Kalamullah

Kalamullah

Friday, April 13, 2012

Menjadi Ghuraba'



Ar-Rasul dan Para sahabat, pada era permulaan dakwah, mendapat tentangan yang tidak putus-putus. Ada sahaja yang mengejek, mengeji, menghina dan mencerca mereka. Ada yang diseksa, hinggakan ada yang syahid dalam mempertahankan aqidahnya.

Mereka pada waktu itu, adalah ghuraba'. Asing. Berbeza sekali dengan yang lainnya.

Hidup mereka berbeza dengan hidup manusia lain. Matlamat mereka berbeza. Cara mereka menjalani kehidupan mereka berbeza. Cara mereka bergaul berbeza. Cara mereka bekerja berbeza. Pendek kata, semuanya berbeza, lagaknya umpama harimau belang disekalikan dengan sang singa. walau dari jauh, sudah cukup untuk teserlah perbezaannya.

Pasti terpacul persoalan, bagaimana perbezaan ini boleh berlaku selepas keislaman. Sedangkan, sebelum datangnya Islam, mereka sama sahaja. Sama-sama menanam anak perempuan. Sama-sama meminum arak. Sama-sama mengamalkan riba', sama-sama menyembah berhala. Tapi meresapnya iman dalam jiwa musabiqun al-awwalun(golongan² awal) ini, telah menukar secara total, dari kepercayaan, pemikiran, hinggalah kepada perilaku mereka. (rujuk analogi bola besi)



Itu kisah mereka. Kisah mereka menjadi berbeza daripada sekeliling. Kisah mereka melawan arus, menolak keinginan sendiri semata-mata untuk menjadi seperti yang dimaksudkan Al-Quran. Mereka tidak lagi menjadi orang yang mengikut atas sebab ingin ''bersama'' majoriti. Mereka bukan jenis pengecut yang takut kalau orang lain tidak boleh menerima mereka. Mereka adalah ghuraba' yang berani dan jelas dengan pendirian sendiri.

Bagaimana pula kisah kita? Sudahkah kita menjadi ghuraba'?

Atau kita ini, hanyalah orang yang mengikut-ikut sahaja. Hanya orang yang tidak mahu menjadi berbeza, takut dipandang pelik, tidak mahu ditinggalkan sahabat dan teman. Kita tidak bertindak berdasarkan kefahaman. Kita tidak mempunyai reaksi. Tidak mempunyai pendapat. Yang ada, hanya perasaan dan pendapat orang lain.

Adakah setelah sampainya kefahaman dan kesedaran Islam itu, kita berani untuk tampil ke hadapan, mengambil segala risiko, melawan segala kemungkinan, dan akhirnya kita pun terus membuat keputusan dan melangkah ke hadapan.

Adakah apabila kita sedar, ummat pada hari ini tenat, maka kita bersedia menjadi ''doktor''nya.
Terus kita tawarkan ''rawatan'' buat pesakitnya. Kitalah yang perlu mencari ''pesakit'' ini, dan memberi ''ubatan'' yang sesuai dengannya. Kita lah yang perlu mewujudkan kesedaran pada masyarakat, ''penyakit'' ini boleh diubati, dan caranya ada dengan kita. Kita lah yang perlu lakukan semua ini, apabila kita sedar dan faham kewajipan yang ada pada kalimah syahadah yang kita agungkan.

Dan apabila kesedaran ini timbul, maka segala alasan penerimaan orang lain, pandangan dan skeptik, segala ragu-ragu yang pernah wujud, semuanya akan lesap, semuanya akan ditelan dan dicincang habis sehingga hilang. Kerana perasaan tanggungjawab itu jauh lebih besar daripada segala yang lain.

Sungguh, Islam itu datang dalam keadaan yang Asing.
Dan akan kembali dalam keadaan yang Asing.
Maka beruntunglah orang² yang Asing.

Jom! Jangan tunggu² lagi! Mulakan langkahmu sekarang!



No comments:

Post a Comment