Kalamullah

Kalamullah

Saturday, November 12, 2011

Daie itu bukan Hakim..

 

Sukar sebenarnya sebagai seorang daie, kita ingin membersihkan jiwa kita dari sebarang bentuk perasaan. Cukup mudah kita terlanjur menilai tanpa cuba untuk membantu. Kita jadi orang yang menghakimi perbuatan seseorang, kita mula mengkritik itu dan ini. InshaAllah, kalau kritikan dan nilaian itu unsurnya untuk takwin, mungkin ianya akan membawa kemaslahatan. Tapi bagaimana kalau ada antara kritikan itu terlanjur jatuh pada nafsu? Jatuh pada ego? Jatuh pada Dzon? Jatuh pada bisikan Syaitan?


Pernah sekali, dalam satu kisah, Usamah Bin Zaid meriwayatkan,
"Rasulullah s.a.w telah mengutuskan kami dalam suatu pasukan. Kami sampai di Al-Huruqat, suatu tempat di daerah Juhainah pada waktu pagi. Aku berjumpa seorang lelaki, lelaki tersebut menyebut لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ lalu aku menikamnya. Aku menceritakan peristiwa itu kepada Rasulullah.
Rasulullah bertanya dengan sabdanya: Adakah kamu membunuhnya sedangkan dia telah mengucapkan kalimah syahadat لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ Aku menjawab: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya lelaki itu mengucap demikian kerana takutkan hayunan pedang. Rasulullah bertanya lagi: Sudahkah engkau membelah dadanya sehingga kamu tahu dia benar-benar mengucapkan Kalimah Syahadat atau tidak? Rasulullah mengulangi soalan itu kepadaku menyebabkan aku bercita-cita untuk menyerah diri pada ketika itu juga. 


Ada sebuah kisah lagi, kisah Miqdad.
Beliau telah bertanya Rasulullah s.a.w: Wahai Rasulullah, apakah pendapatmu sekiranya aku berjumpa dengan seorang lelaki dari golongan orang-orang kafir, lalu menyerangku dan memotong salah satu dari tanganku dengan pedangnya. Kemudian dia lari dariku dan berlindung di sebalik sepohon kayu, lalu berkata, aku menyerah diri kerana Allah. Adakah aku boleh membunuhnya selepas dia mengucapkan ungkapan itu? 
Rasulullah bersabda: Janganlah engkau membunuhnya. Miqdad tidak berpuas hati lalu membantah: Wahai Rasulullah! Lelaki itu telah memotong tanganku kemudian telah mengungkapkan ungkapan tersebut selepas memotongnya, adakah aku boleh membunuhnya? Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu membunuhnya, sekiranya kamu membunuh lelaki itu, sesungguhnya dia seperti kamu sebelum kamu membunuhnya dan sesungguhnya kamu sepertinya sebelum dia mengucapkan perkataan tersebut. 


Demikianlah dahsyatnya amaran Rasulullah SAW. Baginda melarang pembunuhan ke atas orang yang kononnya masuk Islam kerana takut dibunuh. Kata baginda, 'Aku tidak diutus untuk menghakimi hati manusia". SubhanaAllah.... Dan apakah kita telah membelah dada saudara kita untuk kita sewenang-wenangnya membuat penghakiman untuknya? Tidakkah kita lupa, hanya Allah-lah yang berhak menghakimi seseorang, dan Dia-lah yang Mengetahui segala isi hati. Serahkanlah semua itu kepadaNya.


Kita tidak akan tahu, mungkin sahaja sesuatu yang dilaksanakannya bukan benar-benar kerana Allah, tapi ia adalah langkah ke arah itu. Contohnya, Abu Talhah telah masuk Islam kerana ingin mengahwini Ummu Sulaim. Tapi setelah Islam benar-benar masuk ke dalam hatinya, Abu Talhah sendiri telah mendesak Khalifah untuk menerima dirinya sebagai salah seorang pejuang untuk sama-sama berjihad. Bukti dan tanda kesetiaan dan kasih kepada Allah SWT telah mendahului segala-galanya. Infiru...! Infiru...!


Maka ikhwati fillah sekalian..
Sedarlah kita bahawa kita tidak mempunyai langsung hak untuk mengadili ataupun menghakimi hati manusia. Kita harus menjadi sensitif dan menilai keadaan, tapi jangan sekali-kali menghakimi syurga dan nerakanya seseorang. Dan sentiasa berlapang dadalah, itu serendah-rendah ukhwah yang diharapkan.

Wallahua'lam










1 comment: