Kalamullah

Kalamullah

Monday, March 22, 2010

Bernafas Dalam Lumpur



Angin mungkin sedang bertiup sayu
Ombak mungkin sedang cantik beralun
Helang mungkin sedang gah beterbangan
Dan Aku pula?
Masih tegas, terkatup rapi menentang hati.

Seorang ibu memang sakit melahirkan anak.
Memang pedih, seolah tersiksa seketika
Tapi pedih dan jerih itu dilaluinya
Kerna dia yakin, di hujung kesakitan
Kan lahir bayi bersih, suci, pemanis cuka
Perasaan yang kan mengguntur segala kepayahan
Menjadikan segala pengorbanan, satu perjuangan yang berbaloi

Begitulah kadangkala
Akal cuba menasihati hati
Sakit dan perit dalam menelan kelat tarbiyah
Perit menentang Jahiliyah
InshaAllah satu proses yang berbaloi pengorbanannya.
Demi agama, demi redha Allah yang dicari.


أَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً۬ فَسَالَتۡ أَوۡدِيَةُۢ بِقَدَرِهَا فَٱحۡتَمَلَ ٱلسَّيۡلُ زَبَدً۬ا رَّابِيً۬ا‌ۚ وَمِمَّا يُوقِدُونَ عَلَيۡهِ فِى ٱلنَّارِ ٱبۡتِغَآءَ حِلۡيَةٍ أَوۡ مَتَـٰعٍ۬ زَبَدٌ۬ مِّثۡلُهُ ۥ‌ۚ كَذَٲلِكَ يَضۡرِبُ ٱللَّهُ ٱلۡحَقَّ وَٱلۡبَـٰطِلَ‌ۚ فَأَمَّا ٱلزَّبَدُ فَيَذۡهَبُ جُفَآءً۬‌ۖ وَأَمَّا مَا يَنفَعُ ٱلنَّاسَ فَيَمۡكُثُ فِى ٱلۡأَرۡضِ‌ۚ كَذَٲلِكَ يَضۡرِبُ ٱللَّهُ ٱلۡأَمۡثَالَ 
Dia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu membanjiri tanah-tanah lembah (dengan airnya) menurut kadarnya yang ditetapkan Tuhan untuk faedah makhlukNya, kemudian banjir itu membawa buih yang terapung-apung dan dari benda-benda yang dibakar di dalam api untuk dijadikan barang perhiasan atau perkakas yang diperlukan, juga timbul buih seperti itu. Demikianlah Allah memberi misal perbandingan tentang perkara yang benar dan yang salah. Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan. 
(Ar-Ra'd, ayat 17.)

Indah ayat Allah, menerangkan sunnatullah. Bagaimana lembah yang kering, pabila didatangkan dengan rahmat Allah berupa hujan yang berkadaran(mengikut sukatan), kan nanti membanjirkan(mengalirkan aliran sungai di lembah tadi) untuk manfaat semua. Tapi dengan banjir sungai itu, kan timbul buih-buih, sama seperti buih yang timbul tatkala besi dipanaskan(yakni proses 'Metal purification', akan wujud buih-buih yang berupa bendasing keluar dari besi tadi sebelum besi menjadi besi asli dan kuat).

Persis perubahan diri yang cuba kita perkukuhkan.
Rahmat Allah datang berupa hidayah, yang datangnya mengikut kadaran(sesuai dengan keadaan, tidak membebani@menyusahkan). Dan proses untuk menyerapkan ibrah itu mengambil masa, dan bermula dengan wujudnya buih-buih kejahilan. Proses pertama untuk mentarbiyah diri adalah dengan mengenal pasti garisan pembeza betul/salah, kerana dari situ kita akan tahu, yang mana elok, besi yang tertinggal atau buih yang membawa mendapan. Dan ternyata, bila jelas besi yang tertinggal adalah logam yang asli, waktu itulah kita akan sedar proses buih-buih itu timbul, adalah sunnatullah, dalam membersihkan jiwa. Dan sungguh, janji Allah, buih-buih itu akan hilang,tidak tertinggal walau sedikitpun, dan benda-benda berfaedah(rahmat) akan tinggal. SubhanaAllah. Sungguh, rahmat itulah rahmat yang ditagih, dicari dan diharapkan oleh setiap insan.

Ya Allah
Biar Aku bernafas dalam lumpur
Andai itu caraMu membuat ku bersyukur
Membentuk ku menjadi a'bid Mu yang akur

Ya Allah,
Jangan kau putuskan nafas ini
Andai hati belum tunduk pada KekuasaanMu
Andai jiwa masih memberontak kufur pada arahanMu

Ya Allah
Permudahkanlah urusanku
diatas jalan yang Kau tunjukkan
Agar dapat aku ketemu
Engkau matlamatku

Ya Allah
Biar lumpur ini jadi saksi
Kesanggupanku bermujadah mencari ridhaMu
Menagih kasih sayang Mu

Ya Allah
Kuatkan Imanku
Mantapkan tekadku
Supaya satu hari nanti
Aku kan keluar
Dari bernafas dalam lumpur.

No comments:

Post a Comment