Kalamullah

Kalamullah

Wednesday, May 6, 2020

Allah sayangkan kita



Entah.. putaran masa dan penggiliran siang-malam kini telah membawa diriku bertahun jaraknya dengan diriku yang dulu

Ruang ini pun sudah hampir dilupakan terus, biarpun satu masa dulu inilah ruang melepaskan segala isihati dan tempat meluahkan rindu yang tak terhingga kepada cinta Illahi. Ya, demikianlah jauhnya jarak antara dulu dan kini

Dikala insan lain terlena, entah mengapa malam ini tidurku tak kena. Sementelahan ini adalah malam-malam dalam bulan Ramadan, ada juga aku tanyakan pada hati kecil, apakah tidak lagi aku dambakan malam-malam yang terisi dengan alunan quran dan air mata muhasabah.. namun hatiku bisu.. tidak tergamak memberi sebarang jawapan

Satu persoalan berbuah menjadi soalan-soalan lain, yang bermain difikiranku. Sesekali, terungkap memori silam, indah dan manisnya kenangan dulu. Wajah teman-teman terbayang dengan senyum tawa yang menggirangkan. Entah kenapa, tanganku laju mencari di Facebook. Rindu yang teramat, ku harap dapat terubat dengan melihat gambar dan wajah mereka yang terkini

Saat inilah.. saat inilah Allah itu membuktikan cintaNya kepadaku. Peristiwa yang berlaku dalam hidup kita, tak pernah terjadi dengan kebetulan. Kita tak pernah berjumpa dengan orang yang salah. Semuanya satu susunan yang indah untuk membolehkan kita kembali mengingat Allah.

Biarlah ku simpan detik ini. Agar ia menjadi titik pengingat untuk semangat yang kian kabur. Teman-teman, antum adalah permata ummah, yang pernah bersinar secerah cahaya mentari. Aku saksi kepada kenikmatan cahaya itu. Malah, betapa ramainya saksi yang dapat bersumpah dengan dahsyatnya keindahan kalian pada suatu ketika dahulu. Lihatlah tanah-tanah semaian yang mendapat manfaat darimu dulu, kini sudahpun menjadi sepohon pokok yang mekar, kukuh dan tinggi pucuknya menjulang ke langit.

Ini semua adalah bukti, keabsahan cinta yang pernah ada di hatimu. Janganlah kalian berputus asa. Allah sayangkan kita, dan Dia akan tunjukkan jalan-jalan pulang bagi mengkabulkan doa kita agar kita ini kembali saling mengukuhkan iman.. "satukanlah hati-hati kami dengan karunia iman dan indahnya tawakkal kepadaMu.."

Cintaku pada kalian biarpun kadangkala terkambus dek sibuknya dunia, ia tetap ada disitu, rindu akan kehangatan senyuman yamg pernah menjadi sumber kekuatan suatu masa dahulu..

Sunday, April 9, 2017

Fasa Hidup


Kini telah hampir 5 tahun aku pulang ke tanah air selepas menamatkan pelajaran di negara orang putih itu. Terasa begitu jauh dan begitu lama jarak masa antara sekarang dan dulu. Hampir-hampir, terasa seperti ia berlaku dalam kehidupan yang lain.

Ya, kehidupan kini memang teramat berbeza dengan kehidupan pada masa itu.

Kehidupan yang mana aku hanya memikirkan tentang diri sendiri, dengan objek dakwah, dan beberapa permasalahan studi. Tiada masalah kewangan yang perlu difikirkan, tiada rumahtangga dan pasangan hidup yang perlu diberi perhatian, anak-anak yang perlukan kasih-sayang, ibu ayah dan sebagainya. Objek dakwah juga sangat berbeza, lantaran mereka juga diuji dari pelbagai sudut di bumi ini. Ternyata hidup kini lebih banyak suka duka, lebih banyak perkara yang perlu diselesaikan setiap hari.

Namun, walau apa pun, aku tetap akur.. kendur ku dalam dakwah kian terasa.. lemahnya rasa hati, lesunya kemahuan jiwa.. akhirnya menjadikan aku umpama buih yang dipukul badai.. terapung dan terbuai dengan arus yang mengganas.. Kadang aku ke kiri, pada waktu lainnya aku ke kanan.. Walaupun berkali-kali aku cuba melawan dan membuat 'comeback', lebih dari selalu aku akhirnya jatuh dan kembali menjadi kader yang lesu.

Umpamanya hanya mampu 'maintain', tiada lagi impian berderu untuk mengubah dunia.. terasa cita-cita memenangkan islam makin jauh, sejauh-jauh planet-planet yang hanya pernah aku dengar tetapi tidak pernah aku lihat.. Dimanakah ruh al-akh sodiq, rijal ammah yang mahukan kemenangan Islam? Kadang aku menangis dalam lenaku.. tak tertahan kelemahan diri, tak keruan mencari ubat dan solusi..

Dalam diri, aku hanya mampu berjanji, untuk kembali satu hari nanti. Untuk menyalakan semula obor di tapak yang sama, menerangkan kembali kawasan sekeliling. Aku merindui kehangatan ukhuwah dan keakraban dengan tuhanku. Aku teramat rindukan semangat membara yang menjadikan aku sanggup melalui apa sahaja untuk dakwah dan tarbiah.. Aku rindu.. rindu mengutamakan orang lain lebih daripada kesenanganku.. Kini untuk aku melepaskan tempat duduk dalam KTM untuk orang lainpun, terasa sangat tidak mahu..

Ya Allah, aku coretkan kekesalan dan kelemahanku, moga Kau ampuni dan tiupkan roh semangat untukku.. Agar aku kembali.. kembali untuk bersedia bertemu denganMu.

Aku doakan juga.. agar teman-temanku.. ada yang juga telah kendur.. ada juga yang telah mengundur diri.. Aku doakan semuanya, moga Engkau Ya Rabbi, tidak memalingkan kami dari jalan suci ini.. agar kau kembali titipkan semangat dan keinginan kami, untuk bekorban demiMu, memberi setiap derap nafas untuk kemuliaan ad-deen Mu.




Wednesday, June 24, 2015

Rasa Hati...



"...Kita juga mahu supaya bangsa kita faham bahawa mereka lebih kita sayangi daripada diri kita sendiri. Demi kasih sayang ini kita sedia jadikan nyawa kita sebagai penebus demi mengembalikan kehormatan bangsa ini. Nyawa ini sedia dikorbankan demi menebus semula maruah, harga diri, agama dan impian mereka jika perlu...."

-Imam Syahid Hasan Al-Banna, Risalah Dakwatuna

Dua akar kepada kefahaman kita sebagai duat haruslah berasas kepada:

1- Tanggungjawab, perintah Allah swt, amaran Allah akan azab seksa orang yang menyembunyikan kebenaran, kefahaman taklif sebagai seorang muslim, peranan orang yang mengucap syahadah, dosa yang boleh di'taichi' kepada kita seandainya mengambil sikap "i dont care".

2- Rasa cinta kita kepada manusia, perit dan siksa kita apabila terbayang insan-insan dihadapan kita bakal diseretkan kedalam api neraka yang bergejolak, tak senang duduk memikirkan nasib orang-orang yang terus lalai dan leka dengan penipuan dunia, risau dan sedih apabila teringat nasib umat manusia yang akan dibakar di dalam api neraka yang tak terbayang kepanasan, kehinaan, kecelakaan yang bakal ditimpakan ke atas mereka.

Inilah dua akar yang akan membantu kita untuk terus 'terbang'.

Sayap pertama akan membantu kita untuk sedar kita tidak boleh leka, wujud keperluan mendesak untuk menerangkan kepada umat manusia akan realiti dan hakikat sebenar untuk menyelamatkan diri kita. Maka kita akan cuba untuk mencari jalan supaya kita dapat melaksanakan tanggungjawab ini sebaiknya, dan akhirnya menyelamatkan diri sendiri.

Namun..... sayap pertama ini, nyata sekali tidak mencukupi!


Bersambung...

Tuesday, December 23, 2014

Wahai langit, ajarkan aku...



Ada masa-masa
terlintas di kalbu gersang
rasa sedih... rindu...
bahkan rindu yang takkan mampu ku ungkapkan dengan kata-kata

Sering aku cuba
ku simpan hasrat yang tinggi
rasa yang ku cita-cita..
Oh, alangkah gersangnya jiwa

solat yang makin tidak khusyu
tilawah yang makin kering
muhasabah yang makin mengantukkan
Ya Allah, ampunkan dosaku

Wahai langit, ajarkan aku...
bagaimana kau mampu menangis, menangis dan menangis lagi
aku cuba, paksa, malah sungguh-sungguh mencuba
tapi gagal... mata masih kering.. jiwa makin gersang

Wahai langit ajarkan aku....
Kau yang taat masih bisa menangis
Mengapa aku yang derhaka begitu sukar?
Bukankah aku lebih memerlukan air mata daripadamu!

Wahai langit, ajarkan aku...
Apa erti muhasabah, apa erti menyesal, apa erti taubat
Kerna ku khuatiri, jiwa ini makin gersang
Hinggakan tiada tasbih dan zikir yang mampu menyuburkannya

Barangkali dalam jiwa sudah tiada rasa cinta
Sudah tiada cinta pada Allah
Yang dulunya jadi antara sumber
Demi cinta, ku lakukan semua

Teramat sangat lah aku takut
Jika nantinya terpampang
Amalku kosong
Rupa-rupanya semua rentung dibakar ulat

Aku rindu.. terlalu rindu... masa-masa sujudku dapat menginsafi dan membuatku ter-esak menangis dosa

Aku rindu... qiyam menjadi tempat luahan seluruh isi hati

aku rindu... tilawah menjadi sumber muhasabah yang menyegarkan..

aku rindu... mata basah menangisi dosa-dosa...

Wahai langit, ajarkan aku... bagaimana untuk menangis kembali

Sunday, December 14, 2014

Dakwah yang Inclusive...



Kecintaan kita pada dakwah ini, berasaskan beberapa prinsip...

1- Awwalan, dakwah ini adalah untuk kita, bukan untuk orang lain...
Kita akur bahawa Allah swt telah menciptakan kita sebagai abid dan khalifah, dan Allah swt telah menyusun hidup kita sehingga kita diberikan peluang untuk memahami ajaran Islam yang mulia ini. Dari sini, kita telah memahami, bahawa syahadah yang kita nyatakan berhbung terus dengan dakwah.Tanpa dakwah, barangkali syahadah kita juga bakal dipersoal. Maka amal dakwah ini kita cintai kerana ia adalah amanah untuk kita, peluang yang Allah swt telah bukakan untuk memasukkan kita ke dalam syurga. Besarnya ganjaran para pendakwah dicatitkan Allah swt di dalam surah Yasin, apabila menerangkan kisah Habib An-Najar, yang telah mendapat 'tiket ekspres' ke syurga, atas sebab dakwah yang dilakukannya. Hanya dengan menyampaikan kebenaran kepada kaum, maka beliau telah terpilih untuk masuk syurga tanpa hisab. SubhanaAllah.

2-Seterusnya, dakwah ini adalah cinta...
Ya cinta dan sayangkan kita pada manusia.. setiap makhluk.. kerana akhirnya kita ini meneruskan risalah dan perjuangan Ar-Rasul SAW yang sangat kita cintai.. Perjuangannya adalah untuk menjadi 'rahmatan lil alamin'... menyebarkan manfaat, menyebarkan cinta dan menyebarkan kasih sayang.
Aku sesekali menemplak diri sendiri, kerana aku mengaku bahkan sungguh-sungguh berusaha untuk kononnya menjadi seorang pendakwah. tetapi, betapa terhirisnya, apabila pernah sekali datang teguran daripada Allah swt, melalui seorang al-akh yang sgt dihormati.

"Adakah kita ini seorang pendakwah, ataupun semata-mata seorang pengurus dakwah?"

Ah.. soalan yang terus saja menampar wajahku yang penuh keegoan.
Benar, bahkan tepat sekali.. Selama ini, aku adalah seorang pengurus dakwah. Aku lihatkan dakwah ini secara mekanikal, dan kononnya strategik. Aku perhatikan pembesaran piramid dakwah, aku risau dan khuatirkan penguasaan bahan adik-adik binaan. Aku resah memikirkan taqwim yang banyak tertangguh, aku sensitif dan sangat peka tentang ruh jihad kumpulan penggerak.

Tapi... apakah aku ini seorang daie?

Tidak wajar, orang yang meng-operasi-kan dakwah, hanya memikirkan perkara di atas, kerana perkara di atas boleh difikirkan oleh sesiapa pun, hatta dia tidak pernah melalui tarbiah sekalipun.
Perkara di atas tidak ubah seperti satu checklist tugasan seorang eksekutif syarikat, yang bertanggungjawab memastikan pengkaderan yang tersusun.

Tapi... apakah itu yang dimaksudkan sebagai daie?

Daie adalah individu yang terbina imannya, sehinggakan kemanisan dan cahayanya memercik kepada sesiapa sahaja disekelilingnya.
Daie adalah pusat rujukan masyarakat tentang isu-isu harian, sama ada isu yang melibatkan masyarakat seluruhnya, atau beberapa individu secara spesifik.
Daie adalah tempat mencurahkan perasaan hati, tempat mengadu permasalahan. Disenangi, dihargai, hadirnya disayangi, perginya terasa kehilangan.

Inilah dakwah yang inclusive...
Tapi, apakah dengan senario seperti ini, maka fasa 'takwinul rijal' berhenti? TIDAK... ia akan terus berjalan, berjalan dengan irama dan melodi yang indah, diserikan dengan kehadiran 'amal inclusive' tadi...

Kerana adalah tidak masuk akal,
Daie itu orang yang berprogram sehingga full setiap minggu, hatta jirannya sendiri tak pernah ditegur salam, diziarah dan saling berkasih sayang.
Tidak masuk akal,
Daie itu orang yang busy nya dengan operasi takwin luar biasa, hatta apabila masyarakat yang bukan dalam rangka takwinnya, tidak langsung dipedulikan.. Bila ada yang dtg bertanya masalah, sang daie terasa berat kerana seolah menerangkan pada non-focus nya, adalah amal dhoif..

Orang yang tidak mengikut liqonya, umpama orang yang tidak layak mendapat peluang merasai kemanisan Islam.Tidak dihiraukannya.. Kerana yang dirisaukan taadi, adalah apakah piramid dkawah berkembang.. apakah itu ini... penuh dengan urusan teknikal dan materialistik..

Daie itu orang yang kuat hubungannya dengan Allah, dan rahmat Allah hadir apabila wujudnya rahmat dengan makhluk...

Wallahua'lam

Sunday, November 23, 2014

Potret Da'wah



Seorang pelukis mengambil berus lukisannya... berhadapan dengannya terbentang sebuah kanvas. Ya, dia akan melukis sesuatu. Dirinya telahpun dikerumuni ratusan manusia yang melihat dengan penuh rasa minat. Semua ternanti-nanti apakah yang bakal dilakarkan; dengan harapan lukisan itu kan memberi satu kesan -  ledakan semangat yang makin pudar.

Itulah sedikit latar suasana di pekan Darul Taqwa. Manusia-manusia disana mencari inspirasi. Tekanan dunia dan arus kehidupan terus menjadikan hari-hari yang cerah, menjadi gelap dan kucar-kacir. Lampu-lampu jalan semuanya tidak lagi berfungsi, rosak barangkali disebabkan penyelenggaraan yang lemah, atau mungkin juga ia tidak lagi menyala hanyalah kerana manusia terlupa di mana suisnya. Kenaikan kos sara hidup, pencemaran luar biasa dan kemarau panjang semuanya menyumbang kepada penurunan mendadak pada kadar kualiti hidup.

Pekan itu seakan menunggu masa untuk ditutup. Kadar kematian sangat tinggi. Mengikut perkiraan, barangkali hanya tiga puluh peratus sahaja anak yang lahir akan terus hidup sehingga umur 25 tahun. Dan barangkali hanya kira-kira 10-15% sahaja daripada kumpulan itu yang akan terus hidup sehingga umur 60 tahun. Populasi pekan Darul Taqwa ada lah beberapa puluh ribu. Tapi daripada angka ini, entah besar mana peratusnya, adalah daripada lingkungan umur 30 tahun kebawah.

Kembali kepada pelukis tadi...
Manusia mengerumuninya kerana mereka mengharapkan satu inspirasi daripadanya
Kehidupan yang terlalu kusam dan memenatkan menyebabkan jiwa menjadi kosong dan berlubang. Badan yang kepenatan, ruh yang kering, senyuman yang melemah, semuanya memerlukan inspirasi. Memerlukan satu 'booster'. Maka mereka berdebar-debar menanti apakah yang akan dikuis-kuis kan oleh tangan sang pelukis tadi

Dalam hati pelukis tadi... tersimpan seribu potret
Fikirannya celaru, potret apakah yang wajar dilukis
Dia sedar peranannya untuk memberi ledakan
Dia sedar manusia kelilingnya seakan lesu, tidak lagi ghairah merancang pembangunan
Apa lagi hanya untuk menyelesaikan masalah lampu tak menyala tiada siapa peduli
Tiada siapa berdiri dan mengambil responsibiliti
Semuanya menunggu... menanti.. seolah-olah Tuhan Yang Maha Kaya akan menurunkan wahyu
Seolah-olah mengharap akan turun Nabi Isa AS untuk menyelesaikan semua masalah mereka..

Pelukis tadi pincang
Apakah dia harus melukis awan-awan syurga
berhias anggur dan permata
untuk memberitahu pada manusia semua
bangunlah, ubahlah sikapmu yang malas dan lemah
supaya nanti kau beroleh syurga
hadiah mahal untuk pejuang yang ikhlas dan kuat

ataupun dia harus melukis neraka
kepanasan api hutomah
bersulam air daripada ainin aniah
Dan hiasan buah-buah tajam dari pohon ad-dhorii'
Supaya timbul rasa takut
Kesedaran untuk segera berubah
Supaya nanti tak diseret ke neraka
dihumban dan diseksa tanpa ada penghujung

Dia masih lagi memegang berus lukisannya
menggerak-gerakkan jari, sambil fikirannya terus berfikir
Bagaimana untuk menginspirasi?
Potensi yang ada pada manusia-manusia ini sangat besar
Kalaulah mereka sedar
Kalaulah mereka bangun dari tidur ini
Dan berhenti menjadi pemalas, dan semakin merasai tanggungjawab dan keutamaan

Pekan ini adalah pekan mereka. Pekan kita.
Mengapa harusnya kau bebankan pada sang pelukis?
Ini semua adalah peranan kita..
Mengapa kau menunggu pelukis untuk memberi inspirasi?
Tolonglah... Pelukis ini pn tidak kurang lemah.. tidak kurang cacat.. Tidak kurang bobrok hatinya..
Dia terasa tertekan.. Mengapa hanya dia yang melukis.. Mengapa hanya dia yang perlu memberi inspirasi...sedangkan dihadapannya ada potensi potensi yang hebat.. mengapa tidak mereka melukis? Mengapa tidak mereka memberi inspirasi? Mengapa mereka hanya menanti..?

Pelukis itu pernah menyepikan diri.. Menyorok dalam alasan.. Supaya tidak perlu melukis..
Tapi ternyata.. period itu adalah period hitam. Seluruh pekan terus bisu tanpa sebarang bunyi. Seolahnya, pekan itu tidak punya ketua.. Manusianya hilang arah tuju.. "Tiada lagi keperluan untuk hidup. Biarlah, kami semua akur untuk tidur.. sehingga pelukis itu pulang.." kata-kata yang terlepas ke telinga sang pelukis.. yang pedih, tajam bahkan terlalu amat menyedihkan..

Pelukis tadi mengesat air matanya.. dan meyakinkan hatinya.. Harapan itu masih ada.. Percayalah.. Ia lalu menanam hasrat.. impian.. Cita-cita
"Aku harus melahirkan lebih ramai pelukis"
Cukup lah aku penat melukis ribuan potret.. Seandainya potret itu hanya dapat memberi makna pada mereka selama beberapa hari atau minggu..
Kerana akhirnya, peranan ini perlu diwarisi.. Disebarkan dan dikukuhkan...

