Benar. Hidup ini akan menemukan kita dengan banyak manusia. Dan percayalah, tidak seorang pun manusia yang kita temui, adalah tidak sengaja. Semuanya, sudahpun dalam perancangan Allah SWT. Ya, setiap insan, tidak kiralah orang yang membenci kita, orang yang menganiaya kita, orang yang mengasihi kita, orang yang sering membantu kita, ataupun orang yang ikhlas menyayangi kita sebagai seorang sahabat. Semua ini, tidak pernah sesekali dipertemukan dengan kita dengan tidak sengaja, sebaliknya, semua ini adalah ujian dari Yang Maha Esa untuk kita. Menguji, adakah dengan derita, kita akan kembali menghadap Allah, melutut memohon keampunan, merintih meminta petunjuk. Dan adakah dengan bahagia, kita tidak berpaling, malah kekal melutut kepadaNya, tanda seorang Abid yang setia.
Dan, dalam menghadapi dan menemui manusia dalam kehidupan ini, perasaan yang seharusnya membuak-buak dalam diri kita adalah perasaan sabar dan kasih. Perasaan cinta dan sayang yang amat sangat kepada setiap manusia. Kerana kita tahu, kita sendiri ingin dikasihi dan disayangi, adakah mereka tidak punya perasaan yang sama? Kalau Allah SWT sendiri sifatnya Ar-Rahman dan Ar-Rahim, mengapa kita tidak mahu mengasihi manusia lain? Benar, mungkin ada sifat-sifat yang kita benci dalam diri manusia lain. Kita tidak sukakan sifat yang mencela, sifat sombong, dan sifat-sifat mazmumah yang lain. Tapi itulah gunanya kita menyayangi mereka, kerana kita sedar, kita sangat perlu untuk membantu mereka menyedari keburukan itu dan berubah. Tapi perubahan bagaimana yang mampu kita lakukan, andai tidak ada walau sekelumit rasa sayang.
Dalam melihat keburukan manusia, cubalah pandang kebaikannya. Nabi Yusuf pernah bersama-sama dengan ummatnya, mereka terjumpa satu bangkai Kambing. Semua sahabatnya mengutuk kambing itu busuk, kotor, berulat dan sebagainya, tapi perkataan pertama yang keluar dari mulut baginda, ialah ''putihnya gigi kambing itu''. Demikianlah, akhlak mulia yang dianjurkan. Kita cuba sentiasa melihat bahagian kebaikan, dan jagan terlalu pessimist dengan keburukan yang terhidang.
Firman Allah:
ثُمَّ كَانَ مِنَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡمَرۡحَمَةِ
Dan dia termasuk orang-orang yang beriman dan saling berpesan untuk bersabar dan saling berpesan untuk berkasih sayang
Al-Balad; 90:17
Dan dia termasuk orang-orang yang beriman dan saling berpesan untuk bersabar dan saling berpesan untuk berkasih sayang
Al-Balad; 90:17
Ayuh, kita berkasih sayang~~
No comments:
Post a Comment