Kalamullah

Kalamullah

Friday, May 27, 2011

Fastabiqul Khairat



Hidup kita ini, tunjang dan asasnya cuma satu: Ghoyatuna

Itu sahaja sebenarnya qiblat dan matlamat kita. Mahukan Allah, merelakan diri sebagai hamba Allah yang satu. Kita dimestikan untuk berfikir, dalam kehidupan yg cukup singkat ini, apa sebenarnya yang kita ingin jadi, untuk benar-benar mendpat ghoyah tadi.

Lihatlah dalam cermin, lantunan imej diri kita sendiri. Apakah segala yang kita ada pada hari ini sudah cukup untuk menarik jutaan manusia dari lautan jahiliyyah kepada gelombang Islam? Apakah kapasitas kita sebagai seorang daie telah cukup besar dan kokoh, untuk kita gegarkan benteng Jahiliyah dengan tunjang Iman? Apakah amal kita sudah cukup ikhlas dan jujur, apakah Ihsan itu amalan setiap saat kita?

Demikianlah, seorang daie bisa mempersoalkan segala persoalan diatas. Mencari ruang untuk memperbaiki dirinya, lantas memperbaiki kondisi umat sekaliannya. Prioritasnya hanya satu: Ghoyahnya. Selagi setiap tindakannya membawa dia selangkah hampir Tuhannya, selagi itulah, tiada yang bisa menahannya. Tidak akan pernah dalam hidup seorang daie, masanya kosong, seolah tiada lagi ciri yang perlu dia baiki.

Ayuh, target kita membina individu manusia, kader dakwah yang tegar mempertahankan aqidah Ummat. Maka, carilah di celah-celah masamu, untuk menyumbang, barangkali sumbangan yang sedikit itu menjadi pembeza antara syurga yang indah, dan neraka yang menyeksa. Hidup ini tidaklah melainkan satu perjalanan yang singkat, kesakitan didalamnya terlalu sekejap untuk dirasai sekalipun.

Wallahua'lam

Monday, May 9, 2011

Semangat...?


Semangat selalu diibaratkan seperti obor api yang menyala-nyala. Bercahaya, lagi menerangkan seluruh kawasan disekelilingnya.

Dan semangat lah antara pemangkin paling hebat dalam merancakkan dakwah. Tak kiralah dimana pun, tanpa semangat yang menyala-nyala, pastinya para daie akan kelihatan lesu penuh tidak bermaya. Adalah sesuatu yang biasa kita lihat, apabila ada sahaja seorang ikhwah yang benar-benar bersemangat, maka semangatnya itu akan terpercik kepada ikhwahnya yang lain, lantas menjadikan mereka sekumpulan rijal yang berkobar-kobar untuk menginfaqkan diri untuk dakwah.

Maka... persoalannya disini.. Adakah benar semangat itu sangat penting? Jika ya... Bagaimana cara untuk kita menjadikan diri kita bersemangat?

Hakikatnya, semangat itu bukanlah satu objektif. Ya, ia bukan matlamat.

Sebaliknya semangat itu adalah juga merupakan hasil daripada kefahaman yang terbina dalam diri.

Semangat yang dipaksa, yang diapi-apikan, mungkin adalah jauh lebih ''instant'' dari semangat yang lahir dari kefahaman. mana tidaknya, kefahaman perlu dibina perlahan-lahan, dan kemudian kefahaman ini pula perlu meresap dalam tubuh untuk semangat itu lahir. Prosesnya mungkin mengambil masa, malah mungkin juga semangat itu tak lahir-lahir sehingga sekian lamanya.

sebaliknya, semangat yang timbul atas sebab provokasi, atas sebab paksaan, atas sebab melihat kepada keadaan sekeliling, ataupun kata mudahnya, semangat yang lahir atas faktor-faktor luaran yang bukannya dari kefahaman, sepantas kilat akan membakar. Sekelip mata akan berkobar. Tapi gemerlapannya hanya sebentar. Kilauan apinya hanya sekejap. Tidak tahan lama. Habis bahan bakarnya, maka lesaplah unggun apinya.

Benar, kita memerlukan semangat, jika tidak, kelesuan yang membanjiri para daie akan sedikit-demi-sedikit mematikan keseluruhan perjuangan ini. Berapa ramai daie yang lesu dan penat, akhirnya futur di tengah jalan. jatuh, tidak mampu untuk bangun kembali. Berapa ramai daie yang kering semangat juangnya, maka apabila dicabar dengan ujian dan bahaya, maka dengan pantasnya ia akan kebelakang dan membatu. Melarikan diri.

Tapi awas.. Tanyalah diri kita, apakah semangat yang mengalir dalam tubuh ini, atas dasar kefahaman, atau atas dasar paksaan? Jika yang kedua, maka berhati-hatilah, barangkali bahan bakarmu akan kehabisan bila-bila masa. Jika itu yang berlaku, awaslah, lubang-lubang terbentang licik, mencari mangsa seterusnya yang akan jatuh terkulai.

Kobarkanlah api semangatmu, daripada kefahaman bahawa dunia ini sementara, dan mati itu adalah pintu rahmat, untuk memperoleh ganjaran atas segala pengorbanan. Bakarlah api semangatmu, dengan kefahaman bahawa dunia ini jika ingin dibandingkan dengan akhirat, hanyalah umpama titisan air dengan lautan yang ultimate luas.

Dengan kefahaman yang kukuh, andainya semangat itu hilang sekalipun, ia umpama lampu, yang mampu dicari suisnya, untuk kembali menerangi menyuluh perjalanan. Jika tidak, barangkali ia hanya umpama unggun api yang menunggu masa untuk mati.

Berapa ramai rijal hari ini, yang pada suatu ketika dahulu gah dengan obor semangatnya, hujanan kata-kata mewarnai harinya, jihad senantiasa menjadi rutinnya, namun hari ini... Dia kelihatan lesu dan penat, umpama sudah terlalu kering darah dalam tbuhnya. Dia kelihatan umpama mayat yang masih berjalanan. Kini, apabila dibanjiri kekecewaan, didatangi dengan derita, dihujani dengan ujian yang menyeksakan... Maka sekelip mata, api semangat itu dicurahkan dengan pasir, yang terus memadam menghitamkan, segenap ruang.

Ayyuhal Syabab!! Api semangat dalam jiwa mu itu menunggu-nunggu untuk dinyalakan. Maka nyalakanlah dengan obor kefahaman, nescaya ia akan kekal untuk sekelian zaman...



Saturday, May 7, 2011

Burung Nuri, dan KITA...


Tersebutlah kisah seekor burung nuri. Bulunya hijau berekor kuning. Burung yang comel dan sangat aktif. Sejak pagi ia sudah bangun untuk memulakan hari, ketika tuannya masih lagi tidur. Ya,burung itu bertuan. Si nuri adalah haiwan peliharaan. Tinggal dia di dalam sangkar besi yang disangkut di hadapan rumah. Sejak pagi si nuri bangun. Melompat ke kiri, melompat ke kanan. Orang yang melihatnya menyangka si nuri gembira. Malah si nuri pun menyangka dirinya gembira. Si nuri hidup dalam sangkar sejak lahir. Tidak tahu hakikat kebebasan.

Pada satu hari ada burung merpati yang datang ke sisi si nuri. Burung merpati menceritakan dunia luar yang bebas.si merpati menawarkan diri untuk membebaskan nuri. Pada mulanya nuri tidak tertarik malah mempersoalkan: "kenapa aku mahu keluar? Aku tengok burung diluar setiap mengalami kesusahan, bangun pagi mencari rezeki, sedangkan rezekiku setiap hari pasti disediakan tuanku." Namun si merpati tidak berputus asa. Pertemuan demi pertemuan berlaku. Si merpati kasihankan si nuri. Si merpati mahu si nuri merasai nikmatnya terbang ke angkasa. Setelah satu sela masa, si nuri bersetuju untuk keluar dari sangkar dan terbang mengikut merpati. Kali pertama keluar dari sangkar, si nuri merasakan ketidakselesaan yang amat. Tidak sampai satu minit keluar dari sangkar, nuri terbang ke sangkar semula. Merpati tetap menemani nuri. "kita cuba lagi nanti," kata merpati. Setelah itu nuri cuba keluar lagi. Semakin hari tempohnya semakin lama hinggalah tiba satu hari, nuri bertekad untuk meninggalkan sangkar untuk selama-lamanya. Nuri terbang mengikut merpati, seperti biasa, namun lebih jauh dan lebih tinggi. Saat itu, tidak tergambar kebahagiaan di hati nuri. Rupa-rupanya inilah kegembiraan bebas di angkasa yang diceritakan merpati setiap hari. Kemudian nuri meluahkan perasaan terima kasih kepada merpati, "Terima kasih kerana sabar dalam membimbing aku hingga aku betul-betul bebas seperti sekarang, namun hari ini aku mahu bertanya, apakah yang mendorong kau menolong aku walaupun dengan segala kerenahku dahulu?" Merpati pun menceritakan, "Pada satu masa dahulu, aku pun sepertimu, hanya seekor burung di dalam sangkar. Merasakan diriku gembira. Kadang-kadang aku ingin bebas tetapi tidak mampu. Hinggalah satu masa seekor burung datang padaku sepertimana aku datang padamu. Dia lebih sabar mendidikku dengan kerenahku lebih dari sabarku mendidikmu. Begitulah kisahku." Kemudiaan merpati menyambung lagi, "Nah, sekarang kau pergilah teruskan hidupmu!"

Kisah merpati sentiasa terngiang-ngiang di ingatan nuri. Segala pesanan-pesanan masih tegar dalam memori. Segala panduan hidup kini diamalkan sehari-hari. Pada suatu hari, ketika terbang mencari makanan, si nuri terjumpa seekor burung di dalam sangkar menyanyi-nyanyi. Tanpa berfikir panjang si nuri terus terbang ke sisi sangkar dan memulakan perbualan, "Mahukah kau aku ceritakan tentang kebebasan?"


***Bagaimanakah kita..? Apakah kita akan menjadi seperti burung Nuri yang mencari burung-burung lain yang ditipu dengan ''keindahan'' sangkar, untuk membebaskan mereka, ataupun kita ingin terus dengan kehidupan biasa kita, yang senantiasa menyangka diri gembira sedangkan sedang melakukan rutin yang cukup membosankan...??

Monday, May 2, 2011

Harapan itu masih ada!


Kadang-kala, kita memerlukan harapan untuk terus bernafas.
Kita perlukan galakan dan dorongan.

Benarlah, jalan dakwah sememangnya penuh dengan dugaan dan cubaan.
Tapi, dengan susunan perkataan yang indah, segala kesusahan itu akan dirasakan terlalu kecil jika hendak dibanding dengan kebahagiaan yang telah kita rasai. Kebahagiaan memperoleh nikmat kefahaman itu. Seharusnya jauh lebih menggembirakan berbanding dengan apa2 kesusahan pun.

Sakit apa pun yang kita rasa, anggaplah ia benih yang disemai untuk dituai kelak di syurga.

Andai segala pintu rezki tertutup erat, anggaplah ia petanda akan tibanya rezki yang baru dariNya. Takkanlah kita akan dibiar terkapai-kapai dalam dunia ini...

Genggamlah seerat-eratnya Al-Quran dan sunnah Rasulullah.
Itulah rahsia kebahagiaan yang kita kecapi ini.

Dan senyumlah...
Barangkali senyumanmu bisa menjadi penawar duka ikhwah yang sedang kecewa.

Ayuh, sama-sama kita hidupkan mindset ini, mindset seorang Muslim yang senantiasa tenang dan redha, yakin dan percaya, segala-galanya pasti akan selesai.

HARAPAN ITU MASIH ADA!



