Kalamullah

Kalamullah

Saturday, October 1, 2011

Terik Tarbiyah




(67:2)
"Yang menciptakan mati dan hidup, untuk Dia menguji siapa antara kamu yang paling baik amalannya. Dan sungguh, Dialah yang Maha Agung, Maha Mengampuni"

Hidup, salah satu dari ciptaan Al-Khaleeq. Mati, juga ciptaanNya.
Dan antara kedua-duanya, adalah lapangan amal. Dan lapangan ini, memerlukan kecekalan dan keutuhan jiwa. Cukup sukar.

Kita perlu untuk mematangkan tarbiyyah diri. Andai kita gagal melakukan ini, nescaya akan terurai ikatan dan kefahaman yang ada. Akan perlahan-lahan, jiwa dan emosi kita larut dalam lautan dunia. Tujahan dan hempasan ujian, pastinya akan menghakis keimanan yang telah terbina. Dan andainya bangunan ini tiada sokongan, nescaya walau sekukuh dan kuat manapun ia, pasti akan tumbang jua akhirnya.

Kemudian, datang pula isu dakwah. Apa lah gunanya tarbiyyah yang makin meninggi seandainya ia statik dan berhenti? Tapi kalau kita melangkah untuk berdakwah, kadang terasa seolah meredah angin halilintar. Dan dengan mudah dan pantasnya, segala muwasafat yang terbina, seolah lesap tanpa kesan. Apakah ini signal kelesuan iman?

Oh, teriknya tarbiyah.

Mana tidaknya, tanpa dakwah juga, tarbiyah yang membina jiwa kita akan makin layu dan kelam. Makin dilupakan. Makin tenggelam. Perlunya medan amal yang memacu kimpalan kefahaman.

Andai kita ingin memahami sesuatu, kita perlu dengar, faham, dan terus amalkan. InshaAllah tidak sesukar mana. Tapi untuk kita memberikan kefahaman kepada seseorang, apa pula langkahnya? Apa ukuran keberjayaannya? Dimana garis penamatnya? Apakah ianya mudah untuk disalurkan? Atau akan bergeser dan terluka sana sini?

Pada waktu ini, teringat satu konsep yang cukup indah.
"Selemah-lemah ukhuwah ada Salamatus Sadr(berlapang dada), dan setinggi-tinggi ukhuwah adalah itsar(mendahulukan orang lain)."

Sejauh mana kita mampu merealisasikan tarbiyah ini, dalam kehidupan kita? Dan bukankah tarbiyah mengajarkan kita untuk hidup dengan kefahaman, menjadi hidup berjalan sambil melambang dan mengajarkan kefahaman tersebut?

Wallahua'lam





Wednesday, September 14, 2011

Kaca Mata Yang Berubah



Lama benar tak menulis kalam di muka ini. Baru terasa, hidup sebenarnya, jauh lebih mencabar dan sukar jika hendak dibanding dengan teori, ataupun dengan kata-kata. Jauh benar perjalanan yang harus ku tempa, untuk benar-benar mencapai matlamat dan tujuan yang selama ini didamba.

Selama ini, aku gambarkan hidup ini umpama satu perlumbaan. Sabaaq. Berlumba ke arah mana? Berlumba supaya menjadi yang paling baik, paling hebat dan paling berdedikasi. Ingin berada paling atas sekali. Perkara lain, semuanya kelihatan kecil dan tidak bermakna, yang paling penting, aku berjaya meletakkan satu noktah atas semua nama lain. Aku paling atas.

