Kalamullah

Kalamullah

Monday, September 6, 2010

Harga Sebuah Syurga


Assalamualaikum wbt.

Apabila anda ke pasar malam untuk membeli barang-barang, anda telah mendapati sebuah jam tangan Fossil yang beharga RM30.00
Apakah anda benar-benar yakin jam Fossil yang dijual itu benar-benar jam Fossil yang diuar-uarkan sebagai jam tahan lasak dan bergaya itu?
Atau anda akan mengesyaki unsur-unsur cetak rompak, unsur-unsur 'bahan celup' dan ketidakaslian. Kerana hakikatnya, perkara yang cantik, berkualiti, indah, bagus, dan berguna, PASTILAH sangat mahal harganya.

Maka saya ingin mengajukan persoalan. Betulkah syurga itu sangat-sangat indah? Dengan sungai yang mengalir, dengan buah-buah yang tidak perlu dipetik dan paling penting, dapat bertemu dengan Allah?

Aik, kalau betullah syurga seindah itu, mana mungkin syarat untuk memasukinya sedemikian senang? Takkanlah, kalau syurga sangat-sangat best, syarat untuk memasukinya hanyalah dengan mengucapkan 2 kalimah syahadah? Waaah.. macam seorang paman yang terkumat kamit menjampi serapah, maka secara tiba-tiba, akan jadi sesuatu yang sangat dahsyat. Ucap kalimah syahadah, maka, BOOOOM. masuk syurga.
Senang sangat.
Ke ni promotion dari Allah?
Tapi takkanlah sangat murah harganya? Ataukah, syurga yang dimaksudkan, hanyalah syurga 'celupan', 'cetak rompak' dan tidak asli?

Wahai jiwa-jiwa yang membaca dengan hati.

Perhatikanlah sedalam-dalamnya. Adakah Islam agama yang pelik dan tidak rasional?

Islam adalah agama yang diturunkan untuk manusia, maka secara tabi'inya, gerak akur Islam adalah berdasarkan 'alamiyah manusia. Mana mungkin, seorang yang mengucapkan kalimah syahadah yang boleh dilakukan dengan sekali nafas sahaja, sudah menjadi terlalu berbeza daripada orang yang yang tidak mengucapkannya, sedangkan perilaku mereka masih tetap sama.

Kita semua pasti bersetuju, bahawa orang yang masuk syurga itu sangatlah berbeza nasibnya dengan mereka yang dihumban ke neraka. Bezanya ibarat api dan air, bahkan, jauh lebih berbeza dari itu. Maka, mana mungkin 2 orang yang perbuatannya hampir serupa, tetapi seorang masuk syurga dan seorang ke neraka, hanya kerana beza satu nafas?
Mana mungkin, 2 orang yang sama-sama bermaksiat kepada tuhannya, melakukan kemungkaran bersama-sama, tetapi nasib mereka di akhirat jauh berbeza? Mana pergi keadilan Allah?

Maka jawapan bagi persoalan diatas, adalah, sudah tentu tidak sekadar ucapan kalimah syahadah sahaja sudah mencukupi untuk membezakan nasib 2 manusia ini. Sudah tentu, kumat-kamit ucapan mantera semata-mata, tidak akan membezakan ahli neraka dan ahli syurga, kerana hakikatnya, syurga itu mahal harganya.

Adalah sesuatu yang menyedihkan, apabila ramai manusia menyangka, kalimah syahadah sebagai tiket percuma untuk masuk syurga. Hakikatnya, kalimah yang bersulamkan tanggungjawab itu, adalah tiket ke neraka, bagi mereka yang menzaliminya. Ya, benar. Orang yang mengucapkan kalimah syahadah, tapi tidak melaksanakan tanggungjawab disebalik kalimah itu, adalah ibarat sedang berbohong dengan tuhannya. Maka, disinilah kita mampu melihat logik, mengapa umat Islam ditindas dan dihina, tetapi tidak mendapat bantuan Allah. Ia adalah kerana, kita telah lama berbohong dan cuba menipuNya.

Dalam seerah, kita telah membaca dan mendengar kisah burung Ababil. Burung ini telah dihantar Allah untuk melemparkan batu-batu Sijjil kepada tentera Abrahah. Burung-burung inilah yang telah dihantar untuk melindungi Kaabah dari dihancurkan tentera bergajah tersebut. Tapi pernahkah kita terfikir, mengapa disaat Palestin ditindas disiksa dan dibunuh dengan kejam dan tidak berperikemanusiaan, disaat rakyatnya dipijak dan dirogol, ditembak dan dicincang dengan ganasnya, Allah tidak menghantar apa-apa bantuan kepada KITA? Kenapa tidak ada gerombolan Ababil ke-2, yang dihantar untuk menghancurkan Israel laknatullah? Pernahkah kita terfikir akan persoalan ini?

Jawapan bagi persoalan tersebut, adalah pada akal dan fikiran kita sendiri.Adakah kita akan menolong orang yang asyik menipu dan membohong diri kita? Apakah kita akan membantu orang yang berlaku zalim terhadap kita? Ya, pastinya kita TIDAK akan menolong mereka. Maka, apakah yang kita mahukan lagi dari Allah, apabila ummat Islam pada hari ini asyik menipu dan membohong Allah, sedangkan Allah itu Maha Mengetahui. Kita asyik berlaku zalim, maka layakkan pertolongan Allah untuk tiba kepada kita? Segala permasalahan ummat hari ini, adalah dari punca tidak memahami erti dan makna sebenar kalimah syahadah. Tidak mengerti, tanggungjawab dan amanah yang terkandung dalam bait-bait tersebut. Yang mana, apabila kita mengucapkan kalimah tersebut, kita sebenarnya telahpun berjanji untuk mengurung diri kita dan hawa nafsu dari fatamorgana dunia. Yang mana bait-bait janji itu mewajibkan kita untuk tunduk patuh kepada Yang Maha Esa, patuh akan ajaran dalam kitab Al-Quran, dan Sirah Nabi akhir zaman. Apabila kita tidak mengimani mana-mana dari perkara ini, maka kita sebenarnya telah menipu dan berbohong, serta mungkir janji dengan Allah. Dan kemurkaan siapakah lagi yang lebih ditakuti selain kemurkaan Allah?

Wahai akal yang berfikir.
Syurga itu tidak murah harganya. Dan harganya bukan terletak pada kalimah syahadah, kerana hakikatnya, kalimah syahadah itu bukan tiket ke syurga, tapi bebanan tanggungjawab yang amat berat yang perlu dipikul untuk tidak ke neraka. Sesungguhnya, dengan memahami hakikat inilah baru kita mampu untuk menerima kenikmatan dan keindahan syurga. Barulah kita dapat mengakui, bahawa nikmat Allah itu Maha Luas. Barulah kita dapat akur, bahawa syurga itu, sememangnya indah.


No comments:

Post a Comment