Kalamullah

Kalamullah

Wednesday, September 14, 2011

Kaca Mata Yang Berubah



Lama benar tak menulis kalam di muka ini. Baru terasa, hidup sebenarnya, jauh lebih mencabar dan sukar jika hendak dibanding dengan teori, ataupun dengan kata-kata. Jauh benar perjalanan yang harus ku tempa, untuk benar-benar mencapai matlamat dan tujuan yang selama ini didamba.

Selama ini, aku gambarkan hidup ini umpama satu perlumbaan. Sabaaq. Berlumba ke arah mana? Berlumba supaya menjadi yang paling baik, paling hebat dan paling berdedikasi. Ingin berada paling atas sekali. Perkara lain, semuanya kelihatan kecil dan tidak bermakna, yang paling penting, aku berjaya meletakkan satu noktah atas semua nama lain. Aku paling atas.

Sukar, cukup sukar untuk mengubah pemikiran begini. Bahkan, mungkin sahaja setelah berlalu deru angin dan halilintar, jiwa ini masih belum sesuci yang diharapkan. Masih belum segar dari palitan jahiliyah yang mengecewakan. Oh, inilah jahiliyah yang sangat besar, yang sangat perlu dibersihkan. Kerana jahiliyah ini bermain dengan Ilah, bermain dengan tuhan yang Aku sembah. Apa status syahadahku, tatkala segala yang dilakukan bukan pusatnya Allah? Munafik apakah aku ini, masih berani untuk mengucap kata dusta pada Tuhan sekalian semesta? Oh, berhala begini sebenarnya yang selama ini aku lolong dan pekikkan. Patutlah semuanya serba tak kena, serba kucar-kacir. Aku sedang kufur kepada Tuhan yang Satu.

Perlahan-lahan aku sedar, hidup ini bukanlah semata-mata untuk menjadi yang paling baik, sebaliknya lebih kepada untuk memberikan segala-galanya yang bisa menzahirkan manfaat paling besar buat keseluruhan manusia. Ya, aku tersentak menyedari, hidupku adalah untuk menjadi khadam, menjadi hamba untuk memberikan yang paling baik kepada keseluruhan alam. Maknaya, susah payah jerih penat yang harus aku alami, bukan untuk aku gembira dan selesa. Sebaliknya, untuk aku melihat orang-orang lain bebas dari perhambaan, suci dan bersih dari kesengsaraan tipu daya dunia. Itu, satu hakikat yang sukar diterima akal.

Apabila hidup ini melibatkan hablum minallah, dan hablum minannas, maka segala paksi selama ini, sudah bertukar. Paksi kejayaan, kegemilangan, yang semuanya datang kepadaku, semuanya harus bertukar kepada satu: DAKWAH. Perkataan yang selama ini tidak pernah aku fahami lebih daripada sekadar ibadat kepada Allah. Perkataan yang mengajar erti manusiawi, hakikat dan realiti insan yang selama ini aku ketepikan kerana sentiasa melihat diriku sendiri tanpa mempedulikan langsung manusia yang lain.

Ya Allah, teruslah memandu hambaMu dalam memahami erti kehidupan ini. Dan ya Allah, janganlah Engkau Palingkan hati ini, setelah Kau beri petunjuk. Sungguh, biarlah jiwa ini tidak sesekali berdetik, melainkan untuk terus berusaha mencapai ridhoMu.



No comments:

Post a Comment