Kalamullah

Kalamullah

Friday, May 21, 2010

Aku tidak tahu....



SubhanaAllah.
Setelah hampir 2 dekad dihabiskan dengan perbuatan dan amalan yang sia-sia, Allah Yang Maha Penyayang lagi Maha Pengasihani telah menganugerahkan kita peluang untuk melihat dunia ini sepertimana yang patut kita lihat. Dengan Baseerah.

Tapi dalam kita melihat, kerapkali kita gagal untuk memahami.
Tapi kita angkuh, masih keras dengan pendapat yang rapuh.
Kita memaksa fitrah untuk melihat dari kaca mata yang berkabus.
Kita meminta Haq untuk menurut kata-kata yang kelabu.

Angkuh dan sombongnya kita.
Batu.

Ar-Rasul SAW, Uswatun Hasanah untuk Ummat sepanjang zaman, kini hanya jadi kenangan.
Hanya sekadar satu ikon yang dikagumi, tapi bukan untuk dicontohi.

Akibatnya, kita terlupa ciri yang tidak pernah jauh daripada baginda walau seinci.
Itulah ciri rendah diri, tawadhu'. Jiwa baginda lapang, barangkali selapang dunia yang terbentang, hati Baginda kukuh, barangkali berkali ganda lebih kukuh daripada Gunung pemasak bumi.

Perhatikan sahaja sewaktu turunnya wahyu pertama.
"BACALAH!" seru Jibril
"Aku tidak tahu membaca" balas Muhammad SAW.

SubhanaAllah.

Baginda pernah ditanya, tentang pelbagai perkara, tentang hari kiamat, tentang ciri-ciri Allah dan sebagainya, tapi apa jawapan Baginda?
"Aku hanyalah seorang Nabi, dan aku hanya tahu apa yang telah diwahyukan kepadaku"

SubhanaAllah.

Cantiknya peribada Baginda. Nyatalah sifat tawaddhu' itu aset.
Dan lawan kepada sifat ini, sombong, angkuh, ego, adalah sifat-sifat yang sangat dicari oleh syaitan. Kerana sifat inilah sifat yang ada pada Iblis, sifat inilah yang mengkafirkan sekalian syaitan, sifat inilah yang mengeluarkan syaitan dari syurga, sifat inilah yang menyebabkan anak Nabi Adam saling berbunuhan, sifat inilah yang menyebabkan kaum Nabi Nuh ditenggelamkan oleh Allah, sifat inilah yang mencelakakan Abu Lahab. Yakni, sifat yang menyebabkan seseorang itu merasakan dia 'lebih bagus' atau lebih mulia disisi Allah berbanding dengan 0rang lain.

Dan sungguh, ilmu yang kita pelajari juga adalah ujian.
Ilmu itulah yang akan menguji adakah hati kita sudah bersedia untuk menjadi pembela agama.
Pernah dalam satu muktamar Ikhwan, ISHAB dipuji kerana jumlah ikhwan pada waktu itu sangat ramai. Jawab beliau, "Sesungguhnya ujian Allah itu belum tiba". Nyatalah, pada muktamar berikutnya, jumlah ikhwan merosot dengan mendadak.

Ya para ikhwah.
Bukan semua orang yang mahu membawa Agama ini akan terpilih.
Syaitan itu sangat licik, dengan cucukan jarum-jarum ajaibnya.
Selagi hati ini belum benar-benar tajarrud, maka tunggulah, ujian Allah pasti akan datang untuk menapis mereka yang belum 'layak' untuk membawa agamaNya.

Dengan segala ilmu yang kita pelajari, hati akan dapat melihat.
Tapi dengan perkara yang sama jugalah hati akan hilang penglihatan.
Benarlah, kata orang, Ilmu itu cahaya.
Tanpanya, mana mungkin kita dapat melihat.
Tapi seandainya mata ini didedahkan dengan cahaya, melebihi had yang sepatutnya,
maka mata itu akan buta. Buta yang tidak dapat melihat lagi. Selama-lamanya.
Bukan buta kerana tiada cahaya. Tapi kerana sudah hilang.
Insan yang hilang hatinya, mana mungkin dapat memahami kalimat-kalimat Tuhannya..

"Allah tidak akan membiarkan orang-orang beriman dalam keadaan kamu sekarang ini, hingga Dia membezakan antara yang baik dan buruk."
(Ali Imran, 3:179)

Allah akan menapis, dan mereka yang jiwanya lemah, akalnya lemah, jasadnya lemah, yang asyik ingin dimanja, yang asyik merungut sentiasa, yang mencari alasan setiap saat, yang asyik penat, yang suka dunia, dan jutaan lagi sifat-sifat pelik, yang tidak sepatutnya ada pada seorang muslim, seorang daie, maka tanyalah diri kita, selama mana kita mampu bertahan.

Janji Allah, orang yang tidak tajarrud, pasti akan dibezakan dengan orang yang 'layak' untuk membawa Agama penyelamat ini.

Wahai para duat sekalian.
Kita ini penyeru manusia kepada Tuhan.
Bukan tempat adanya semua jawapan.
Janganlah pamerkan egomu,
seandainya tidak tahu, katakanlah
"Aku tidak tahu..."
Rendahkan jiwa, kerana itu adalah lebih baik bagi kita.

Jom, perbaiki diri, bersihkan hati, ikhlaskan niat.
Ini semua untuk Allah. Bukan untuk diri kita sendiri.
Bukan untuk kita. Tapi untuk Allah.

Selagi belum sampai syurga, katakanlah, ujian Allah masih belum tiba.

No comments:

Post a Comment