Saturday, April 23, 2011

Arus Islam



Pernah tak anda terfikir yang anda sedang menanggung satu bebanan yang saaaannnngggaaattt berat? Ya, bebanan dakwah itu, anda rasakan sangat berat dan seolah tidak mampu untuk anda galas? Pernah? Hrmmm....

Siapa kata dakwah itu tidak berat.
Mana tidaknya, matlamatnya adalah untuk mengubah seluruh dunia. Bukan untuk main-main je. Bukan setakat memenuhi portfolio jawatankuasa yang ada dalam persatuan mcm zaman sekolah dulu. Bukan untuk bawak usrah sahaja. Tapi matlamatnya, adalah untuk mengubah satu DUNIA!!!

Fuuhh... Kalau mcm tu.. Super berat+susah+pengsan la nak buat dakwah ni. ekk?

Hoho... Nope-nope-nope.... Ya Ikhwati Fillah;

Cuba hayati bait-bait tulisan Syed Qutb ini.

“Apabila kita hidup hanya untuk kita, hidupnya amatlah singkat. Bermula dari bermulanya kita dan berakhir dengan berakhirnya umur kita yang terbatas. Tetapi jika kita hidup kerana selain daripada kita, hidup kerana fikrah, sesungguhnya hidupnya panjang dan mendalam. Bermula daripada bermulanya manusia dan berakhir dengan luputnya manusia di bumi ini.

Jika kita merasakan kita yang memulakan perjuangan ini,kita akan merasa sempit dada menghadapi kematian (kerana perjuangan belum mencapai matlamat). Ingatlah, bukan kita yang memulakannya dan bukan kita yang mengakhirinya. Ia dimulakan oleh para Nabi hinggalah ke akhir zaman. Kita adalah mata rantai dari satu perjuangan yang panjang,” as-Sayyid Qutb rahimahullah.


Indah bukan?

Cuba perhatikan kiri dan kanan anda. Anda akan dapati, arus Islam itu semakin kuat. Perhatikan manusia-manusia yang diluar sana. Tidakkah makin ramai yang semakin menghampiri Rabbnya?

Itulah tandanya, sifat Islam itu sendiri, sudahpun menjadi satu pejuang, dalam memenangkan arus Islam. Dan, ketahuilah, sudahpun makin ramai yang menawarkan diri untuk memikul beban yang kau katakan berat dan mustahil itu. Sudahpun beratur insan-insan yang ingin mewakafkan diri mereka untuk perjuangan ini. Tandanya, ia tidaklah susah, dan ia tidaklah mustahil.

Ya, kita hanyalah satu matarantai, dari sebuah perjuangan yang panjang.

Benar, dakwah kita adalah untuk mengubah keseluruhan manusia, tapi bukan dengan kita melibas dunia dan memaksanya mengikut arus Islam. Tidak, Islam sifatnya bukan menghentam Jahiliyyah, sebaliknya, Islam sifatnya memahamkan manusia Jahiliyyah itu jahil, dan Islam itu Siddiq. Dengan ini, akan beralihlah manusia dari arus Jahiliyyah, dan seterusnya menyertai arus Islam.

Dan usaha untuk memahamkan keseluruhan dunia dengan hakikat ini, adalah satu perjuangan yang panjang. Namun, ianya pasti. Kita adalah matarantai. Maka perhatikanlah, setiap matarantai itu tidak boleh bersifat lemah. Kerana andai ia lemah, pastinya ia akan menjadi titik punca, ia akan menjadi weakest link, yang seterusnya akan dilibas jahiliyyah, dan tatkala ia terputus, maka akhi, ingatlah, saatnya matarantai itu terputus, akan lesaplah keseluruhan perjuangan yang direncanakan.

Tugas kita, adalah untuk mengubah keseluruhan dunia, dan caranya adalah untuk menyediakan perajurit Islam, yang jauh lebih hebat dari diri kita sendiri. Dengan inilah, baru arus Islam itu makin lama makin teguh, makin lantang, dan makin kuat.

