Kalamullah

Kalamullah

Friday, May 31, 2013

Kit Murobbi: Tarbiah Bil Ahdath



Dengan kuasa dan ketentuan Allah swt, dakwah yang pada suatu masa dahulu dimulakan oleh seorang Rasul, kini sudahpun tersebar ke seluruh dunia. Asalnya Baginda Ar-Rasul SAW memulakan dakwah ini, seperti yg kita baca dalam buku-buku dan yg kita rasai dalam nukilan² ayat Quran dan himpunan Hadith, dengan menyampaikan mesej Uluhiyyah kepada Allah. Totalitas menyerahkan seluruh jiwa dan raga pada Allah swt, Tuhan yang menciptakan dan menyempurnakan.

Kita saksikan ke'pekat'an tarbiah yang dilakukan Rasulullah, melalui produk tarbiahnya.

Bilal bin Rabah, hamba yg walau diseksa dengan dahsyat, masih tetap dengan "Ahad" nya.
Abu Bakr, yang infaqnya utk Peperangan Tabuk merupakan seluruh hartanya. Bahkan beliaulah yg banyak memerdekakan hamba yg diseksa semasa zaman Makkah.
Umar, dari musuh jadi pejuang setia, matinya dibunuh ketika solat. muhasabahnya luar biasa.
Mus'ab bin Umayr, sanggup meninggalkan kemewahan yg mengasyikkan, hinggakan beliau syahid dalam keadaan kainnya tidak cukup menutup seluruh badan.

Dan ratusan lagi contoh yang bisa membeliakkan mata dan mengalirkan air mata....

Kerana mereka semuanya produk yang luar biasa. Tadhiyah mereka pada dakwah ini cukup hebat sekali. Mereka ternyata beriman dengan ayat:

Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka). (9:24)

Kisah Dhamrah bin Jundub

Ketika perintah hijrah diturunkan, terdapat sekelumpuk muslimin di Mekah yang tidak ikut berhijrah. Sebahagiannya kerana ketidakmampuan: uzur, tua, sakit, tidak ada upaya, dan sebagainya, manakala sebahagian lain kerana takut, berat, tidak sanggup tinggalkan perkara yg dicintai, dsb. Allah swt telah menurunkan satu ayat amaran yg sangat keras kepada golongan kedua, iaitu:

Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: Apakah yang kamu telah lakukan mengenai agama kamu? Mereka menjawab: Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi. Malaikat bertanya lagi: Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya? Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah Neraka Jahanam dan Neraka Jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. Kecuali orang-orang yang lemah (lagi uzur) dari kaum lelaki dan perempuan serta kanak-kanak, yang tidak berupaya mencari helah (untuk melepaskan diri) dan tidak pula mengetahui satu jalan (untuk berhijrah) (4:97-98)

Ketika mendengar ayat ini, Dhamrah bin Jundub seolah terketar-ketar. Dia adalah seorang tua yg tidak mampu berhijrah, namun ketakutannya pada Allah mendorongnya utk terus berkata kepada anaknya, "Pikul lah aku, sesungguhnya aku tidak layak tergolong dalam golongan yg lemah, demi Allah aku tidak akan tinggal di Mekah walaupun satu malam"

akhirnya Dhamrah mati dalam perjalanan ke Madinah. Matinya dalam kemuliaan. Kemenangan yg cukup mahal. Dia telah menjual hidupnya demi Allah, dan Allah telah membelinya dengan syurga, spt firmanNya:

.....dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian dia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (4:100)

Bagaimana Mengulang formula tarbiah ini?

Para penggerak dakwah pasti mencemburui kepekatan penghayatan para sahabat. Bagaimana mereka mampu jadi se'obses' itu dengan Islam? Bagaimana mereka sampai begitu mahu memberikan segala-galanya untuk dakwah? Apa rahsianya? Apa resipinya?

Lagi-lagi pada ketika ini, kita membuka lapangan dakwah yang meluas, begitu banyak tuntutan daripada pelbagai medan. Dakwah kita bukan lagi dakwah yang sirri, tapi adalah dakwah yang jahriyy, cuba utk memercikkan cahaya Islam pada seluruh masyarakat. Berkongsi keindahan dan kemanisannya dengan semua. Tapi tentunya keluasan lapangan memerlukan kepekatan yg lebih luar biasa. Memerlukan kadernya yg lebih sanggup bekorban, lebih menjiwai dakwah, lebih merasai suka dan derita dakwah. Menangis dan ketawa kerana dakwah. Kita memerlukan rijal seperti ini, untuk menampung bebanan yang jauh lebih besar dari sebelumnya. Adalah satu 'suicide' untuk memikulkan bebanan yang berat pada kader yang belum rela menjual seluruh dirinya utk dakwah, kerana nauzubillahimindhalik, boleh jadi keduanya akan saling membenci, kader tadi akan benci pada dakwah, dan dakwah akan serik dengan lemahnya komitmen kader begitu.

