Kalamullah

Kalamullah

Monday, June 7, 2010

Aku punya tugas!


Aku serba salah.
Memang tak sanggup untuk aku menolak kewujudanmu.
Malah, memang engkaulah yang banyak mengajarku.
Air mata yang mengalir dari pipimu
Sememangnya pedih untuk aku tatapi.
Apatah lagi, jika ia datang dari kekasaran diriku.

Aku faham akan kasihmu.
Aku juga mengerti, kau bukan berlaku demikian dengan sengaja.
Tapi aku ingin kau tahu
Aku ini bukan milik mu.
Mungkin aku memang terhutang budi, malah darah denganmu.
Tapi aku berhutang nyawa, nafas, nadi dan segalanya dengan Tuhan.
Aku punya tugas yang Dia pertanggungjawabkan kepadaku.

Bukan aku tak pedih melihat kau mencebik muka
Malah hati ini meronta-ronta kesakitan
Meminta-minta penyelesaian..
Kedinginan yang kau sajikan
Ibarat halilintar dalam jiwaku
Tapi aku ingin kau mengerti
Aku punya tugas.
Dan aku tidak rela dihantui kelalaian kepadaNya
Semata-mata ingin memenuhi senyum tawamu.

Biarlah kau tidak bertutur walau sepatah denganku
Biarlah kau anggap aku derhaka pada kasih yang kau curahkan
Biarlah kau anggap aku tak mengenang budi
Asalkan nanti, aku punya ruang untuk membawamu ke syurga bersamaku
Asalkan nanti, kita akan digolongkan dalam golongan yang dikasihiNya
Itu cita-citaku
Meluangkan masa di syurga bercerita tentang kisah ringkas kita di dunia
Sambil bergelak ketawa ceria
Pada waktu itu, kau akan tahu betapa aku menghargai kasihmu
Kau akan mengerti, betapa aku menyayangimu.

Tapi aku yakin
Kau tidak akan mencebik muka
Kau tidak akan bermasam sentiasa
Kau tidak akan membatu bisu denganku
Kau tidak akan menjadi dingin tak bersuara
kerana aku tahu
Kau juga tahu akan tanggungjawab padaNya
Kau juga mengerti hidup ini ada matlamatnya
Dan kau juga, sangat menyayangiku
empukan belaian yang kau sisipkan
Mana mungkin ia bertukar jadi geseran kebencian

Aku khuatir untuk menceritakan realiti
Kerana aku tak tahu apakah reaksimu
Kerana aku tak sanggup untuk memaksa kau menerima kenyataan
Walaupun aku yakin, itu kebenaran.
Tugasku ini bukan sekadar tugasan mingguan
Tapi ia tugasan sepanjang perjalanan
Yang perlu aku nisbahkan dengan kecintaanku padaNya
Yang aku yakin, kau tahu nilainya
Cinta yang akan meminta segalanya
Yang mungkin memaksa aku untuk mengorbankan pelbagai perkara
Termasuk engkau, walau sesukar mana jadinya

Aku doakan
Kau akan menerima
Supaya aku tidak perlu menahan pedih derita
Supaya aku tidak perlu menelan cuka
Supaya aku tidak terpaksa mengenggam bara
Untuk terus menyempurnakan tugas yang ada
Tugas ini seiring dengan nafas ku
Berhentinya ia berhentilah jantungku
Jika kau mencebik muka, maka tugas itu berjalanlah juga
Kerana ini bukan pilihanku
Tapi satu-satunya jalan untuk mendapat ridhoNya.
Oh, fahamilah pinta hatiku!

-Petikan dari kalbu insani

No comments:

Post a Comment