Kalamullah

Kalamullah

Sunday, November 7, 2010

Cukupkah?

Di saat ummat menangis, dan aku pula ketawa, sering terpacul soalan-soalan dalam benakku.
Apakah aku ini terlalu keras dan hitam hatinya, sehingga sanggup dan sampai hati berlaku sebegini?
Apakah aku tidak merasai kasih sayang Ar-Rasul junjungan, sehingga aku tidak berasa bersalah untuk berehat dan bersenang lenang?

Ar-Rasul, sebelum kerasulan, sudahpun runsing dan tertekan dengan akhlak dan perilaku arab jahiliyyah, sehinggakan baginda terpaksa beruzlah memencilkan diri didalam gua untuk berfikir dan menenangkan diri. Ya, baginda mencari jalan keluar kepada permasalahan yang melanda ummat. Ini sebelum kerasulan. Sebelum menjadi rasul sekalipun, baginda memang mencari. Bukan sekadar menunggu. Maka sangat zalim dan bodohlah kita andai kita hanya menunggu naqib naqibah yang mengatur perjalanan tarbiyyah dan dakwah kita. Sangat sangat.

Tatkala mendapat perintah untuk bangun dan berilah peringatan(Surah Al-Muddatsir), Baginda terus punya mentaliti tajmik, takwin dan tanfiz yang sangat giga dan mega. Baginda tidak menunggu kalam-kalam Allah yang seterusnya untuk memulakan dakwah. Baginda tidak menunggu cadangan dari Allah untuk men-DF mamat A, ataupun mamat B, hendak buat apa dan sebagainya. Baginda terus, ya, TERUS BEKERJA, sehingga terpacul kata-kata terkenal,
Sudah Berlalu Masa Tidurku
Timbul pula persoalan tentang pengorbanan
Adalah sangat jahil andai kata kita mempersoal pengorbanan baginda dalam menyampaikan risalah Allah. Demi memastikan sinar islam itu sampai kepada KITA hari ini, Baginda solat dalam keadaan diletakkan usus unta diatas leher baginda ketika sujud. Demi menyampaikan makna Islam kepada KITA hari ini, baginda pernah dibaling dengan batu oleh orang-orang gila dan kanak-kanak yang diupah ketika di Thaif, sehinggakan darah baginda menitis membasahi sepatu baginda. Demi KITA, baginda telah tercedera di pipi ketika Perang Badar. Demi KITA, Baginda telah dihentam bertubi-tubi, dicaci maki, dituduh gila, dituduh dengan berbagai tohmahan dan ejekan. DEMI KITA. Baginda tidak pernah merungut, kecewa ataupun berputus asa apabila ummatnya sendiri menolak baginda. Baginda terus melangkah, kerana baginda tahu dan yakin, hidayah itu milik Allah, dan ia boleh datang pada bila-bila masa. Maka sangat zalim dan kejam serta salahlah kita andai kata kita berputus asa pada orang yang kita seru, atau kita merungut dan marah dengan tindak tanduk mad'u, sedangkan baginda sanggup melalui semua itu untuk KITA. Sangat lemah jugalah KITA, andai kata segala tohmahan dan ejekan yang dilemparkan pada kita telah menyekat pergerakan dan harakah KITA. apakah kita tidak punya rasa malu untuk kita mengaku ummat seorang nabi yang super qowiyy, sedangkan kita tidak sanggup untuk melalui "selumbar benang dari seluruh pakaian" yang telah baginda lalui?

Baginda membina rijal-rijal, jauh lebih awal daripada baginda sibuk membina angkatan tentera. Bukankah antara ciri daei mu'min yang kita imani adalah tajarrud, zuhud, mengelak fitnah, menangani mehnah, dan berseni dalam memimpin ummat? Apa itu mengelak fitnah? Apakah tidak jelas tarbiyyah Ar-Rasul kepada Bilal bin Rabah, kepada Khabbab Al-Arrat, kepada Abu Dzar Al-Ghifari? Kalau difikirkan logik akal, boleh sahaja mereka memberontak, menentang kezaliman yang dilakukan keatas mereka, melawan ketua mereka dengan alasan yang sangat kukuh, kerana hakikatnya mereka telah diseksa dengan kekejaman yang sangat lah tidak adil. Hanya kerana menjaga iman, mereka diseksa sehingga hampir sahaja tercabut roh dari jasad, tapi mengapa, persoalan disini adalah mengapa, mereka tidak memukul semula? Mengapa mereka hanya bersabar? Hakikatnya ini adalah untuk mengelak fitnah. Kita tidak mahu mereka yang sememangnya ada kemampuan untuk membalas penyeksaan ke atas mereka(Bilal misalannya, adalah hamba yang sangat tegap dan kuat, boleh sahaja dipukulnya semula Umaiyyah bin Khalaf)Tapi seandainya ini yang berlaku, pasti ada gelombang fitnah yang akan mengatakan islam melahirkan hamba-hamba yang memberontak. Maka diajarnya untuk bersabar. Sehingga lah tiba masanya. Apakah KITA hari ini benar-benar tajarrud dan sabar dalam menghadapi mehnah, ataupun kita asyik sahaja merungut dan ingin memberontak serta ingin membalas dendam? Kalau para sahabat dulu ditegur nabi kerana 'gopoh' dalam meminta pertolongan Allah, apa pula agaknya kata Nabi melihat gelagat KITA?

Sememangnya, sangat jauh untuk KITA samakan diri kita dengan Ar-Rasul. Cumanya pada hari ini, marilah KITA sama-sama bermuhasabah, cukupkah segala apa yang kita lakukan untuk KITA layak dipandang oleh Allah sekalipun. Atau, adakah pada hari yang Besar itu nanti, Allah akan hanya berpaling dari KITA, kerana kita ini terlalu tidak signifikan dalam perjuangan untuk Ad-Deen? Ketahuilah, segala ilmu yang KITA ada, datang bersama tanggungjawab. Maka tanyalah, apakah perjalanan tarbiyyah yang kita lalui dari dulu hingga sekarang tidak mengembangkan rasa tanggungjawab KITA? Periksalah semula, hakikatnya, segala yang KITA lakukan tidak pernah cukup, hatta untuk membalas nikmat sebelah mata sekalipun. Maka marilah berhenti dari merasakan cukup, buang lah jauh-jauh, kerana hakikatnya, amalan yang kita lakukan hari ini, saaaaannnngggaaatttttlah tidak cukup. Semakin hari, semakin tidak cukup, kerana semakin hari makin banyak yang kita pelajari.

Ya, para ikhwah sekalian. Bangkitkanlah singa-singa dalam dirimu. Aku yakin ia sudah lama menunggu untuk dikejutkan.
Sungguh, Aku merindui negeri ini dipenuhi RIJAL-RIJAL seperti Abu Ubaidah Al-Jarrah, Muadz bin Jabal, dan Salim(hamba Abu Huzaifah).-Umar Al-Khattab-
Bangkitkanlah semangat daei itu! Jangan sekali kau rasa terperosok di dalam bumi, kerana hakikatnya tempatmu adalah diatas bumi, untuk kau bergerak diatasnya, dan kau hanya perlu berhenti setelah tercabutnya roh dari jasad, maka pada kala itu, melekatlah kau dengan bumi, kerana tiada lagi amalan yang bisa menyelamatkanmu setelah itu.

Betul, yang KITA buat setakat ini BELUM CUKUP!
Jangan tidak percaya, usaha KITA ibarat HABUK sahaja!
Mari, ganda dan gandakan usaha KITA. Apalah guna tenaga yang ada dibiarkan kering dek dimamah usia, sedangkan dakwah senantiasa menunggu rijal-rijal sepertimu menyalurkan sepenuh tenaga untuk menjulang kalimat Allah! Bangunlah!

Ya Ayyuhal Muddatsir. QUM, FAANZIR

No comments:

Post a Comment