Kalamullah

Kalamullah

Sunday, January 8, 2012

Selepas satu pekerjaan....



Selalunya, apabila kita telah melalui satu pekerjaan, lagi-lagi sekiranya pekerjaan itu mulia, baik, dan mungkin sukar, kita akan sama ada merasai dua perkara.

Pertama, semangat dan keinginan untuk menambah dan terus meningkatkan lagi pekerjaan itu akan membuak-buak. Momentum tu akan menyebabkan kita semakin kuat dan semakin mahukan perasaan itu. Seolah-olah, nikmat dan kemanisan dalam beramal itu terlalu dahsyat, sehingga kita asyik terfikir dan terdorong melakukannya setiap masa. Umpama anak burung yang menjerit-jerit meminta makanan dari ibunya. Ghairah dan haloba untuk mendapatkannya. Balik dari satu usrah, jiwa akan meronta-ronta mahukan lebih darinya. Pulang dari satu dauroh, menggigil dan terketar-ketar mencari lagi. Pulang dari men-DF seorang, jadi lebih semangat untuk pergi kesana dan kemari. Selepas pulang solat Jemaah, terasa seolah wajib membaca Al-Quran. Inilah dia tarikan Iman, semakin beramal, semakin terasa syurga dan neraka. Sepertinya kisah Anas An-Nadhar, jihadnya di Uhud, himmah dan kesedarannya pada waktu itu, mendorong Anas sehingga dia menjadi sangat ghairah untuk beramal, sehinggalah dia menyeru kepada Sa'd bin Muadh,

"Wahai Sa'd, sesungguhnya aku mencium bau syurga".


Tapi malangnya, bencana pertama untuk orang yang beramal ialah, pasti, PASTI akan datangnya syaitan yang akan membisikkan segala bentuk penyakit. Penyakit yang sangat sukar diubati, penyakit yang mustahil untuk dikenalpasti, melainkan melalui pemerhatian seorang Mu'min yang menyerahkan seluruh jiwanya kepada Allah SWT. Mana tidaknya, Syaitan akan cuba sedaya upaya untuk merosakkan amal kita dengan meniupkan rasa takabbur(merasa besar/hebat), riya'(merasa ingin dilihat), Ujub(merasa ajaib). Kesemua ini, akan menghancur luluhkan keseluruhan amal kita, sehingga tidak berbaki walau sedikit pun. Bayangkanlah, amal sebesar gunung, yang kita harapkan dapat menjadi pemberat timbangan kita di Al-Mizan, untuk menjadi hujah di hadapan Allah untuk membuktikan kita sebagai Abidurahman yang taat dan bertaqwa. Namun, apabila penyakit ini dikenal pasti, maka akan terbakarlah seluruh gunung tadi, hancurlah semua pemberat tadi, dan semuanya akan menjadi Habaan Mansura, habuk dan debu yang berterbangan..!!! Perumpamaannya, umpama sebuah kebun yang didalam sudahpun ada buah-buahan yang masak dan ranum, tapi tiba-tiba datangnya satu angin yang sangat keras, yang membakar dan kepanasan api itu terus menjilat dan mehancurkan terus kebun tadi..!! Oh, alangkah ruginya seandainya ini yang terjadi..!

Dan ada pula orang-orang yang seusai satu amalan baik, satu pekerjaan besar, tiba-tiba hatinya merundum jatuh. Himmahnya lesap terus. Api semangatnya disugah kesejukan air hinggakan yang tinggal hanyalah asap busuk dan kotor. Orang seperti ini, selepas amalnya, dia menjadi makin lesu, habis satu pekerjaan, maka hilanglah dia buat satu jangka masa. Dia bukan tiang-tiang penahan ombak dan badai, tapi dia hanyalah umpama kunang-kunang yang cahayanya muncul sekejap-sekejap. Perasaan yang akan memenuhi dadanya ialah rasa lega dan terlepas dari satu bebanan. Seolah setiap amal pekerjaan yang dilakukan itu, semuanya atas paksaan. Hatinya tidak pernah meridhoi pengorbanan yang dia lakukan. Kesusahan yang ada, semuanya dia harungi tanpa rela dan penuh terpaksa, diiring dengan keluhan dan rungutan.

