Kalamullah
Tuesday, October 11, 2011
Taman Syurga
Obsesi seorang muslim itu seharusnya pada akhirat. Pada ganjaran dan habuan yang ditawarkan pada hari yang tidak ada penyelamat selain Dia. Itulah obsesi KITA yang sebenarnya.
"ada si fulan, yang hidupnya di dunia penuh sengsara, penuh dengan kesusahan dan kepayahan. Ujian datang silih berganti, hidupnya tidak pernah senang dan penuh pancaroba. Akan tetapi, di hari kiamat, si fulan telah dicelupkan sekejap sahaja di dalam syurga, dan apabila dia ditanya, apakah dia pernah merasai kesusahan, maka jawabnya, demi Allah, aku tidak pernah merasai kesusahan, walau sedikitpun."
"Ada si fulan yang lain pula, hidupnya di dunia penuh kemewahan. Dia sentiasa dalam keadaan sangat bahagia dan kaya-raya. Segala nafsu yang terbayang olehnya semuanya diperoleh dengan mudah. Dia cukup senang. Tetapi, di hari akhirat, dia dicelupkan sekejap sahaja di dalam neraka, dan apabila dia ditanya apakah dia pernah merasai kesenangan, maka dia menjawab, demi Allah, aku tidak pernah merasai kesenangan, walau sedikitpun."
Demikianlah dahsyatnya gambaran syurga dan neraka. Taman syurga umpama nikmat yang terlampau hebat, sehinggakan seorang yang penuh tersiksa di dunia apabila memperolehnya merasakan seolah dia tidak pernah merasai susah pun. Dia lupa akan semua kesusahannya kerana merasai nikmat yang tidak terhingga di syurga. Tapi lubang neraka pula, amat dahsyat seksaan dan sengsaraannya. Sehinggakan, seorang yang penuh mewah dan senang, terus melupai yang dia pernah merasai kesenangan dan kemewahan. Kepedihan dan keperitan api neraka melucutkan terus segala perasaan indah yang pernah dinikmatinya.
Maka kerana itulah, obsesi seorang muslim itu ialah pada akhiratnya. Kita mengejar apa yang disana.
Dan menyoroti jalan yang pernah dilalui insan-insan yang hebat, para anbiya' dan tabi'in, kesemuanya melalui jalan yang penuh keperitan. Tapi kini, mereka pastinya sedang berehat lega dan penuh tenang di bawah pohon syurga. Pastinya mereka sedang bersenang-senang menikmati ganjaran atas segala pengorbanan yang telah mereka lakukan. Taman-taman syurga pastinya bangga menerima mereka sebagai penghuni. Setiap peluh dan darah yang mereka gadai dan pertaruhkan untuk agama, semuanya dicatat dan dibalas dengan sebaik-baiknya. Dan nah, manisnya perjuangan itu, adalah pada akhirnya, setiap pejuang itu akan berada di syurga, menikmati segala janji yang diberikan. Lihat dan baca sahajalah kisah-kisah mereka ini.
Maka siapa pula yang tidak mahu mengikuti jejak mereka. Mereka sudahpun berada di tempat yang terbaik. Obsesi mereka membawa mereka ke syurga. Kita?
Wallahua'lam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment