Kalamullah

Kalamullah

Friday, June 25, 2010

Bukan semua...


Bismillahi Ghafurrur Rahim

Duhai diri, Aku harap kau sedar akan apa yang sedang kau lakukan.
Ingat, setiap saat yang berlalu, tidak akan kembali bertamu.
Apakah nanti kau mampu menangkis segala persoalan yang diajukan terhadap saat-saat yang kau bazirkan?

Oh, jiwa, jangan kau berani hirup walau sezarah udara!
Kalau masa yang kau peroleh dengan bernafas bukan untuk bekerja untukNya.
Ya, mungkin benar kau sekarang terpaksa bertempur dalam lumpur.
Ya, mungkin benar kau juga kini terbelenggu dengan rantai darah yang membataskan dirimu
Ya, mungkin juga benar, untuk kau pertahankan imanmu juga, sudah dikira jihad

Tapi, mungkin kau terlupa.

"Dan sungguh, usahamu beraneka macam. Maka barang siapa yang memberikan dijalan Allah dan bertaqwa, dan membenarkan adanya yang terbaik, Maka akan kami mudahkan baginya jalan menuju kesenangan"
Surah Al-Lail, 92:4-7


Ya, benar. Kalau benar iman didadamu meronta-ronta untuk beramal kepadanya, maka kau tidak akan menjumpai apa-apa alasan untuk menghalangimu.
Yang akan kau jumpai, hanyalah bantuan-bantuan Allah yang beserta dengan semangat jihadmu.
Berhentilah beralasan, dan berhentilah menjadi ahli ibadat yang bermain2!
Kau itu 'abid Allah, dalam masa yang sama khalifaturrahman!

Hai orang muda!
Semangat yang membuak-buak kurniaanNya, bukan satu kurniaan yang percuma!
Apa kau ingin dicela dihari kemudian?
Kau sanggup, pada hari itu, kau diseru dengan kecelakaan?
Hey, sedarlah, tanggungjawabmu sangat besar!
Setiap saat yang ada adalah masa untuk kau menyempurnakan tugasmu.

Malu lah kamu, baru dihidangkan dengan arus dunia di depan mata, kau sudah seakan hilang arah tuju, kau hampir sahaja tergelincir dari niat yang satu.
Kalau beginilah lemahnya hatimu, bagaimana ingin kau berjihad dijalanNya?
Benarlah kata Allah, hanya hambaNya yang terpilih sahaja yang layak untuk membawa panji-panji Islam. Tidak mungkin akan dibiarkan orang mu'min dan munafik dalam satu golongan tanpa didatangkan ujian untuk membezakan antara mereka.

Kalau kerikil yang berlari di udara dek lontaran si pemuda pun bukan semua yang akan mengena sasaran, apatah lagi kita manusia, yang diberikan kelonggaran memilih sendiri haluan perjalanan hidup. Oh jiwa, sedarlah!!
Aku tidak mahu menjadi kerikil yang tidak mengenai sasaran, aku tidak sanggup pada hari kebangkitan nanti diseru dengan nama-nama yang hina, aku tak sanggup dimurkai tuhanku, aku tidak mahu nanti aku digelar sebagai pendusta ayat-ayatNya!

Bukan semua hamba layak diredhoi..
Layakkah aku? Ya Allah...
Ya Allah, tetapkanlah hatiku ini, khusus untuk Mu.
Aamin.

Tuesday, June 22, 2010

Kini, debaran bergema


Panjang perjalanan si pengembara.
Bila ditoleh kebelakang, nyata begitu banyak selekoh yang sudah dilalui.
Namun, bila didongak kedepan, jutaan lagi selekoh yang menanti.

Wahai diri!
Sedarilah kamu, ini bukan masa untuk meraikan kejayaan silam.
Tapi saat untuk mencongak rancangan mendatang.

Ah, perasaan apakah ini?
Apakah benar tindakanku untuk menjejak ke medan perang?
Sedangkan diri jauh sekali dari kelengkapan kader tentera?

Oh Tuhan!
Lindungilah daku dari kelalaian masa lapang
Peliharalah aku dari perasaan selesa tak semena

Ya Allah,
Kau berilah aku bantuan yang terbaik menurutMu
Agar aku tidak tergelincir dari jalan ini.

Janganlah kau benarkan aku berehat!
Kalau itu syaratnya untuk ke syurgaMu

Tiada apa yang aku mahu, selain ridhoMu.

Sungguh, debaran jantung ini sukar digambarkan.
Aku khuatir, kepulangan ini kan membawa kecelakaan
Kepada diri yang belum bersedia sepenuhnya.
Ya Allah, lindungilah!!

Wahai diri!
Dakwah dan tarbiyyah itu sepanjang masa.
Sesaatpun tanpanya, maka matilah roh yang ada dalam jiwamu.
Jangan sampai kau sendiri tidak sedar, kematian Iman dalam hati.
Nauzubillahimindhalik.

