Semangat selalu diibaratkan seperti obor api yang menyala-nyala. Bercahaya, lagi menerangkan seluruh kawasan disekelilingnya.
Dan semangat lah antara pemangkin paling hebat dalam merancakkan dakwah. Tak kiralah dimana pun, tanpa semangat yang menyala-nyala, pastinya para daie akan kelihatan lesu penuh tidak bermaya. Adalah sesuatu yang biasa kita lihat, apabila ada sahaja seorang ikhwah yang benar-benar bersemangat, maka semangatnya itu akan terpercik kepada ikhwahnya yang lain, lantas menjadikan mereka sekumpulan rijal yang berkobar-kobar untuk menginfaqkan diri untuk dakwah.
Maka... persoalannya disini.. Adakah benar semangat itu sangat penting? Jika ya... Bagaimana cara untuk kita menjadikan diri kita bersemangat?
Hakikatnya, semangat itu bukanlah satu objektif. Ya, ia bukan matlamat.
Sebaliknya semangat itu adalah juga merupakan hasil daripada kefahaman yang terbina dalam diri.
Semangat yang dipaksa, yang diapi-apikan, mungkin adalah jauh lebih ''instant'' dari semangat yang lahir dari kefahaman. mana tidaknya, kefahaman perlu dibina perlahan-lahan, dan kemudian kefahaman ini pula perlu meresap dalam tubuh untuk semangat itu lahir. Prosesnya mungkin mengambil masa, malah mungkin juga semangat itu tak lahir-lahir sehingga sekian lamanya.
sebaliknya, semangat yang timbul atas sebab provokasi, atas sebab paksaan, atas sebab melihat kepada keadaan sekeliling, ataupun kata mudahnya, semangat yang lahir atas faktor-faktor luaran yang bukannya dari kefahaman, sepantas kilat akan membakar. Sekelip mata akan berkobar. Tapi gemerlapannya hanya sebentar. Kilauan apinya hanya sekejap. Tidak tahan lama. Habis bahan bakarnya, maka lesaplah unggun apinya.
Benar, kita memerlukan semangat, jika tidak, kelesuan yang membanjiri para daie akan sedikit-demi-sedikit mematikan keseluruhan perjuangan ini. Berapa ramai daie yang lesu dan penat, akhirnya futur di tengah jalan. jatuh, tidak mampu untuk bangun kembali. Berapa ramai daie yang kering semangat juangnya, maka apabila dicabar dengan ujian dan bahaya, maka dengan pantasnya ia akan kebelakang dan membatu. Melarikan diri.
Tapi awas.. Tanyalah diri kita, apakah semangat yang mengalir dalam tubuh ini, atas dasar kefahaman, atau atas dasar paksaan? Jika yang kedua, maka berhati-hatilah, barangkali bahan bakarmu akan kehabisan bila-bila masa. Jika itu yang berlaku, awaslah, lubang-lubang terbentang licik, mencari mangsa seterusnya yang akan jatuh terkulai.
Kobarkanlah api semangatmu, daripada kefahaman bahawa dunia ini sementara, dan mati itu adalah pintu rahmat, untuk memperoleh ganjaran atas segala pengorbanan. Bakarlah api semangatmu, dengan kefahaman bahawa dunia ini jika ingin dibandingkan dengan akhirat, hanyalah umpama titisan air dengan lautan yang ultimate luas.
Dengan kefahaman yang kukuh, andainya semangat itu hilang sekalipun, ia umpama lampu, yang mampu dicari suisnya, untuk kembali menerangi menyuluh perjalanan. Jika tidak, barangkali ia hanya umpama unggun api yang menunggu masa untuk mati.
Berapa ramai rijal hari ini, yang pada suatu ketika dahulu gah dengan obor semangatnya, hujanan kata-kata mewarnai harinya, jihad senantiasa menjadi rutinnya, namun hari ini... Dia kelihatan lesu dan penat, umpama sudah terlalu kering darah dalam tbuhnya. Dia kelihatan umpama mayat yang masih berjalanan. Kini, apabila dibanjiri kekecewaan, didatangi dengan derita, dihujani dengan ujian yang menyeksakan... Maka sekelip mata, api semangat itu dicurahkan dengan pasir, yang terus memadam menghitamkan, segenap ruang.
Ayyuhal Syabab!! Api semangat dalam jiwa mu itu menunggu-nunggu untuk dinyalakan. Maka nyalakanlah dengan obor kefahaman, nescaya ia akan kekal untuk sekelian zaman...
No comments:
Post a Comment