Kalamullah

Kalamullah

Sunday, November 23, 2014

Potret Da'wah



Seorang pelukis mengambil berus lukisannya... berhadapan dengannya terbentang sebuah kanvas. Ya, dia akan melukis sesuatu. Dirinya telahpun dikerumuni ratusan manusia yang melihat dengan penuh rasa minat. Semua ternanti-nanti apakah yang bakal dilakarkan; dengan harapan lukisan itu kan memberi satu kesan -  ledakan semangat yang makin pudar.

Itulah sedikit latar suasana di pekan Darul Taqwa. Manusia-manusia disana mencari inspirasi. Tekanan dunia dan arus kehidupan terus menjadikan hari-hari yang cerah, menjadi gelap dan kucar-kacir. Lampu-lampu jalan semuanya tidak lagi berfungsi, rosak barangkali disebabkan penyelenggaraan yang lemah, atau mungkin juga ia tidak lagi menyala hanyalah kerana manusia terlupa di mana suisnya. Kenaikan kos sara hidup, pencemaran luar biasa dan kemarau panjang semuanya menyumbang kepada penurunan mendadak pada kadar kualiti hidup.

Pekan itu seakan menunggu masa untuk ditutup. Kadar kematian sangat tinggi. Mengikut perkiraan, barangkali hanya tiga puluh peratus sahaja anak yang lahir akan terus hidup sehingga umur 25 tahun. Dan barangkali hanya kira-kira 10-15% sahaja daripada kumpulan itu yang akan terus hidup sehingga umur 60 tahun. Populasi pekan Darul Taqwa ada lah beberapa puluh ribu. Tapi daripada angka ini, entah besar mana peratusnya, adalah daripada lingkungan umur 30 tahun kebawah.

Kembali kepada pelukis tadi...
Manusia mengerumuninya kerana mereka mengharapkan satu inspirasi daripadanya
Kehidupan yang terlalu kusam dan memenatkan menyebabkan jiwa menjadi kosong dan berlubang. Badan yang kepenatan, ruh yang kering, senyuman yang melemah, semuanya memerlukan inspirasi. Memerlukan satu 'booster'. Maka mereka berdebar-debar menanti apakah yang akan dikuis-kuis kan oleh tangan sang pelukis tadi

Dalam hati pelukis tadi... tersimpan seribu potret
Fikirannya celaru, potret apakah yang wajar dilukis
Dia sedar peranannya untuk memberi ledakan
Dia sedar manusia kelilingnya seakan lesu, tidak lagi ghairah merancang pembangunan
Apa lagi hanya untuk menyelesaikan masalah lampu tak menyala tiada siapa peduli
Tiada siapa berdiri dan mengambil responsibiliti
Semuanya menunggu... menanti.. seolah-olah Tuhan Yang Maha Kaya akan menurunkan wahyu
Seolah-olah mengharap akan turun Nabi Isa AS untuk menyelesaikan semua masalah mereka..

Pelukis tadi pincang
Apakah dia harus melukis awan-awan syurga
berhias anggur dan permata
untuk memberitahu pada manusia semua
bangunlah, ubahlah sikapmu yang malas dan lemah
supaya nanti kau beroleh syurga
hadiah mahal untuk pejuang yang ikhlas dan kuat

ataupun dia harus melukis neraka
kepanasan api hutomah
bersulam air daripada ainin aniah
Dan hiasan buah-buah tajam dari pohon ad-dhorii'
Supaya timbul rasa takut
Kesedaran untuk segera berubah
Supaya nanti tak diseret ke neraka
dihumban dan diseksa tanpa ada penghujung

Dia masih lagi memegang berus lukisannya
menggerak-gerakkan jari, sambil fikirannya terus berfikir
Bagaimana untuk menginspirasi?
Potensi yang ada pada manusia-manusia ini sangat besar
Kalaulah mereka sedar
Kalaulah mereka bangun dari tidur ini
Dan berhenti menjadi pemalas, dan semakin merasai tanggungjawab dan keutamaan

Pekan ini adalah pekan mereka. Pekan kita.
Mengapa harusnya kau bebankan pada sang pelukis?
Ini semua adalah peranan kita..
Mengapa kau menunggu pelukis untuk memberi inspirasi?
Tolonglah... Pelukis ini pn tidak kurang lemah.. tidak kurang cacat.. Tidak kurang bobrok hatinya..
Dia terasa tertekan.. Mengapa hanya dia yang melukis.. Mengapa hanya dia yang perlu memberi inspirasi...sedangkan dihadapannya ada potensi potensi yang hebat.. mengapa tidak mereka melukis? Mengapa tidak mereka memberi inspirasi? Mengapa mereka hanya menanti..?

Pelukis itu pernah menyepikan diri.. Menyorok dalam alasan.. Supaya tidak perlu melukis..
Tapi ternyata.. period itu adalah period hitam. Seluruh pekan terus bisu tanpa sebarang bunyi. Seolahnya, pekan itu tidak punya ketua.. Manusianya hilang arah tuju.. "Tiada lagi keperluan untuk hidup. Biarlah, kami semua akur untuk tidur.. sehingga pelukis itu pulang.." kata-kata yang terlepas ke telinga sang pelukis.. yang pedih, tajam bahkan terlalu amat menyedihkan..

Pelukis tadi mengesat air matanya.. dan meyakinkan hatinya.. Harapan itu masih ada.. Percayalah.. Ia lalu menanam hasrat.. impian.. Cita-cita
"Aku harus melahirkan lebih ramai pelukis"
Cukup lah aku penat melukis ribuan potret.. Seandainya potret itu hanya dapat memberi makna pada mereka selama beberapa hari atau minggu..
Kerana akhirnya, peranan ini perlu diwarisi.. Disebarkan dan dikukuhkan...

Ya, aku perlukan pelukis. Pelukis yang sanggup berjuang dan mengorbankan kemewahan peribadinya. Kerana aku ingin melukis potret dakwah.
Dengan warna-warni kehidupan