Friday, June 18, 2010

Mencari RidhoNya


Bismillahil Ghafurrurahim
SubhanaAllah.
Tiada kata seindah bicara, tiada bicara seindah firman dariNya.

"Pergilah kamu mendapatkan apa(azab) yang dahulu kamu dustakan."

Al-Mursalat, 77:29

Nauzubillahimindhalik. Andai ini ucapan yang dilemparkan ke muka kita pada hari itu, maka nyatalah, penyesalan akan menghantui jiwa. Tapi, apalah guna penyesalan, tanpa tindakan dan kekuatan. Firman Allah lagi,

Dan (alangkah ngerinya), jika kamu melihat orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya dihadapan tuhannya(sambil berkata), "Ya tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami ke dunia, nescaya kami akan mengerjakan kebajikan. Sungguh, kami adalah orang-orang yang yakin."

As-Sajdah, 32:12

Ngerinya suasana pada waktu itu!
Bayangkan, dalam keadaan angkuh, manusia diatas muka bumi menolak kekuasaan tuhan. Ditentangnya sunnatullah tuhan, digantinya dengan sistem haloba dan nafsu, disulamnya dengan ego dan sombong. Tapi, bila dibukakan hijabnya untuk melihat azab api neraka, maka tunduk mereka tersembam memohon agar dikembalikan semula ke dunia.

Suara-suara seperti ini akan hanya lahir dari golongan-golongan yang tidak taat dan patuh pada perintahNya. Bagaimana dengan kita?

Bila terpacul soalan begini, akulah antara orang yang paling kecewa dengan diri sendiri. Tidak punya kudrat untuk melawan syaitan menentang masalah hati. Mudah sekali aku membenci, sedangkan aku dicipta untuk menyayangi. Mudah sekali aku kecewa, sedangkan ujian itu memang dicipta untuk menapis kelemahan. Mudah sekali mengeluh, mencari salah situ dan sini, sedangkan hidup dan mati ini sudah ada penilainya, yakni Rabbul Alamin. Apatah lagi, aku sedar, tugas yang ada masih terlalu banyak yang tidak dipenuhi. masih terlalu banyak yang tidak aku selesaikan. Apakah kegagalanku melaksanakan perintahNya akan menjatuhkan aku kelembah kehinaan dan kenistaan? Apakah nanti aku akan dilemparkan dengan kata-kata diatas, kerana kelalaianku dalam bekerja? Apakah kehancuran yang ada ini semua salahku?

Sedih pembuluh hati, bila ummat ternyata sangat tenat menanti. Bila matlamat hidup belum difahami, maka wujudlah aliran-aliran fikiran yang merisaukan. Yang haram dihiaskan menjadi halal, yang wajib diringankan menjadi sunat, yang cantik dipijaknya menjadi buruk.
Nyatalah, kita sudah lama berada dalam ghazwah ini. Ghuzwatul Fikr!
Peperangan pemikiran yang merosakkan kualiti ummat.

Ya Allah, Kau kuatkanlah hati ini untuk terus mencari RidhoMu. Aku takut, aku tak mampu terus berada di bawah payung cintaMu!

Monday, June 7, 2010

Aku punya tugas!


Aku serba salah.
Memang tak sanggup untuk aku menolak kewujudanmu.
Malah, memang engkaulah yang banyak mengajarku.
Air mata yang mengalir dari pipimu
Sememangnya pedih untuk aku tatapi.
Apatah lagi, jika ia datang dari kekasaran diriku.

Aku faham akan kasihmu.
Aku juga mengerti, kau bukan berlaku demikian dengan sengaja.
Tapi aku ingin kau tahu
Aku ini bukan milik mu.
Mungkin aku memang terhutang budi, malah darah denganmu.
Tapi aku berhutang nyawa, nafas, nadi dan segalanya dengan Tuhan.
Aku punya tugas yang Dia pertanggungjawabkan kepadaku.

Bukan aku tak pedih melihat kau mencebik muka
Malah hati ini meronta-ronta kesakitan
Meminta-minta penyelesaian..
Kedinginan yang kau sajikan
Ibarat halilintar dalam jiwaku
Tapi aku ingin kau mengerti
Aku punya tugas.
Dan aku tidak rela dihantui kelalaian kepadaNya
Semata-mata ingin memenuhi senyum tawamu.

Biarlah kau tidak bertutur walau sepatah denganku
Biarlah kau anggap aku derhaka pada kasih yang kau curahkan
Biarlah kau anggap aku tak mengenang budi
Asalkan nanti, aku punya ruang untuk membawamu ke syurga bersamaku
Asalkan nanti, kita akan digolongkan dalam golongan yang dikasihiNya
Itu cita-citaku
Meluangkan masa di syurga bercerita tentang kisah ringkas kita di dunia
Sambil bergelak ketawa ceria
Pada waktu itu, kau akan tahu betapa aku menghargai kasihmu
Kau akan mengerti, betapa aku menyayangimu.

Tapi aku yakin
Kau tidak akan mencebik muka
Kau tidak akan bermasam sentiasa
Kau tidak akan membatu bisu denganku
Kau tidak akan menjadi dingin tak bersuara
kerana aku tahu
Kau juga tahu akan tanggungjawab padaNya
Kau juga mengerti hidup ini ada matlamatnya
Dan kau juga, sangat menyayangiku
empukan belaian yang kau sisipkan
Mana mungkin ia bertukar jadi geseran kebencian

Aku khuatir untuk menceritakan realiti
Kerana aku tak tahu apakah reaksimu
Kerana aku tak sanggup untuk memaksa kau menerima kenyataan
Walaupun aku yakin, itu kebenaran.
Tugasku ini bukan sekadar tugasan mingguan
Tapi ia tugasan sepanjang perjalanan
Yang perlu aku nisbahkan dengan kecintaanku padaNya
Yang aku yakin, kau tahu nilainya
Cinta yang akan meminta segalanya
Yang mungkin memaksa aku untuk mengorbankan pelbagai perkara
Termasuk engkau, walau sesukar mana jadinya

Aku doakan
Kau akan menerima
Supaya aku tidak perlu menahan pedih derita
Supaya aku tidak perlu menelan cuka
Supaya aku tidak terpaksa mengenggam bara
Untuk terus menyempurnakan tugas yang ada
Tugas ini seiring dengan nafas ku
Berhentinya ia berhentilah jantungku
Jika kau mencebik muka, maka tugas itu berjalanlah juga
Kerana ini bukan pilihanku
Tapi satu-satunya jalan untuk mendapat ridhoNya.
Oh, fahamilah pinta hatiku!

-Petikan dari kalbu insani

Saturday, June 5, 2010

Masalah, selesaikan.

Aku bersyukur.
Dalam luka ini, Allah kenalkan aku dengan rasa sakit.
Allah juga kenalkan aku dengan ubat.
Sebagai tanda harapan, selain jalan untuk mencapai keizinanNya.

Aku juga bersyukur.
Dalam konflik ini, Allah jumpakan aku dengan perasaan resah.
Allah juga jumpakan aku dengan jalan penyelesaian.
Sebagai pengajaran, untuk aku jadi hamba yang menurut perintahNya.

Ini, adalah tarbiyyah terbaik untukku.
Itu yakin hati kecil ini.
Alhamdulillah.

Tuesday, June 1, 2010

Secerah Mentari..



Lihat di ufuk sana.
Cerahkan cahaya si Mentari?
Terang sekalian alam dibuatnya.

Lihatlah lagi.
Apa yang kau dapati?
Panas? Terik? kan?

Ya.
Begitulah tarbiyyah.
Indah, beharga dan sangat bermanfaat.

Tapi,
apalagi yang kau dapati?
Keperitan, kepayahan, kesusahan.

Apa?
bukan.. bukan aku tak menyukai tarbiyyah.
Bahkan keperitan kepayahan dan kesusahanlah yang membuatkan aku cinta akannya.

Apa?
Kau tidak percaya?
Tanyalah pada orang-orang yang berada di Antartik.
Yang terpaksa bergelap dalam masa yang panjang.
Tanpa sinaran mentari.

Mereka lebih rela berpeluh
Menahan kepanasan terik si mentari.
Daripada kekal bergelap setiap hari.
Mereka ternyata lebih menghargai.

Benar...
Kepayahan, keperitan dan kesusahanlah
yang akan mentarbiyyah kita
Yang akan mendidik jiwa kita.

Maka, bila tidak ketemu dengan susah, perit dan payah,
aku tertanya-tanya
Apakah aku salah
Sehingga tidak lagi diuji?

Kepayahan itu memang ada dalam diri manusia.
Tapi, pasti ia akan merana kepayahan,
bila kekuatan itu ada dalam jiwa.

Keperitan itu ternyata sebati dengan jiwa nurani.
Tapi, pasti perit, untuk ia terus hidup,
bila ia berdepan dengan perasaan sanggup.

Kesusahan itu adalah resmi kehidupan.
Tapi, apakah ia tidak merasa susah
bila cahaya iman itu gagah.

Mari, ajarkan diri kita untuk menyambut keperitan, kepayahan dan kesusahan.
Supaya nanti, kita sudah tidak kenal apa itu perit, apa itu payah, apa itu susah.
bukan kerana kita tidak tahu,
tapi kerana yang kita hadapi, semuanya sudah sebati.
Sudah basi cabarannya.

Tiada yang susah, tiada yang perit, tiada yang payah.
Yang ada, semuanya peluang, dan cabaran!
Ayuh, sahutlah seruan pembebasan!