Maka para murobbi perlu lebih pantas, perlu lebih cekap dan perlu lebih peka. Tunjang pentakwinan perlu kemas, perlu jelas dan perlu kukuh. Asas pembinaan kekuatan dakwah adalah tarbiah, adalah murobbi. Kalau murobbinya ala kadar, maka saksikanlah kehancuran dakwah satu persatu. Kalau murobbinya main-main, maka dakwah juga hanya akan sekedar menjadi satu jenaka. Murobi perlu menjadi agen tarbiah yg peka dan kreatif. Seandainya murobi sendiri sudah melonggarkan segala perkara, apa yg kita harapkan pada mutarobi?

Meningkatkan mutu tarbiah

Apabila kita bedah permasalahan tarbiah, satu perkara yg sering kita jumpa ialah:

...kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada. (22:46)

Banyak keadaannya, bukan tidak tahu, tetapi tidak merasai.
Bukan jahil akal, tapi jahil hati.

Liqa' usari yang dibawa banyak sekali membahaskan tentang ilmu. Ayat-ayat quran ditadabur. Hadith-hadith dihurai. Tapi tidak memercikkan api keimanan.

Apakah kerana ayat quran kini tidak lagi valid? Ataukah hadith kini makin kering?
Mustahil! Manhaj ini diturunkan Allah swt dengan jaminan 'relevan' hingga akhir zaman. Mustahil manhaj ini menjadi lapuk dan tidak lagi sesuai.

Mungkinkah... Masalahnya jatuh pada liqa' usari yang hanya berhenti pada akal, tetapi tidak pecah pada hati?

Cuba antum bayangkan... sekiranya dakwah yang diseru oleh Rasul SAW hanya berlegar tentang ayat-ayat quran dan hadith.. Baginda datang berjumpa dengan sahabat dan bercerita itu dan ini.. Apakah ianya bisa menjadi relevan? Hanya sekedar membaik dan membaik, tanpa tujuan. Para sahabat yang sibuk dengan pelbagai urusan, tiba-tiba nak didatangi dengan ayat quran yang takde apa-apa kaitan sgt dengan kehidupan mereka. Bagaimana hati ingin celik dan terkesan?

Kreativiti: Tarbiah bil Ahdath(tarbiah melalui peristiwa)

Disinilah perlunya kreativiti murobi...

Risalah Al-Quran turun dengan susunan Allah swt, mengikut peristiwa yang berlaku..
Apabila terjadi Perang, maka ayatnya menceritakan tentang perang..
Apabila terjadi perdebatan, ayatnya tentang isi perdebatan..
Apabila terjadi apa pun, tarbiah berjalan dengan memanfaatkan peristiwa tersebut.

Misalannya... bagaimana Rasulullah SAW ingin mentarbiah tentang nilai tajarud, nilai niat dan nilai ikhlas?
Ketika perisitwa Hijrah, Rasulullah SAW bercakap tentang hadith Niat.
Menyentuh langsung tentang niat orang yg hijrahnya kerana perempuan. Menyentuh langsung orang yang niat hijrahnya kerana dunia. Mereka akan mendapat apa yang mereka mahukan. Sedangkan orang yg hijrahnya kerana Allah dan Rasul, akan mendapat keredhaan Allah dan Rasul, yang nilainya jauh melepasi segala yg mampu diimaginasi akal fikiran. Maka jiwa para sahabat pun bergetar, terasa dekat hadith ini. Muhasabah dan evaluasi terus menguasi fikiran mereka: "benarkah aku hijrah kerana Allah dan rasul? jika tidak, aku hanya akan bekorban isi dunia, dengan isi dunia, sedangkan aku punya peluang berjual beli isi dunia dengan akhirat yg abadi."

Ketika para sahabat sibuk dengan urusan jual beli di pasar... Rasulullah SAW pun bercerita tentang bangkai kambing dan nilai dunia. Secara terus membuat perbandingan kesibukan harian para sahabat itu umpama sibuk berebut mendapat sesuatu yang tidak ada nilai. Lantas membuka hati untuk berfikir, "berbaloikah aku mengejar dan bersibuk tentang hal-hal ini?"

Pada awal dakwah baginda, yang diceritakan adalah tentang aqidah...
ayat-ayatnya langsung 'direct' tentang kehidupan masyarakat arab ketika itu.

Budaya Jahiliah: Anak perempuan yang ditanam hidup-hidup
Dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup: Ditanya. (8) Dengan dosa apakah dia dibunuh? (9) Dan apabila surat-surat amal dibentangkan. (10) Dan apabila langit ditanggalkan dari tempatnya. (11) Dan apabila Neraka dinyalakan menjulang. (12) Dan apabila Syurga didekatkan. (13) (Setelah semuanya itu berlaku), tiap-tiap orang akan mengetahui tentang amal yang telah dibawanya. (14) (81:8-14)

Kisah Abu Lahab yang dikutuk Allah dalam Al-Quran
Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab dan binasalah dia bersama; (1) Hartanya dan segala yang diusahakannya, tidak dapat menolongnya. (2) Dia akan menderita bakaran api Neraka yang marak menjulang. (3) Dan juga isterinya, seorang perempuan pemunggah kayu api. (4) Di lehernya sejenis tali, dari tali-tali yang dipintal. / (5) (111:1-5)

Dan banyak lagi... Kisah Abrahah dalam Surah Al-Fil, kisah dalam surah Quraisyh, Fathul Makkah dalam An-Nasr, etc.

Semua ayat Quran dan Hadith datang mentarbiah mengikut keadaan semasa, situasi, masa, tempat.
Peringatan yang datang 'kena' pada suasana.
Amaran yang 'related' dengan kehidupan dan harian yg dilalui
Teguran yang 'direct' tentang peristiwa yang sedang berlaku

Maka Para Murobi harus juga berfikir dengan kerangka yang sama, memberikan tarbiah agar ia 'kena'  dengan kehidupan mad'u. Tepat dengan keperluan dan kehendaknya, berdasarkan keadaan dirinya. Apa yang dialaminya. Apa yang dirasainya. Peristiwa apa yang berlaku ke atasnya.

Disinilah perlunya kepekaan terhadap persekitaran dan peristiwa. Dan kebijaksanaan menyampaikan materi. Bagaimana peristiwa semasa, berita-berita yg terdapat dalam surat khabar misalannya, yang menjadi tarikan mad'u digunakan utk menyampaikan risalah. Menggunakan tragedi yang dilalui mad'u utk mendekatkan dirinya pada Allah.

Contohnya, ketika berlaku pergaduhan antara mad'u dan temannya, kita gunakan isu ini utk capai ahdaf yang ditetapkan. ketika musim baru berkenalan, baru menyesuaikan diri dengan persekitaran baru, kita gunakan peristiwa ini untuk mindset yang sesuai. Semuanya perlu dimanfaatkan utk dakwah.

Bukan sekadar menghafal materi daripada buku untuk diluahkan. Tidak, itu bukan tarbiah!

Sekiranya itu yang berlaku, maka ianya umpama bercerita tentang kaedah jual beli Islam, pada seorang yang sedang sedih meratapi kematian saudaranya. Umpama bercerita tentang kaedah pewarisan harta Islam kepada seorang yang baru menikah. Bagaimana kita ingin mereka menjiwai seruan ini, kita ingin mereka bersama dalam perubahan islah ini, sekiranya yang disampaikan pada mereka terlalu berbeza dengan masalah/kehidupan/keadaan yang mereka lalui sehari-hari?

Masalah: Tidak ada idea/peristiwa yang sesuai untuk mencapai hadaf yg dirancang

Antara qodoyah yang sering dikongsikan, ialah tiadanya peristiwa yang sesuai untuk menyampaikan hadaf tertentu. Para Murobi buntu dan menjadi kusut.

Kadangkala para murobi terlalu khusus tentang apa yang ingin dicapai. Lantas hanya menyempitkan ruang tarbiah pada sudut-sudut tertentu, tanpa melihat dan memahami keseluruhan kehidupan mutarabbi.

Mutarobi kita bukanlah robot yang perlu diprogram mengikut apa yang kita rasakan terbaik untuknya

Mereka adalah manusia yang sama seperti kita, yang telah disusun hidupnya dengan sebaik-baik oleh Allah swt. Mereka punya daya fikir, punya hati dan perasaan. Maka tarbiahlah mereka seperti seorang manusia juga

Perhatikanlah setiap perisitwa yang menimpa mutarobi kita. Pastinya peristiwa² yang berlaku dalam kehidupan seharian punya hikmah yang besar untuk kita dan mereka. Kembangkan horizon tarbiah, pandu mereka menuju Allah. Kaitkan segala yg berlaku dengan ALlah, perlahan-lahan berpindah dari satu tahapan tarbiah menuju yang seterusnya. Dari mengenal kekuasaan Allah, kepada mengaku dan merasainya, dan kemudian perlahan-lahan kepada menyedari dan seterusnya menyedarkan pula manusia lainnya.