Persoalannya.... sudahkah kita mencari perajurit-perajurit yang mendahagakan sinar Islam?
Sudahkah kita bina pemahaman mereka ini, sehinggakan kita tiup roh Islam untuk mereka bangun dan berperang?

Ya, sifat Islam itu sendiri sudah menjadi daya tarik yang sangat berkuasa. Tugas kita, cukup sekadar menunjukkan jalan untuk mereka berjumpa Islam. Tidak susah bukan?

Jadi jom...!!! Kita gabungkan diri kita dengan arus Islam, dan sama-sama kita tewaskan Jahiliyyah!!

Wallahua'lam.

Friday, April 22, 2011

Dakwah Itu Indah



Tak percaya?

Dakwah adalah keindahan, yang manisnya tiada tandingan.
Keindahan yang memukau, yang terus menusuk jiwa seolah tiada lagi yang selainnya.

Dengan dakwahlah, kita dapat merasai ''kewujudan'' diri kita yang sebenarnya.
Oh, aku punya peranan sebenarnya dalam dunia ini.
Kita seolah diberi nilai, oleh Yang Maha Menilai.
Keindahan apakah yang dapat menandingi perasaan ini?

Dengan dakwahlah, kita dapat menguji keimanan kita yang sebenarnya.
Oh, amalku selama ini, apakah ia membina keimanan, atau sekadar ritual harian?
Apakah benteng iman mampu mendokong dakwah, atau sekadar perhiasan untuk tontonan?
Dakwahlah padang pembuktian iman, medan pameran untuk Tuhan.

Dakwahlah, medan untuk menggunakan apa sahaja yang kita ada,
Kerana jika bukan disini, mana lagi tempat kita berbakti?
Inilah medan paling menguntungkan, ganjarannya bahagia, dunia dan syurga
Keindahan paling tinggi, yang boleh digapai pemikiran ini.

Maka keindahan apakah yang dapat menandingi semua ini?

Benarlah dakwah itu ada pahit manisnya.
Tapi percayalah, pahit itu hanya satu proses, untuk kita menjerang kemanisan yang tiada tolok tanding. Keindahan yang kekal abadi. Kebahagiaan.

Lihat pada manusia-manusia ajaib dunia ini. Syed Qutb. Dicabar dakwahnya dengan seluruh isi dunia. Ternyata, tidak bergegar walau sedikit manisnya dakwah. Dia ditawarkan pembebasan dari penyiksaan, malah diberikan peluang untuk apa sahaja permintaan, hanya dengan meminta maaf atas perjuangan penentangannya pada taghut, tapi dengan penuh indah dia tersenyum, dan menolak tawaran tersebut. Marhaban untuk mati diatas jalan Dakwah katanya.
Apakah ini bukan bukti keindahan?

Bagaimana pula dengan Zainab Al-Ghazali? Beliau diberikan pembebasan dari penjara penuh penyiksaan, dengan syarat untuk keluar dari jalan Allah. Syarat pembebasannya, hanyalah berhenti meneruskan dakwah Ila Allah. Dia diminta untuk berhenti sebagai mahar pembebasan. Apa jawapan Zainab? Tentu sekali TIDAK. Sedang kalau kita, pasti sahaja dengan rela hati tanpa segan silu menerima tawaran itu.

Tidakkah ini sebagai satu bukti indahnya dakwah?

Jadi, tatkala terasa lemah, terasa longlai, terasa futur, ingatlah suatu perkara.

Dakwah itu indah.
Dakwah itu indah.
Dakwah itu indah.

Apatah lagi, bila dakwah itu menuju keindahan=marodhotillah.

Jom, kita check balik. Apakah rasa lemah dan longlai kita dalam ''medan perang'' ini atas sebab kita tidak pernah sedar akan indahnya dakwah?

Wallahua'lam.