Sukar, cukup sukar untuk mengubah pemikiran begini. Bahkan, mungkin sahaja setelah berlalu deru angin dan halilintar, jiwa ini masih belum sesuci yang diharapkan. Masih belum segar dari palitan jahiliyah yang mengecewakan. Oh, inilah jahiliyah yang sangat besar, yang sangat perlu dibersihkan. Kerana jahiliyah ini bermain dengan Ilah, bermain dengan tuhan yang Aku sembah. Apa status syahadahku, tatkala segala yang dilakukan bukan pusatnya Allah? Munafik apakah aku ini, masih berani untuk mengucap kata dusta pada Tuhan sekalian semesta? Oh, berhala begini sebenarnya yang selama ini aku lolong dan pekikkan. Patutlah semuanya serba tak kena, serba kucar-kacir. Aku sedang kufur kepada Tuhan yang Satu.

Perlahan-lahan aku sedar, hidup ini bukanlah semata-mata untuk menjadi yang paling baik, sebaliknya lebih kepada untuk memberikan segala-galanya yang bisa menzahirkan manfaat paling besar buat keseluruhan manusia. Ya, aku tersentak menyedari, hidupku adalah untuk menjadi khadam, menjadi hamba untuk memberikan yang paling baik kepada keseluruhan alam. Maknaya, susah payah jerih penat yang harus aku alami, bukan untuk aku gembira dan selesa. Sebaliknya, untuk aku melihat orang-orang lain bebas dari perhambaan, suci dan bersih dari kesengsaraan tipu daya dunia. Itu, satu hakikat yang sukar diterima akal.

Apabila hidup ini melibatkan hablum minallah, dan hablum minannas, maka segala paksi selama ini, sudah bertukar. Paksi kejayaan, kegemilangan, yang semuanya datang kepadaku, semuanya harus bertukar kepada satu: DAKWAH. Perkataan yang selama ini tidak pernah aku fahami lebih daripada sekadar ibadat kepada Allah. Perkataan yang mengajar erti manusiawi, hakikat dan realiti insan yang selama ini aku ketepikan kerana sentiasa melihat diriku sendiri tanpa mempedulikan langsung manusia yang lain.

Ya Allah, teruslah memandu hambaMu dalam memahami erti kehidupan ini. Dan ya Allah, janganlah Engkau Palingkan hati ini, setelah Kau beri petunjuk. Sungguh, biarlah jiwa ini tidak sesekali berdetik, melainkan untuk terus berusaha mencapai ridhoMu.



Tuesday, June 14, 2011

Buah Catur



Gerak si buah catur
Sudah diatur sang pemain
Tatkala diarahkan kedepan
Maka jiwa atau perasaan mana yg mampu menahan?

Oh, hidup ini andai semuanya tentang perasaan
Mungkin lebih warna warni
Mungkin juga terlalu kucar-kacir
Kerana jiwa kan sentiasa berperang

Oh si buah catur
Mungkin sekali gusar kelam mu kau rasa hilang
Tapi yakinilah, tenang sang pantai
Tak akan terselindung dari seliratnya sang ombak

Oh bulan
Ku pelik, mengapa sehingga begini jadinya
Benarlah, aku di bumi, terlalu jauh dari melihatmu
Tapi selama ini, cahaya yang kau pantulkan yang jadi tali hubungan kita. Saatnya kau kelam, terlalu sukar untuk ku cari jasadmu itu.

Barangkali hidup ini memang sedemikian
Tiada hubungan yang kan kekal abadi
Yang tinggal, hanyalah mimpi dan kenangan
Yang mengisi singkatnya kehidupan

Terasa terkilan
Melihat realiti membaham fantasi
Memamah segala mimpi dan cita
Menjadi pahit dan tajamnya hakikat kehidupan

Wahai hati, jangan sekali kau tangisi
Kerna hidup terlalu singkat untuk menyesali
Maka kejarlah lagi
Angan-angan dan senyuman
yang bakal kembali


-Rintihan hati yang baru tersedar realiti kehidupan yang penuh warna warni-

Friday, May 27, 2011

Fastabiqul Khairat



Hidup kita ini, tunjang dan asasnya cuma satu: Ghoyatuna

Itu sahaja sebenarnya qiblat dan matlamat kita. Mahukan Allah, merelakan diri sebagai hamba Allah yang satu. Kita dimestikan untuk berfikir, dalam kehidupan yg cukup singkat ini, apa sebenarnya yang kita ingin jadi, untuk benar-benar mendpat ghoyah tadi.

Lihatlah dalam cermin, lantunan imej diri kita sendiri. Apakah segala yang kita ada pada hari ini sudah cukup untuk menarik jutaan manusia dari lautan jahiliyyah kepada gelombang Islam? Apakah kapasitas kita sebagai seorang daie telah cukup besar dan kokoh, untuk kita gegarkan benteng Jahiliyah dengan tunjang Iman? Apakah amal kita sudah cukup ikhlas dan jujur, apakah Ihsan itu amalan setiap saat kita?

Demikianlah, seorang daie bisa mempersoalkan segala persoalan diatas. Mencari ruang untuk memperbaiki dirinya, lantas memperbaiki kondisi umat sekaliannya. Prioritasnya hanya satu: Ghoyahnya. Selagi setiap tindakannya membawa dia selangkah hampir Tuhannya, selagi itulah, tiada yang bisa menahannya. Tidak akan pernah dalam hidup seorang daie, masanya kosong, seolah tiada lagi ciri yang perlu dia baiki.

Ayuh, target kita membina individu manusia, kader dakwah yang tegar mempertahankan aqidah Ummat. Maka, carilah di celah-celah masamu, untuk menyumbang, barangkali sumbangan yang sedikit itu menjadi pembeza antara syurga yang indah, dan neraka yang menyeksa. Hidup ini tidaklah melainkan satu perjalanan yang singkat, kesakitan didalamnya terlalu sekejap untuk dirasai sekalipun.

Wallahua'lam

Monday, May 9, 2011

Semangat...?


Semangat selalu diibaratkan seperti obor api yang menyala-nyala. Bercahaya, lagi menerangkan seluruh kawasan disekelilingnya.

Dan semangat lah antara pemangkin paling hebat dalam merancakkan dakwah. Tak kiralah dimana pun, tanpa semangat yang menyala-nyala, pastinya para daie akan kelihatan lesu penuh tidak bermaya. Adalah sesuatu yang biasa kita lihat, apabila ada sahaja seorang ikhwah yang benar-benar bersemangat, maka semangatnya itu akan terpercik kepada ikhwahnya yang lain, lantas menjadikan mereka sekumpulan rijal yang berkobar-kobar untuk menginfaqkan diri untuk dakwah.

Maka... persoalannya disini.. Adakah benar semangat itu sangat penting? Jika ya... Bagaimana cara untuk kita menjadikan diri kita bersemangat?

Hakikatnya, semangat itu bukanlah satu objektif. Ya, ia bukan matlamat.

Sebaliknya semangat itu adalah juga merupakan hasil daripada kefahaman yang terbina dalam diri.

Semangat yang dipaksa, yang diapi-apikan, mungkin adalah jauh lebih ''instant'' dari semangat yang lahir dari kefahaman. mana tidaknya, kefahaman perlu dibina perlahan-lahan, dan kemudian kefahaman ini pula perlu meresap dalam tubuh untuk semangat itu lahir. Prosesnya mungkin mengambil masa, malah mungkin juga semangat itu tak lahir-lahir sehingga sekian lamanya.

sebaliknya, semangat yang timbul atas sebab provokasi, atas sebab paksaan, atas sebab melihat kepada keadaan sekeliling, ataupun kata mudahnya, semangat yang lahir atas faktor-faktor luaran yang bukannya dari kefahaman, sepantas kilat akan membakar. Sekelip mata akan berkobar. Tapi gemerlapannya hanya sebentar. Kilauan apinya hanya sekejap. Tidak tahan lama. Habis bahan bakarnya, maka lesaplah unggun apinya.

Benar, kita memerlukan semangat, jika tidak, kelesuan yang membanjiri para daie akan sedikit-demi-sedikit mematikan keseluruhan perjuangan ini. Berapa ramai daie yang lesu dan penat, akhirnya futur di tengah jalan. jatuh, tidak mampu untuk bangun kembali. Berapa ramai daie yang kering semangat juangnya, maka apabila dicabar dengan ujian dan bahaya, maka dengan pantasnya ia akan kebelakang dan membatu. Melarikan diri.

Tapi awas.. Tanyalah diri kita, apakah semangat yang mengalir dalam tubuh ini, atas dasar kefahaman, atau atas dasar paksaan? Jika yang kedua, maka berhati-hatilah, barangkali bahan bakarmu akan kehabisan bila-bila masa. Jika itu yang berlaku, awaslah, lubang-lubang terbentang licik, mencari mangsa seterusnya yang akan jatuh terkulai.

Kobarkanlah api semangatmu, daripada kefahaman bahawa dunia ini sementara, dan mati itu adalah pintu rahmat, untuk memperoleh ganjaran atas segala pengorbanan. Bakarlah api semangatmu, dengan kefahaman bahawa dunia ini jika ingin dibandingkan dengan akhirat, hanyalah umpama titisan air dengan lautan yang ultimate luas.

Dengan kefahaman yang kukuh, andainya semangat itu hilang sekalipun, ia umpama lampu, yang mampu dicari suisnya, untuk kembali menerangi menyuluh perjalanan. Jika tidak, barangkali ia hanya umpama unggun api yang menunggu masa untuk mati.

Berapa ramai rijal hari ini, yang pada suatu ketika dahulu gah dengan obor semangatnya, hujanan kata-kata mewarnai harinya, jihad senantiasa menjadi rutinnya, namun hari ini... Dia kelihatan lesu dan penat, umpama sudah terlalu kering darah dalam tbuhnya. Dia kelihatan umpama mayat yang masih berjalanan. Kini, apabila dibanjiri kekecewaan, didatangi dengan derita, dihujani dengan ujian yang menyeksakan... Maka sekelip mata, api semangat itu dicurahkan dengan pasir, yang terus memadam menghitamkan, segenap ruang.

Ayyuhal Syabab!! Api semangat dalam jiwa mu itu menunggu-nunggu untuk dinyalakan. Maka nyalakanlah dengan obor kefahaman, nescaya ia akan kekal untuk sekelian zaman...



Saturday, May 7, 2011

Burung Nuri, dan KITA...


Tersebutlah kisah seekor burung nuri. Bulunya hijau berekor kuning. Burung yang comel dan sangat aktif. Sejak pagi ia sudah bangun untuk memulakan hari, ketika tuannya masih lagi tidur. Ya,burung itu bertuan. Si nuri adalah haiwan peliharaan. Tinggal dia di dalam sangkar besi yang disangkut di hadapan rumah. Sejak pagi si nuri bangun. Melompat ke kiri, melompat ke kanan. Orang yang melihatnya menyangka si nuri gembira. Malah si nuri pun menyangka dirinya gembira. Si nuri hidup dalam sangkar sejak lahir. Tidak tahu hakikat kebebasan.

Pada satu hari ada burung merpati yang datang ke sisi si nuri. Burung merpati menceritakan dunia luar yang bebas.si merpati menawarkan diri untuk membebaskan nuri. Pada mulanya nuri tidak tertarik malah mempersoalkan: "kenapa aku mahu keluar? Aku tengok burung diluar setiap mengalami kesusahan, bangun pagi mencari rezeki, sedangkan rezekiku setiap hari pasti disediakan tuanku." Namun si merpati tidak berputus asa. Pertemuan demi pertemuan berlaku. Si merpati kasihankan si nuri. Si merpati mahu si nuri merasai nikmatnya terbang ke angkasa. Setelah satu sela masa, si nuri bersetuju untuk keluar dari sangkar dan terbang mengikut merpati. Kali pertama keluar dari sangkar, si nuri merasakan ketidakselesaan yang amat. Tidak sampai satu minit keluar dari sangkar, nuri terbang ke sangkar semula. Merpati tetap menemani nuri. "kita cuba lagi nanti," kata merpati. Setelah itu nuri cuba keluar lagi. Semakin hari tempohnya semakin lama hinggalah tiba satu hari, nuri bertekad untuk meninggalkan sangkar untuk selama-lamanya. Nuri terbang mengikut merpati, seperti biasa, namun lebih jauh dan lebih tinggi. Saat itu, tidak tergambar kebahagiaan di hati nuri. Rupa-rupanya inilah kegembiraan bebas di angkasa yang diceritakan merpati setiap hari. Kemudian nuri meluahkan perasaan terima kasih kepada merpati, "Terima kasih kerana sabar dalam membimbing aku hingga aku betul-betul bebas seperti sekarang, namun hari ini aku mahu bertanya, apakah yang mendorong kau menolong aku walaupun dengan segala kerenahku dahulu?" Merpati pun menceritakan, "Pada satu masa dahulu, aku pun sepertimu, hanya seekor burung di dalam sangkar. Merasakan diriku gembira. Kadang-kadang aku ingin bebas tetapi tidak mampu. Hinggalah satu masa seekor burung datang padaku sepertimana aku datang padamu. Dia lebih sabar mendidikku dengan kerenahku lebih dari sabarku mendidikmu. Begitulah kisahku." Kemudiaan merpati menyambung lagi, "Nah, sekarang kau pergilah teruskan hidupmu!"

Kisah merpati sentiasa terngiang-ngiang di ingatan nuri. Segala pesanan-pesanan masih tegar dalam memori. Segala panduan hidup kini diamalkan sehari-hari. Pada suatu hari, ketika terbang mencari makanan, si nuri terjumpa seekor burung di dalam sangkar menyanyi-nyanyi. Tanpa berfikir panjang si nuri terus terbang ke sisi sangkar dan memulakan perbualan, "Mahukah kau aku ceritakan tentang kebebasan?"


***Bagaimanakah kita..? Apakah kita akan menjadi seperti burung Nuri yang mencari burung-burung lain yang ditipu dengan ''keindahan'' sangkar, untuk membebaskan mereka, ataupun kita ingin terus dengan kehidupan biasa kita, yang senantiasa menyangka diri gembira sedangkan sedang melakukan rutin yang cukup membosankan...??

Monday, May 2, 2011

Harapan itu masih ada!


Kadang-kala, kita memerlukan harapan untuk terus bernafas.
Kita perlukan galakan dan dorongan.

Benarlah, jalan dakwah sememangnya penuh dengan dugaan dan cubaan.
Tapi, dengan susunan perkataan yang indah, segala kesusahan itu akan dirasakan terlalu kecil jika hendak dibanding dengan kebahagiaan yang telah kita rasai. Kebahagiaan memperoleh nikmat kefahaman itu. Seharusnya jauh lebih menggembirakan berbanding dengan apa2 kesusahan pun.

Sakit apa pun yang kita rasa, anggaplah ia benih yang disemai untuk dituai kelak di syurga.

Andai segala pintu rezki tertutup erat, anggaplah ia petanda akan tibanya rezki yang baru dariNya. Takkanlah kita akan dibiar terkapai-kapai dalam dunia ini...

Genggamlah seerat-eratnya Al-Quran dan sunnah Rasulullah.
Itulah rahsia kebahagiaan yang kita kecapi ini.

Dan senyumlah...
Barangkali senyumanmu bisa menjadi penawar duka ikhwah yang sedang kecewa.

Ayuh, sama-sama kita hidupkan mindset ini, mindset seorang Muslim yang senantiasa tenang dan redha, yakin dan percaya, segala-galanya pasti akan selesai.

HARAPAN ITU MASIH ADA!