Ya, aku perlukan pelukis. Pelukis yang sanggup berjuang dan mengorbankan kemewahan peribadinya. Kerana aku ingin melukis potret dakwah.
Dengan warna-warni kehidupan





Sunday, September 21, 2014

'Hikmatus Syuyukh' ataupun sebenarnya malas?



Ok.. post ni mgkin sedikit kontroversi. ia hanyalah satu pandangan penulis, dan tiada kena mengena dengan mana-mana individu lain ye.
Dan nota dahi: post ni mungkin sedikit berat. tp sikit je, hehe

Antara kata-kata yang terkenal dalam dakwah dan tarbiah adalah "Hamasatus Syabab, wa Hikmatus Syuyukh". Maksudnya, semangat pemuda, dan kebijaksanaan sheikh/orang yang 'lama'. Selalu dengar? mesti la kot, kata dah famous..

Tapi ada satu part yang rasanya kita kena faham pada kata-kata ni. kalau tak, boleh jadi kita sebenarnya tengah salah faham.

Pertamanya, para duat hendaklah terdiri daripada mereka yang mempunyai semangat yang tinggi. SUPER TINGGI. bukan mereka yang cepat berserah, lembik, malas nak improve diri, akhirnya, menolak mas'uliyah dengan alasan, "Hikmatus Syuyukh...."

Anda rasa pelik? TIDAK. Ini fenomena yang sangat sering berlaku.

"Ana tak boleh akhi. Tak logik untuk ana buat benda tu. Jauh sangat tu. Ni kena suruh orang lain ni. "

"Anta ni semangat semangat je akhi... ana ni dah consider banyak benda, tak possible buat tu.. Hikmatus Syuyukh sikittt..."

Adakah alasan seperti ini wajar diterima...??

Cuba kita ingat kembali...

Sewaktu kita masih 'baru' dalam tarbiah, semangat kita meluap-luap. Kita rasa kita nak lakukan semua amal yang boleh. Nak sangat kerah seluruh kudrat untuk Islam.

Ada tawaran amal, sekelip mata kita jawab, "BOLEH!"
Kena menyampai, "BOLEH!"
Bawak usrah jauh, 4-5 jam travel, "BOLEH!"
Pergi program jauh super, mahal $250, "BOLEH!"

Semuanya boleh.. semuanya penuh dengan optimisma dan semangat yang membara... syurga terasa begitu hampir... sangat hampir..

umpama kisah anas bin an nahdar... yang dapat mencium bau syurga di medan Uhud... begitu 'real'..

Tapi, apa terjadi bila kita dah lama ikut tarbiah? Terasa semakin mulia dan semakin 'high-chance' masuk syurga kah, sampaikan kita semakin 'layak' menolak peluang2 amal?

Dewasa ini, semakin sering terdengar sayup-sayup alasan daripada para daie, bahawa kononnya mereka-lah orang paling busy di dunia. Mereka-lah orang paling x cukup duit. Mereka-lah orang paling pening, banyak masalah dan sebagainya.

Bila diseru untuk beramal, maka terhamburlah jutaan alasan men'justify'kan kenapa mereka tidak boleh....

Dakwah ni dah penat asyik dengar alasan para daie, tahu?

Apa jadi pada ayat Allah swt, "ٱنفِرُواْ خِفَافً۬ا وَثِقَالاً۬"   ?
Firman Allah swt " وَجَـٰهِدُواْ فِى ٱللَّهِ حَقَّ جِهَادِهِ" pula bagaimana?
Apakah kau dah lupa seruan "إِنَّ ٱللَّهَ ٱشۡتَرَىٰ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَنفُسَهُمۡ وَأَمۡوَٲلَهُم بِأَنَّ لَهُمُ ٱلۡجَنَّةَ‌ۚ "  ???

Wahai Ikhwah yang dikasihi....

Dakwah ini jalan perjuangan... Jalan Pengorbanan... Jalan Mujahadah.. Jalan Para Pencinta Syahid...