Friday, April 15, 2011

Gemerlapan Tarbiyyah


Satu perkara yang KITA perlu jelas tentang tarbiyyah ini, ialah ia adalah satu manhaj taghyir(perubahan), yang mengubah sedalam-dalamnya, segala apa yang ada pada diri KITA, dari yang biasa-biasa, kepada luar biasa hebatnya.

Kerana tarbiyyah kita, adalah untuk membentuk para pemimpin dunia, yang akan mengibarkan kalimah Allah di atas muka bumi ini. Andai seorang pemimpin biasa pun peribadinya sudah dahsyat, apatah lagi seorang pemimpin yang ingin mengubah satu dunia, dari kegelapan kepada cahaya.

Adalah perkara normal diatas jalan ini, untuk seorang daie melakukan kesilapan dan kesalahan, yang kadangkala ia sendiri tidak sedar akan kesilapan itu. Mana tidaknya, sebelum menerima sinar tarbiyyah, KITA semua berada dalam kegelapan yang nyata, hitam pekat yang tiada cahaya. Maka tatkala mula diajar dengan kebenaran, pasti sahaja ada sifat-sifat yang perlu kita buang, yang perlu kita cantas dan bentuk. Pasti sahaja, ada perkara-perkara yang kita sendiri tidak sedari, sebenarnya memberi kesan negatif untuk dakwah. Persoalannya, adakah kita bersedia untuk mengubah diri kita untuk dakwah?

Kesedihan yang paling mengecewakan, adalah apabila mula bertatih diatas jalan ini, ramai daie menyangka dakwah itu seharusnya "gembira" dengan sumbangan yang telah ia berikan. Ramai Daie menyangka, dakwah ini sebegitu mudahnya. Sifat-sifat yang jahiliyyah yang masih melekat dalam dirinya, disangka wajar ''diterima'' oleh dakwah, kononnya dakwah harus memahami ''sejarahnya'', dengan alasan ini, mula menjustifikasikan segala kekurangan yang ada pada dirinya.

Wahai Para Daie,
Seharusnya, seorang daie tidak boleh pernah merasakan "oh, aku tidak boleh ini dan ini... Kerana sejarah silamku begini dan begini." Seorang daie tidak langsung boleh "redha" dengan kelemahan yang ada pada dirinya. Bukan bermaksud kita melawan takdir Illahi, namun kita seharusnya "menghilangkan" segala kekurangan yang ada dan menjadikan diri kita sesempurna yang mungkin, kerana hanya daie yang "sempurna" layak memperjuangkan Islam.

Jika kita merasakan kita tidak mampu senyum, jangan sekali-kali kita menyalahkan cara pembesaran kita, kerana walau apapun alasannya, ia tidak akan pernah mengizinkan seorang daie bermuka muram.

Jika kita merasakan kita tidak mampu untuk memandu, atau memasak, atau bercakap, ingat, tidak akan pernah ada alasan untuk mengizinkan kita terus dengan kelemahan tersebut.

Kerana tarbiyyah itu bisa merubah, segala-galanya.
Ia akan menjadikan diri kita seorang yang kita sendiri tidak pernah sangka akan jadi sebegitu.
Syaratnya, kesanggupan untuk "ditarbiyyah". Kesanggupan untuk berubah. Kesanggupan untuk berkorban, berjuang tanpa kenal penat. Dalam menjadi, seorang kader dakwah ini.

Kecewa apa yang lebih tinggi, daripada kecewa mendengar rungutan seorang daie, yang mengadu kepenatan, yang mengungkit pengorbanan, yang degil dari kesalahan. Siapakah diri kita untuk merugikan dakwah sebegini? Apakah kita sangka kita layak mendapat rehat, kita berhak mengadu penat? Wahai para duat, kita ini hamba, HAMBA! Mana mungkin sampai terpacul kata-kata "keji" mengadu dan merungut dari bibir seorang hamba!

Jika benarlah itu kata-katanya, maka mungkin segala ucapan yang sering kita ucapkan tentang cita-cita, tentang syurga, tentang ridho Tuhan, segalanya, mungkin hanya satu mimpi dari kota Fantasi.

Wallahua'lam.