang terang ataupun gelap? Adakah dalam diri kita sudah tertegak Al-Haq, atau masih dalam timbunan runtuhan kebatilan? Sekali lagi, katakanlah pada diri kita, andai kita benarkan cahaya itu memasuki hati kita, maka akan terlerailah satu-persatu kejahilan. Jahiliyyah tidak akan pernah mampu untuk bertarung dengan kebenaran..

Dan andai benar kita membenarkan cahaya menerangi kamar kegelapan kita, maka hayatilah...
Fahamilah dan amatilah, kisah perjuangan kekasih kita, Ar-Rasul SAW, dalam siri dakwah baginda dalam mengislah ummat manusia seluruhnya. Bagaimana sehingga Nabi digelar gila dan tidak siuman, gara-gara penuh konsentrasi dan komitmen dalam menyampaikan Islam.


Kata orang, bila kita benar-benar berada diatas kebenaran, maka kita akan menjadi super-gila. Kerana hakikatnya, kebenaran itu adalah gila, dimata yang masih kabur akan perjalanan kehidupannya. Tanyalah diri kita, adakah kita telahpun menjadi gila, sehinggakan kita sanggup meninggalkan segala-galanya. Kita sanggup tinggalkan harta, kepentingan dunia, keinginan hati, segala-galanya!! semua ini, semata-mata, demi menjadikan bilik kita bercahaya, kerana kita tahu, kegelapan yang ada, hanyalah tanda kita masih belum bersedia meneranginya.

Wallahua'lam.


Tuesday, March 8, 2011

Tak semua orang masuk syurga..


Hohoho... mungkin anda akan merasakan tajuk post kali ini agak kasar/keras.
Hrm... tapi apakan daya, memang itu hakikatnya. Takkanlah saya nak berbohong semata-mata kerana tidak mahu berlaku keras/tegas kan???

Hrm... cuba lihat di kiri dan kanan anda. Kawan-kawan anda, abang-abang senior anda, adik-adik junior anda, sheikh-sheikh yang mengajar anda, pak arab-pak arab, semuanya sekali. Bayangkan, dalam ramai-ramai orang yang berbuat kebaikan, yang sekali pandang sahaja mereka ini, kita sendiri akan merasakan saaannggaaat kerdil nak bandingkan dengan amalan mereka, hanya beberapa sahaja dari kalangan ini yang akan masuk syurga. Errrkkk!! maksudnya, yang lain-lain akan ke neraka??

Menakutkan, ya?
Macam mana kita nak lebih ''tinggi'' chance masuk syurga, sedangkan dah raaaammmaaaaii orang yang lagi hebat dari kita? seolah-olah, mcm dalam lumba lari, kita dah ketinggalan 400m. Macam mana nak kejar semula, betul tak? Habis tu... Kira kita memang masuk neraka lah?

oh.. Tidak, sudah tentu tidak...
Disebabkan kita diizinkan untuk merasai nikmat kesedaran sedikit lewat berbanding dengan kawan-kawan, abang-abang yang lain, bukanlah bermaksud kita berada di belakang dalam perlumbaan meraih ridho Allah. Tapi kerana Allah mengetahui, dengan kapasiti dan had kita, dengan kesungguhan dan kemampuan kita, sebenarnya kita mampu untuk melakukan perkara-perkara yang lebih dahsyat dari mereka. Amal mampu jadi sebesar/lebih besar dari amal mereka. Kita sebenarnya boleh lebih banyak pahala berbanding mereka. Ya, kita sebenarnya boleh menjadi lebih hebat dari pak arab dan sheikh-sheikh. Dari abang-abang kita.

Cuma kuncinya disini....
Dimana kesungguhan kita? Dimana kemahuan kita??
Himmah(semangat) punya 3 rukun yang cukup cantik.
1-Iradah(keinginan) yang kuat
2-Respon Cepat pada benda-benda yang ada
3-Istiqomah dengan perubahan/peningkatan yang cuba dilakukan.

Kalaulah semangat yang ada dalam diri kita pun hanya seciput buah rambutan..
Hoho... Maaf cakaplah, mungkin syurga tu melampau kut untuk even kita mimpikan.
Macam orang yang duit tak ada, kerja pun tak ada, semangat nak cari kerja pun tak ada, tapi nak mimpi beli satu negara.

Macam saya cakap, melampaulah!

Point dia disini, dimanakah semangat kita? Dimanakah kesungguhan kita? Dimanakah keinginan kita? Dimanakah rasa hamba kita? Heyy!! Kita dah dengar syahadatul Haq. Dah tahu hakikat dan tanggungjawab yang kita pikul terhadap kalimah syahadah yang kita ucapkan. Apakah ianya terhenti disitu sahaja??

Maka persoalan yang perlu kita tanya setiap saat.
Betulkah kita ini ingin masuk syurga?
Ataupun.... kita just rasa nak masuk syurga sebab semua orang lain nak masuk syurga??
Hey, tahu ker apa dalam neraka tu?
panas jer??
Hey, neraka tu adalah tempat berhimpunnya orang-orang zalim, kejam, kufur, degil, jahat. Namakan sahaja. Firaun? Namrud? Qarun? SEMUA nya dalam neraka.
Bahkan syaitan si penghasut pun akan bersemayam didalamnya.
Dan ketahuilah, mereka semua akan tinggal disana SELAMA-LAMANYA. Kalau kita masuk neraka... Kita juga adalah makhluk yang sebaris dengan mereka dalam amalan. Kita juga akan berada dalam neraka SELAMA-LAMANYA. Beranikah kita??

Syurga itu mahal harganya.
Kalau orang lain telah membuat bidaan yang tinggi padanya, apakah kita sangka dengan hanya mengetahui mahalnya syurga sudah cukup untuk melayakkan diri kita memasukinya?
Di mana semangatmu?
Apa kau ingin dibaham api yang menyala?

Sedangkan neraka sendiri sudah tidak termampu menelan kesemua manusia-manusia yang leka dan tidak patuh pada Tuhannya.

Ingatlah, tak semua orang masuk syurga.
Mungkin sekarang kita mampu gelak ketawa dan gembira dengan ukhuwah, dengan manisnya gurau senda, dengan seronoknya main-main, ingatlah...
Satu hari nanti ini semua akan menjadi hujah, sama ada hujah untukmu atau hujah kepadamu.
Maka, bersiaplah...

Tak semua orang masuk syurga. tapi pastinya kita ingin tergolong didalamnya.
Jom, kita tunjukkan semangat kita kepada Allah, lebih dari semangat yang ditunjukkan oleh orang disekeliling kita.
Biarlah Allah sendiri mengingati kita sebagai "hambaku yang cukup bersemangat dengan amalannya yang memuncak itu..."

Ya Allah, redhakanlah Kami sebagai hamba yang kau redhai.
Dan jadikanlah kami orang-orang yang bermakna kepada agamaMu ini Ya Rabbi..
Aamin..

Wallahua'lam

Friday, March 4, 2011

Hidayah jarang datang bertandang..


Sungguh, manusia itu jarang sekali bersyukur. cukup naif bila bercakap tentang penghargaan. Kita butuhkan segala macam ganjaran, layanan. tapi bila mula dihitung usul penghargaan.... mungkin sekali kitalah yang paling tidak memahami atau lebih teruk, kitalah yang paling menentang konsep menghargai ini. Kita nistakan si pejuang dengan kata-kata pertikaian keikhlasan, kita jolokkan jihadnya dengan tuduhan-tuduhan melampau. Apakah ada tempat untuk orang seperti ini dihadapan Allah kelak?

Itu baru penghargaan kita dengan manusia. bagaimana pula dengan Pencipta kepada manusia tersebut?

Sadarkah kita, betapa banyak peristiwa yang telah disusun dalam kehidupan kita untuk dititipkan dengan secebis nikmat hidayah? rasa izzah dan cinta kepada ad-deen. rasa tanggungjawab, rasa hina diri, rasa bersalah, rasa loser dan rasa kecewa dengan amalan kita yang lesu. Apakah anda rasa perasaan ini biasa? Hey!! Inilah pintu-pintu kepada hidayah!
Siapa sahaja yang diberikan peluang untuk rasa dirinya loser? Betapa ramainya orang diluar sana yang merasakan dirinya cukup hebat dan ditenggelami ego dan kerakusan. Betapa ramainya orang diluar sana yang tidak punya rasa bersalah, rasa hina, kecewa dengan hidupnya.

Semua inilah pintu hidayah wahai ikhwah kesayanganku.
Tatkala kesemua pintu-pintu ini ditutup, dan kita merasakan cukup. Maka istighfarlah..
Mungkinkah hati kita sudah menjadi terlalu hitam hinggakan tiada cahaya yang menerpa..

Masalah ummah hari ini, tatkala didatangkan dengan perasaan-perasaan sebegini, tidak pernah berlaku muhasabah yang berpanjangan. dan tentunya, tidak ada berlakunya tindakan sebagai langkah penjagaan semangat. biasanya semangat yang ada itu dibiarkan terkubur dek tiada tindakan. Maka, boleh jadi kita yang suatu masanya menangis kerana rasa bersalah pada tuhan, kecewa kerana rasa hina, kini tidak lagi merasai perasaan-perasaan itu, bahkan yang lebih teruk, kita merasakan kesemua perasaan itu hanyalah mainan emosi. dan kita terus menolak tentang segala perkara dan peristiwa yang membawa kita kepada tahap tersebut.

Saat tercabutnya perasaan-perasaan ini dari lubuk hati kita..
Ujilah tahap keimanan kita, kerana hakikatnya ia terlalu rendah hingga tidak layak diuji Allah sekalipun. Rupa paras, kacak wajah dsb,
kesemuanya kita akan inilai berdasarkan keimanan.

Dan perhatikanlah!!
Jika benar kita telah meninggalkan saat-saat sedemikian, apakah kita masih lagi punya perasaan/keazaman yang serupa pada waktu ini? Ataukah kesemua itu sudahpun ditenggelamkan dek dahsyatnya arus nafsu dan gelojaknya haloba. Ketahuilah, hidayah tidak bertandang berkali-kali. Apabila ia datang sebaliknya kita tidak menghargainya, kita tidak mengendahkan ia, ataupun kita hanya menyambutnya buat beberapa ketika, kita tidak menggengam seerat mungkin....
Ketahuilah, perasaan itu mungkin pergi, dan tidak akan kembali, buat selama-lamanya...

Saya doakan, moga Allah titipkan semangat dan keazaman kepada seorang teman yang saya kasihi, supaya Allah kembalikan roh Islam yang dahulunya mekar dalam jiwanya. Moga Allah menjaga kita semua dari kemunafikan, dari kelesuan dan kereputan himmah.

Benar, sekali kita terlepas dari tiang hidayah, alangkah sukarnya untuk kita kembali memegang erat dan melekat padanya.

Ya Muqallibal Qulub...
Tsabbit ala deenik.

Aamin.

Tuesday, March 1, 2011

Andai kita sedar betapa singkatnya hidup ini...

Berapa ramai antara kita yang berkobar ucapannya dalam bermadah tentang perjuangan, tentang pengorbanan. beriya-iya kita mengibarkan bendera pengorbanan.

Tapi sayangnya, dalam puluhan daie yang sanggup berjuang ini, hanya tinggal berapa sahaja yang benar-benar bekorban??
Cukup ramai yang tertapis, dek tak tertahan pengorbanan dan permintaan yang dibutuhkan dakwah ini. Siapa mampu, untuk mengorbankan jiwa dan raga sepenuhnya, tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Ya, kita beri itu dan ini, kita curahkan tenaga, kita infaqkan sepenuhnya masa, kita beri segala macam harta yang kita punya... kemudian, buussshh!!!! kita dihentap lagi dengan ujian, kita dicucuh lagi dengan api kesakitan dan penderitaan.
Oh, apakah peperangan yang kita hadapi ini??

Ya, inilah jalan dakwah, yang mana orang-orang yang mahu berjalan diatasnya perlu sedar, sepanjang perjalanan setiap titis darah perlu sedia dikorbankan, setiap detik masa perlu sedia diinfaqkan, setiap cebisan harta perlu sedia dihulurkan. Kerana kita hidup bukan untuk kita, sebaliknya kita hidup sepenuhnya untuk perjuangan fikrah Islamiyyah ini. Kita hidup sepenuhnya untuk Allah. Kerana kita sedar, betapa singkatnya kehidupan sebelum kematian ini.

Dan, adapun para daie yang masih tsabat dan masih berjuang, betapa ramai pula antara mereka kekal bernafas dengan meletakkan limitasi pada perjuangan mereka. Lihatlah betapa rendahnya mereka meletakkan limit pada diri mereka. Masa hanya dikorbankan apabila diminta. Tenaga hanya dicurahkan apabila dipujuk. Komitmen hanya dihulurkan apabila ditanya. Harta hanya diinfaqkan apabila sesi pujuk rayu dan taujih yang panjang dilaksanakan. Oh, betapa lemah dan kerdilnya jiwa kita??!!

Apakah janji Allah tidak terlalu indah untuk kita nafikan.
Apakah ridho Allah tidak cukup lumayan untuk kita perjuangkan.
Apakah cinta Allah tidak terlalu melekakan untuk kita ghairah kejarkan.

Andai kita sedar betapa singkatnya hidup ini, pastinya pengorbanan bukan lagi satu persoalan, kerana kita tahu, apa yang kita beri adalah satu benih yang kita tanam untuk kita tuai di syurga kelak...