Kalamullah

Kalamullah

Monday, May 20, 2013

Tawwabin



Pernah tak kita terfikir, apa la yang malaikat Atid(mencatat amal kejahatan) duk fikir, tiap-tiap hari kena tulis kejahatan-kejahatan kita. Bahkan, selalunya kejahatan tu adalah kejahatan² yang sama, yang kita ulang hampir setiap hari.

Kalau boleh copy-paste, tentu dah copy-paste, banyak sgt nak tulis.

Mata, apa yang dilihatnya sepanjang hari, apakah menambah keimanan, ataukah sebaliknya?
Telinga, apa yang didengarnya? Apakah dzikrullah, atau 'ghibah'-mengumpat- yang mengasyikkan?
Lidah, yg tajamnya lebih dari sebilah pedang, yang kadang kita tak terkawal dengan kata-kata,
Tangan, kaki, dan segala anggota lain
Malah hati, mungkin terlintas di benak sanubari benih² kebencian sesama makhluk, atau rasa takabbur yg bisa membakar diri sendiri

Bukankah semua ini dosa, yang mana setiap hari adalah hari kita berperang daripadanya. Setiap hari, malah setiap saat, adalah pertempuran.

Mujurlah.. Mujur sekali Allah swt itu Maha Rahim, Maha Pemurah.. Bahkan Maha Mencintai..
Sabda Ar-Rasul SAW:

"Sungguh Allah jauh lebih gembira dengan taubat hambaNya ketika dia bertaubat kepadaNya, daripada salah seorang di antaramu yang berada di atas tunggangannya(untanya) di tengah-tengah padang pasir. Kemudian unta itu hilang, padahal di atas unta itu terdapat makanan dan minumannya. Ia pun akhirnya putus asa, lalu mendatangi sebuah pohon dan bersandar di bawah naungannya dalam keadaan sudah berputus asa untuk menemukan kembali tunggangannya. Pada keadaan seperti itu, tiba-tiba untanya berdiri dihadapannya, segera ia mengambil tali kendalinya, lantas begitu suka citanya, ia berkata, "Ya Allah, Engkau hambaku dan aku TuhanMu", kerana keliru disebabkan kegembiraan yang amat sangat"
-Hadith Riwayat Imam Muslim-


Demikianlah gambaran betapa ALlah sangat-sangat gembira apabila kita ini bertaubat...
Gembira itu hinggakan tak terbanding dengan gembiranya manusia yg paling amat. Allah akan sangat-sangat gembira, apabila hamba yang tenggelam dalam kemaksiatan, yang bermandikan dosa, akhirnya pada satu malam yang hening, menundukkan wajahnya, dan mengangkat kedua belah tangannya sambil berdoa, memohon Allah mengampun dosa-dosanya. Hamba yang berpuluhan kali menyebut, "Anta Ghafur Ya Allah, Anta Ghafur...", merayu-rayu sambil menyebut satu persatu dosa yang diperbuatnya.

Hamba itu sedar, segala perbuatan yang dilakukan ketika imannya merundum, adalah perbuatan-perbuatan yang hanya menjauhkan lagi dirinya dari Al-Khaliq. Air matanya tidak lagi tertahan, saat ia akhirnya sedar bahawa dirinya telah tertipu dengan syahwat dan keinginan. Terbayang di kotak fikirannya, saat perbuatan-perbuatan hina yang dilakukannya itu, sebenarnya semuanya dilihat dengan jelas oleh Yang Maha Melihat. Lantas dia tidak lagi tertahan, pantas dia membongkok dan menghentakkan dahinya ke bumi. Bibirnya tak henti-henti mengulang, "La ilaha Illa anta, subhanaka Inni kuntum minadzolimin.."

"Hamba sangat zalim.. Hamba sangat jahil.. Hamba sangat lemah.. Hamba adalah pendosa..."

rayu benak sang hamba tadi.

Kemudian hamba itu terbayang pula, apa agaknya nasib dirinya di akhirat kelak. Dengan dosa yang dikendongnya, dimanakah pengakhirannya?

Lalu hamba itu terus hanyut dalam buaian sujudnya.. Dia terasa tidak sanggup mengangkat wajahnya, kerana berasa malu yang amat sangat kepada Allah swt. Dia terus merayu dan merayu.. Mengharapkan Allah menjawab langsung rayuannya. Semakin lama dia dalam sujud, hatinya semakin mencengkam. semakin kuat rayuannya. Rasa menyesal memenuhi seluruh kamar ibadah hamba itu tadi. Sejadahnya seolah remuk dengan sujudnya yang tidak berpenghujung.

Tiba-tiba, di fikiran hamba itu terlintas sepotong ayat Al-Quran..

إِنَّمَا ٱلتَّوۡبَةُ عَلَى ٱللَّهِ لِلَّذِينَ يَعۡمَلُونَ ٱلسُّوٓءَ بِجَهَـٰلَةٍ۬ ثُمَّ يَتُوبُونَ مِن قَرِيبٍ۬ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ يَتُوبُ ٱللَّهُ عَلَيۡہِمۡ‌ۗ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلِيمًا حَڪِيمً۬ا
Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang-orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan, yang kemudian mereka bertaubat dengan segera, maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (4:17)

Allahurabbi... esakan hamba itu bergema dengan lebih kuat. Hatinya sudah tidak tertahan. Dia menangis teresak-esak, umpamanya seperti seorang bayi. Hatinya penuh rasa khauf(takut), kerana dia tahu, dosa-dosa yang dilakukannya, bukanlah kerana jahil, sebaliknya kerana tewas dengan nafsu. Bukannya dia tidak tahu apa yang betul dan apa yang salah, tapi saja, kerana imannya yang meleset, dek tewas dengan pujukan syaitan.

Hamba itu terus dalam buaian sujud dan air mata.. terus dan terus mengulang "Anta Ghafurur Rahim.. Anta Ghafurur Rahim.."


Semoga Allah mengampuni dosa aku, kamu dan kita semua.
Firman Allah,

إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلتَّوَّٲبِينَ وَيُحِبُّ ٱلۡمُتَطَهِّرِينَ
Sesungguhnya Allah menyintai orang-orang yang bertaubat dan menyintai orang-orang yang mensucikan diri(2:222)


Semoga kita akhirnya dikumpulkan dalam kumpulan manusia-manusia yang dicintai Allah, diliputi keredhaanNya, penuh dengan keindahan yang luar biasa, jauh di luar dugaan penghuni dunia..

Aamin



3 comments:

  1. (T_T) syukran. post ini benar benar mengetuk pintu hati ana

    ReplyDelete
  2. Abg qemin...yang hadis tu,,,mmg dia cakap Ya Allah, Engkau hambaku dan aku Tuhan-Mu ea??

    ReplyDelete
  3. syafiq.. yup2, boleh rujuk Riyadhus Salihin Bab Taubat ada hadith ni dalam tu.. :)

    Melampau gak enn, overr gembira sampai tersasul.

    Rupanya, Allah lg2 gembira daripada gembira manusia kalau kita bertaubat.. sobs3..

    ReplyDelete