Murobi Agung adalah Allah swt

Selalu kita terlupa, bahawa yang inginkan kebaikan kepada mutarobi kita, bukanlah diri kita sahaja. Tetapi Tuhan Yang Maha Penyayang, itu jauh lebih menginginkan kebaikan buat mutarobi kita. Peristiwa yang Allah susunkan untuk semua manusia, pastinya adalah yang terbaik untuk mendekatkan diri masing-masing kepada Allah. Pasti terkandung hikmah yang cukup sesuai dengan keperluan dan keadaan diri kita. Firman Allah:

...Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka. (3:191)

Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami? (23:115)

Tidak ada peristiwa yang Allah susunkan utk kita sia-sia. Maka, mengapa para murobi ingin mensia-siakannya setelah mutarobi tadi gagal memperoleh ibroh dari susunan kehidupannya? Seharusnya, Murabbi itulah yang membelek lembaran pengajaran daripada tragedi yang berlaku, agar bisa menghidupkan jiwa mutarabbi. Takkanlah apa yang Allah susun itu tidak punya tujuan...

Kita perlu yakin dan percaya, Allah itu sendiri sudah menyusun yang terbaik buat hamba-hambaNya. Maka tugas dan kerja kita, hanyalah untuk menyambung peristiwa-peristiwa yang dirasai mad'u agar bisa membuatnya celik hati dan mahu meningkat sesungguh-sungguhnya. Jangan bazirkan peristiwa yang telah Allah susunkan, hanya dengan alasan tidak tahu mengaitkannya dengan Islam. Jangan pula sekadar mencurahkan kembali materi daripada buku, dengan harapan ianya dapat membantu hati yang keliru.

Allah bersama Kita

Kerja dakwah ini adalah kerja membawa manusia kepada Allah. Kerja yang tinggi derajat dan kemuliaan disisi Allah. Kerja para kekasih Allah. Pastilah Allah terlalu ingin membantu kita melaksanakan kerja ini. Pastilah Allah akan menghantar para malaikat yang memakai tanda, seperti yg terjadi dalam Perang Badr. Pastilah Allah akan mengirim hujan yg menenangkan untuk membantu pasukan Islam.

Maka.... Sekiranya Allah bersama kita, pastilah Dia akan menyusun hidup kita dan mutarobi kita, agar dakwah yang kita seru itu 'kena' dengan mereka. Agar peristiwa yang mereka lalui itu jelas hikmahnya. Agar kesenangan/kesusahan/ujian/malapetaka yang kita rasai itu, dekat untuk kita tadabburkan dengan sirah dan Al-Quran. Pasti, Allah akan memudahkan hati-hati yang ikhlas ini merasai kebenaran, lantas menyampaikannya dengan penuh kekuatan.

Kejelasan perkara ini akan membawa kepada kesungguhan dan ketundukan kita pada Allah. Kerana apa pun yang kita seru, yang memegang hati manusia itu Allah. sekiranya Dia ingin memberi hidayah, maka tiada siapa yang dapat mneyesatkan, tetapi sekiranya dia ingin menyesatkan, maka siapa yang berkuasa memberi petunjuk selainNya?

Jadi... Para Murobi sekalian, banyakkanlah berfikir, dan banyakkanlah berbincang, tentang peristiwa-peristiwa yang berlaku. Semuanya adalah tarbiah buatmu, dan buat mutarabimu... Tarbiah Islam ini menghidupkan kita untuk hidup, bukan menghidupkan kita untuk menjadi buku... Kemaskanlah tarbiah, binalah para mujahid dakwah yang siap menginfaqkan seluruh hidupnya demi Allah, yang tidak langsung kenal erti alasan dan rungutan, kerana jiwa mereka sudah merasai kemanisan kehidupan yang tidak ada tandingan...

Percayalah pada Allah, Dia pasti akan memberi pertolongan yang di luar jangkaanmu.. Pertolongan yang akan hanya meyakinkan lagi dirimu untuk beriltizam dengan ad-deen ini.. Dan yakinlah, dengan usaha yang berterusan, pergantungan yang tinggi pada Allah, mujahadah yang ikhlas, adalah formula pentarbiahan yang pekat. InshaAllah, kita akan berjaya menghasilkan generasi yang tajarud dan all-out seperti zaman terdahulu.

Wallahua'lam

Wassalam





1 comment: