Kalamullah

Kalamullah

Saturday, May 7, 2011

Burung Nuri, dan KITA...


Tersebutlah kisah seekor burung nuri. Bulunya hijau berekor kuning. Burung yang comel dan sangat aktif. Sejak pagi ia sudah bangun untuk memulakan hari, ketika tuannya masih lagi tidur. Ya,burung itu bertuan. Si nuri adalah haiwan peliharaan. Tinggal dia di dalam sangkar besi yang disangkut di hadapan rumah. Sejak pagi si nuri bangun. Melompat ke kiri, melompat ke kanan. Orang yang melihatnya menyangka si nuri gembira. Malah si nuri pun menyangka dirinya gembira. Si nuri hidup dalam sangkar sejak lahir. Tidak tahu hakikat kebebasan.

Pada satu hari ada burung merpati yang datang ke sisi si nuri. Burung merpati menceritakan dunia luar yang bebas.si merpati menawarkan diri untuk membebaskan nuri. Pada mulanya nuri tidak tertarik malah mempersoalkan: "kenapa aku mahu keluar? Aku tengok burung diluar setiap mengalami kesusahan, bangun pagi mencari rezeki, sedangkan rezekiku setiap hari pasti disediakan tuanku." Namun si merpati tidak berputus asa. Pertemuan demi pertemuan berlaku. Si merpati kasihankan si nuri. Si merpati mahu si nuri merasai nikmatnya terbang ke angkasa. Setelah satu sela masa, si nuri bersetuju untuk keluar dari sangkar dan terbang mengikut merpati. Kali pertama keluar dari sangkar, si nuri merasakan ketidakselesaan yang amat. Tidak sampai satu minit keluar dari sangkar, nuri terbang ke sangkar semula. Merpati tetap menemani nuri. "kita cuba lagi nanti," kata merpati. Setelah itu nuri cuba keluar lagi. Semakin hari tempohnya semakin lama hinggalah tiba satu hari, nuri bertekad untuk meninggalkan sangkar untuk selama-lamanya. Nuri terbang mengikut merpati, seperti biasa, namun lebih jauh dan lebih tinggi. Saat itu, tidak tergambar kebahagiaan di hati nuri. Rupa-rupanya inilah kegembiraan bebas di angkasa yang diceritakan merpati setiap hari. Kemudian nuri meluahkan perasaan terima kasih kepada merpati, "Terima kasih kerana sabar dalam membimbing aku hingga aku betul-betul bebas seperti sekarang, namun hari ini aku mahu bertanya, apakah yang mendorong kau menolong aku walaupun dengan segala kerenahku dahulu?" Merpati pun menceritakan, "Pada satu masa dahulu, aku pun sepertimu, hanya seekor burung di dalam sangkar. Merasakan diriku gembira. Kadang-kadang aku ingin bebas tetapi tidak mampu. Hinggalah satu masa seekor burung datang padaku sepertimana aku datang padamu. Dia lebih sabar mendidikku dengan kerenahku lebih dari sabarku mendidikmu. Begitulah kisahku." Kemudiaan merpati menyambung lagi, "Nah, sekarang kau pergilah teruskan hidupmu!"

Kisah merpati sentiasa terngiang-ngiang di ingatan nuri. Segala pesanan-pesanan masih tegar dalam memori. Segala panduan hidup kini diamalkan sehari-hari. Pada suatu hari, ketika terbang mencari makanan, si nuri terjumpa seekor burung di dalam sangkar menyanyi-nyanyi. Tanpa berfikir panjang si nuri terus terbang ke sisi sangkar dan memulakan perbualan, "Mahukah kau aku ceritakan tentang kebebasan?"


***Bagaimanakah kita..? Apakah kita akan menjadi seperti burung Nuri yang mencari burung-burung lain yang ditipu dengan ''keindahan'' sangkar, untuk membebaskan mereka, ataupun kita ingin terus dengan kehidupan biasa kita, yang senantiasa menyangka diri gembira sedangkan sedang melakukan rutin yang cukup membosankan...??

No comments:

Post a Comment