Penyakit yang kedua ini peritnya lebih jauh dan lebih besar parutnya. Kisahnya umpama mereka yang tidak didatangkan dengan hidayah dan nikmat dalam beribadat. Umpama tanah gersang yang tidak bisa menumbuhkan. Biar jutaan benih pun ditabur, tidak satu pucuk pun yang melihat dunia. Buntu. Apa lagi yang bisa diperbuat? Dia cuba beramal, tapi setiap kali rasa futur dan penat menyerangnya, dia terlalu rapuh untuk menahan kesemuanya. Lantas terus terkulailah dia dalam celah usaha amalannya. Barangkali saja, hatinya belum cukup subur, atau mungkin juga, terlalu besar penutup yang menghalang cahaya dan kekuatan untuk masuk ke dalam hatinya. Firman Allah SWT:



وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَقُولُ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَبِٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِ وَمَا هُم بِمُؤۡمِنِينَ (٨) يُخَـٰدِعُونَ ٱللَّهَ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَمَا يَخۡدَعُونَ إِلَّآ أَنفُسَهُمۡ وَمَا يَشۡعُرُونَ 
 (٩)

Di antara manusia ada yang mengatakan: "Kami beriman kepada Allah dan Hari kemudian", padahal mereka itu sesungguhnya bukan orang-orang yang beriman. (8) Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya menipu dirinya sendiri sedang mereka tidak sadar. (Al-Baqarah, 2:8-9)


Perhatikanlah..!! Allah meletakkan orang-orang yang sebutannya dan apa yang dirasanya berbeza ini sebagai penipu-penipu!! Yakni orang yang pekerjaannya bukanlah dari hatinya, tapi sekadar untuk dilihat beriman/baik/soleh, maka orang-orang ini Allah hentakkan jiwa mereka dengan panggilan penipu. Bahkan, Allah tidakpun tertipu, dan orang tadi hanyalah menipu dirinya sendiri. Tanyalah jiwa kita, andai hati kita tidak pun merasai keinginan untuk maradhotillah, andai roh kita tidak meronta-ronta untuk dipulangkan pada syurga, andai hati kita sentiasa resah walau telah cuba diingatkan pada Allah, maka periksalah..! Periksalah setiap genap sudut diri kita, apakah bintik-bintik dosa dan maksiat telahpun menutup penuh hati kita, sampaikan tidak ditembusi cahaya Allah? Apakah kita sedang ditipu diri kita sendiri? Bongkarkanlah kesulitan hati itu, uraikan satu persatu benang yang berselirat diatasnya. Latihlah dirimu untuk menangis, kerana air mata itulah yang bisa membasuh kekotoran dalam hati. Fikirkanlah segala kenikmatan yang Dia berikan, gambarkan kenikmatan yang ditawarkan pula disyurga. Dan timbangkanlah kerugian terlepasnya tawaran itu, hanya kerana hati kita terlalu hitam untuknya. Beliakkanlah mata menyaksiakan maraknya api neraka. Siksaan yang Allah sendiri tidak mahu berikan pada hambaNya, tapi kita terlau degil dan bongkak sehingga hanya itulah tempat kembali yang Adil untuk kita. Ingatkan diri pada status hamba, pada kehinaan air dan tanah yang mana dengan ia-lah kita diciptakan.

Dan berdoalah.. Tidak ada doa ikhlas yang akan dibiarkan tidak berjawab. Allah sentiasa merindukan hamba-hambanya yang menangis bertaubat penuh kehambaan kepadaNya. Tidaklah sesiapun yang menzalimi diri kita, melainkan kita sendiri. Moga usaha yang berterusan, biarpun sedikit, dapat mensucikan jiwa yang kotor. Moga Dia izinkan kita keluar dari lumpur dosa kepada sucinya keikhlasan. Moga rasa cukup itu tidak pernah menghinggap hati kita, rasa kelazatan itu menguasai syu'ur kita, dan kita menjadi tanah yang subur, hidup dengan basahnya air mata.

Moga Allah membuka pintu-pintu hati kita, untuk merasai dan menlazimi jiwa hamba penuh ketenangan, yang mana usai satu urusan, terus pada urusan seterusnya, dengan penuh kelazatan dan keinginan, dengan momentum yang berkekalan, kerana misi dan matlamat kita hanya satu: Maradhotillah di Firdausi bersama Muhammad SAW.

Aamin.





2 comments:

  1. :( jzkk for reminding

    ReplyDelete
  2. :)
    saling doakan ya?
    Walau tak kenal di dunia, tp kita jmpa kat syurga nanti ye.
    Aamin

    ReplyDelete