Kalamullah

Kalamullah

Tuesday, January 26, 2010

Bunga Salju Bhgn 3


"Woi!! Jack, apa yang kau buat tu! Astaghfirullah... Apa ni!!"
Jerit teman sebilik Jack, Asrul. Asrul sebenarnya adalah teman rapat Jack sejak sekolah menengah lagi. Kenal benar Jack dengannya. Dahulu, sakit bangunnya Asrul memang Jack lah orang disebelahnya. Kalau nampak Jack, memang akan ada Asrul. Macam isi dengan kuku.
Sangatlah rapat. Zaman-zaman sekolah menengah dulu, semua masalah memang dikongsi bersama. Daripada masalah kerja rumah, soal hati, sakit makit, semuanya lah.
Tapi bila berada di London ini, walaupun dalam universiti yang sama, malah dalam bilik yang sama, hubungan mereka makin renggang. Jack bingung.
"Aarrgh. Biarlah aku. Ko sebok apsal? Dah takda keja?" Tengking Jack.
Asrul hanya mampu menggelengkan kepala.
Jack berasa sungguh tidak senang dengan kehadiran teman sebiliknya. Setelah selesai peperiksaan Semester, Jack yakin dirinya berhak mendapat sedikit rehat. Dan bagi seorang lelaki dewasa yang kian dewasa, adalah normal untuk menonton perkara-perkara seperti itu di alam maya. "Aku tengok je, bukannya aku buat pon." bisik hati Jack.

Tiba-tiba Asrul pergi kearahnya.Dalam deruan air mata, Asrul memeluk Jack dan berkata,
"Demi Allah, sesungguhnya engkau adalah rakan aku yang paling aku sayangi. Dan Demi Allah, Aku tak mampu untuk melihat engkau memperlakukan semua ini keatas dirimu. Sungguh Jack, aku yakin, dalam dirimu masih ada sekelumit Iman untuk mengingatkan nafsumu semua ini dosa. Ya Allah, bantulah kami Ya Allah. Jack, aku merayu pada engkau untuk tinggalkan dosa-dosa ini. Jack, aku adalah teman sebilikmu, tak terdaya aku melihat teman yang paling aku sayang bergelumang dengan dosa. Jack, tolonglah!"
Jack naik berang.

"Aargggh."
Dan itulah kalimah terakhir yang diucapkan kepada Asrul. Selepas itu mereka tidak pernah berkata apa-apa lagi. Mana tidaknya, setiap kali Asrul cuba berbaik, Jack akan dengan selambanya tidak menghiraukannya. Masuk 2 minggu selepas itu, Jack mengambil keputusan untuk keluar dari bilik itu. Disewanya bilik lain, dek kerana tak tahan dengan sikap Asrul yang baginya terlalu banyak berubah berbanding zaman sekolah dulu.
Kalau dulu, dia yakin Asrul pasti akan bersama-sama dengannya untuk berseronok sekali sekala. Apatah lagi, dia sudah kepenatan setelah berhari belajar dengan sepenuh hati. Dia perlukan rehat.
Jauh disudut hatinya, Jack menyalahkan Abg Sufian. Baginya, sejak Asrul menyertai usrah Abg Sufian, Asrul banyak berubah. Dia sering mengejutkan Jack bangun setiap pagi untuk solat Subuh, sedangkan dulu tak pernah dilakukannya. Jack cukup bosan dengan sikap itu. Baginya, ini semua hanya "hangat-hangat tahi ayam", bila pulang ke tanah air, pasti hilang semua 'ke-alim-an' si Asrul itu.

***

Terkejut Jack. Tak disangka-sangka. Sungguh, masih ternganga mulutnya pada waktu itu.
Pertemuan itu sungguh tidak pernah dia bayangkan. Sejak berpindah 2 tahun lalu, wajah Asrul tidak pernah ditemuinya. Tapi entah bagaimana, takdir Illahi, sewaktu hendak mencabut bunga itu, matanya terpandang satu tubuh yang duduk kukuh pada satu kerusi. Kerusi yang sangat dikenali dan diingatinya. Kerusi yang pernah jadi tempat dia dan Asrul duduk pada setiap petang selama 2 bulan dia tinggal bersama Asrul. Mereka sering duduk duduk di kerusi taman itu setiap petang untuk mengambil udara segar disamping berborak tentang berbagai perkara. Waktu inilah juga, biasanya Jack dan Asrul akan mengimbas kenangan-kenangan selama 6 tahun mereka bersama di sekolah menengah.

Di tangannya, dipegang senaskah Al-Quran. Dengan bunyi yang syahdu dan menyentuh hati, dibacanya kalimat-kalimat Allah satu persatu. Suara yang sungguh merdu. Suara yang sungguh mendayu-dayu. Suara yang dikenali Jack.

Mata mereka tiba-tiba bertentang. Jack jadi tak tentu arah. Entah kenapa, berdegup jantungnya. Apatah lagi, sewaktu berita kematian ibu bapa Asrul dalam kemalangan disiarkan dalam akhbar Utusan, tidak pula ditegurnya Asrul. Tidak pula dilawatnya orang yang pernah menjadi sahabat yang paling dia sayangi. Rasa bersalah, takut dan khuatir merajai hati. Rasanya bagai ingin sahaja dia larikan diri dari kawasan itu. Patutlah dia berasa sungguh aneh kenapa sudah lama tidak dia singgahi taman itu. Dia tidak mahu bertembung dengan Asrul rupanya.

Ibarat tidak mengenali Asrul langsung, Jack terus sahaja berjalan. Berpura-pura tidak sedar akan kewujudan Asrul. Kakinya terus menapak ke depan, sambil hatinya gundah resah takut kehadirannya di sedari Asrul. Disangkanya andai dia berpura-pura bergerak terus, pasti Asrul tidak akan sedar. Pasti tidak ada yang akan menepuknya dari belakang.

Tapi, sangkaannya memang meleset. Tak sampai 10 langkah, sudah ada tangan yang menyentuh belakang Jack.
"Excuse me sir!" suara garau bergema.
"erm.. I believe this is yours?"
Jack menoleh dengan hati yang sangat resah. Terkejut juga dia. Yang disangkanya adalah Asrul yang menegurnya. Rupanya seorang pakcik tua yang memberinya beg galas yang ditinggalkannya sewaktu hendak mencabut bunga tadi. Perasaan gelisahnya hampir sahaja melupakannya tentang beg itu. Mujurlah ia tidak tertinggal. Penuh segala khazanah dan kerja kursus Jack didalam itu.

Sewaktu itulah, Jack perasan. Kerusi yang pernah menjadi tempat dia dan Asrul duduk dulu sebenarnya tidak berpenghuni. Kosong. Tidak ada Asrul pun disitu. Tidak ada orang yang membaca Quran pun disitu. Kosong, memang kosong. Malah, taman itu memang kosong. Hanya ada dia dan pakcik tua itu. Kedua-dua mereka memang menuju ke pintu taman untuk keluar pun sebenarnya. Cuaca sejuk pada hari itu telah mengakibatkan taman itu kosong.
Berderu darah Jack. Adakah tadi ilusi? Atau jin? Atau Syaitan? Atau Hantu? Atau jelmaan?
Fikirannya bertambah kusut.

Malam itu, tidur Jack tidak lena. Ada sahaja kisah-kisah silam yang kembali menampal di fikirannya. Ada satu masa, sewaktu mula-mula sampai Kota London, Asrul mengajaknya ke Primark untuk membeli belah. Tapi ajakan itu ditolaknya kerana Asrul telah banyak berbelanja 1-2 hari itu. Dari membeli kasut bola, jersi, baju sejuk dan sebagainya. Dia menasihati Asrul supaya berjimat. Dia mengingatkan Asrul yang tujuan mereka datang ke London bukan untuk berbelanja. Itu apa yang dikatakannya. Asrul kemudiannya menurut dan bersetuju dengan nasihatnya. Sebagai seorang sahabat yang sangat rapat, pendapat seorang sahabat selalunya dihargai dan dituruti. Itulah gunanya ada sahabat, benak hatinya.

Tapi telah lama benar dia tidak bersembang dengan Asrul. Sudah lama benar tidak dia bergelak ketawa dengan Asrul. Apakah keadaan Asrul sekarang? Tanya hatinya. Dulu, kalau zaman sekolah menengah, mereka selalu membeli mee segera banyak-banyak dan makan bersama-sama sambil bercerita berbagai perkara. Kalau dulu, Asrul selalunya akan bermain bolasepak bersama dengannya. Mereka memang terkenal sebagai 'dynamic duo'. selalu sahaja Asrul membuat hantaran lintang yang sangat sesuai untuknya. Selalu sahaja Asrul berlari ke depan meminta bola untuk disudahkan. Sangat manis pengalaman-pengalaman itu.

Pernah juga, sewaktu abang sulung Jack meninggal kerana sakit jantung, kepada Asrul lah dia mengadu. Sungguh, tidak pernah Jack menangis dihadapan teman-temannya yang lain. Hanya Asrul yang tahu kisah hidupnya. Abang sulung Jack adalah abang yang paling rapat dengannya. Pemergian abang sulung nya itu memang amat dirasainya. Hampir setiap malam, dia akan berjumpa Asrul dan mengadu kehilangannya itu. Mujurlah ada Asrul, kalau tidak entah kemana nak dibawa hati yang lara itu. Sifat Asrul yang lemah lembut dan baik hati pula memudahkan lagi segala kesedihan itu untuk dicurah dan diluahkan.

Tiba-tiba, perasaan syahdu Jack berubah menjadi benci. Di kesatnya air mata yang mula menakung. Perasaan marah membuak-buak. Wajah Abg Sufian yang tenang menjadikan dia naik darah. Baginya, Asrul sudah tidak menjadi temannya sekarang kerana telah dipengaruhi dakyah Abg Sufian. Bagaimana Asrul yang selalu sahaja bersama-sama dengannya bersuka ria tiba-tiba menjadi rendah diri dan rajin beribadat? Kenapa selepas itu selalu benar dia ditegur tentang itu dan ini sedangkan itu semua tidak pernah disebut sebelum ini?
Memang ini semua angkara Abg Sufian benaknya.

***

"Jack, ko pernah dengar cerita Khalifah Uthman Ibn Affan tak? MasyaAllah... Hebatnya beliau dalam penghayatan terhadap ibadat." Pernah sekali Asrul menegur.
"Ala.. biasa la tu.. kata sahabat.. memanglah gempak. kalau kita nak jadik macam tu.. hai, alamatnya rosaklah semua theory of consumer behaviour neh ha.." kata Jack serentak sambil tergelak.
"ye la.. tapi tengok lah.. Dia menangis sebab rasa malu dengan Allah! sedangkan dialah orang yang membeli perigi pertama orang Islam. Dialah orang yang menggunakan hartanya sewaktu Perang Badar. Dialah orang yang membeli tanah untuk membesarkan Masjid Nabi". Kata Asrul lagi penuh yakin.
"Habis tu? ala.. macam aku cakap.. Sirah ni macam baca cerita fiksyen.. macam aku kata, Superman boleh terbang. Power rangers ada kuasa. Samalah!" kata Jack sambil terus mengajuk kata-kata Asrul.
Asrul kelihatan kecewa dengan jawapan Jack. Dia menjangkakan dengan penceritaan para sahabat dapat meniup semangat Ar-Ruhul Jadid dalam diri sahabatnya itu. Sudah berbagai cara dicubanya. Dia telah bercerita tentang kisah Rasulullah SAW, cerita tentang Nabi Yusuf, hadis-hadis, malah sesetengah ayat Quran pun telah ditadabbur bersama. Tapi Jack masih tidak terkesan.

***

Kriiiiinnnngggggg!!!!!!
Jam loceng Jack berbunyi lagi. Dia terlupa. Hari ini adalah hari Sabtu. Tiada kelas. Dia tidak sepatutnya mengunci jam pada pagi itu. Sepatutnya dibiarkan sahaja terus berselimut dalam duvet itu. Dilihatnya telefon bimbit disisi.
Terdapat 25 missed call.
ternyata, dia tidur mati semalam, sehingga tidak sedar ada panggilan.
Diperiksanya si pemanggil......
bersambung.....


No comments:

Post a Comment