Kalau kita nak ikut dakwah... semata-mata sebab nak ikut.. supaya orang cakap kita bagus.. dan tak sanggup nak memberi, memberi dan memberi.... kita masih nak hidup seperti orang lain, ada masa banyak, hidup tak serabut, sentiasa cukup rehat dan sebagainya....

Maka barangkali kita tersilap. Kerana orang yang ikut dakwah, patutnya dalam pemikirannya, sudah bersedia untuk hidup susah. Sedia untuk tidak lagi hidup dalam kehidupan yang 'aman, tenteram, stabil'.... sebab matlamat kita akhirat, jadi apa-apa kesusahan di dunia ini terasa amat kecil dan sempit. Jiwa kita meronta-ronta untuk masuk ke syurga.. tak tahan dah duduk dunia ni.

Jiwa kita akan selalu menyanyi dengan ayat-ayat seperti " أَرَضِيتُم بِٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا مِنَ ٱلۡأَخِرَةِ‌ۚ" supaya kita tidak leka.

" نَصۡرٌ۬ مِّنَ ٱللَّهِ وَفَتۡحٌ۬ قَرِيبٌ۬‌ۗ" bisik hati tiap kali berdepan dengan masalah dan kesempitan.

Semuanya kerana kita mendambakan syurga  yang abadi... janji Allah kita semat erat-erat...
 إِنْ تَنْصُرُوا اللَّهَ يَنْصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ

Semua ini hanya dapat dirasai oleh jiwa yang hidup!!!

Dialami oleh hati yang beramal. Roh yang dalam medan perang!



Terutama buat mereka yang baru pulang ke tanah air...
Antum akan merasai satu dilemma yang luar biasa... kata orang, 'adjustment period'... suasana terasa asing.. semua berbeza.. dulu seakan sangat senang beramal.. kini seolah penuh halangan.. belum diambil kira jadual pekerjaan.. tuntutan² peribadi yang lain dsb... Memang mencabar..

Pada masa itu, kita sekali lagi melihat, sama ada fikrah yang terbenam dalam diri al-akh tadi, dapat memandunya keluar daripada fitnah tersebut. Adakah kita akan terus mencabar potensi diri kita, atau kita akan redha dan mengalah... ikut sahaja lah flow yang ada... pasrah sahaja lah.

Memang......
Dakwah ni susah... kalau asyik fikir hamasatus Syabab... penat lah.. mana larat...
Impian kita memang besar, tp potensi kita sikit.. x mampu...


Inilah masanya untuk 'challenge' diri kita. Push diri kita untuk perform extra, better than expected.
Barulah ada hamasatus Syabab..

Akhir sekali.. Jangan lupa firman Allah swt...
مَآ أَنتَ بِنِعۡمَةِ رَبِّكَ بِمَجۡنُونٍ۬

Jangan takut jadi gila. Jangan takut buat kerja banyak. Tak larat, penat, susah.

Jangan takut semua ni!!

Kata Allah, dengan nikmat tuhanMu, engkau ni bukan nya gila pun.


Mampukah kita memperoleh ucapan sebegitu dengan Allah swt?
Dan percayalah... Kita ni tak gila pun

Segila mana pun kerja yang kita tengah buat, super hectic, tak masuk akal etc... ianya tak gila


Dan hanya mereka yang betul-betul 'menjual' diri mereka kepada Allah swt... akan dapat merasai nikmatnya tawakkal.. nikmatnya pertolongan Allah...

Banyak kisah, sesuatu yang luar biasa, tak masuk akal dan sangat mustahil, berjaya dilakukan oleh seorang al-akh.... kerana luar biasanya pertolongan Allah swt pada mujahid² ini..

Akhir kata, Hamasatus Syabab, wa Hikmatus Syuyukh


Jangan lah kita yang baru 20-30 tahun ni, anggap diri kita dah syuyukh dan tak lagi berhamasah.. sedangkan para asatizah, walaupun menjangkau 60-70 tahun, masih lagi penuh dengan hamasah, masih lagi turun riadah bersama kita, masih lagi qiyam dan tahajjud jauh lebih lama dari kita...

Semoga Allah kurniakan kita kekuatan, agar dapat terus melangkah ke arah tujuan

Jzkk

Wallahua'lam
Doakan saya