Kalamullah

Kalamullah

Sunday, January 29, 2012

Bukankah..




Dalam Al-Quran, Allah SWT telah berfirman:

Bukankah Dia mendapati engkau yatim piatu, lalu Dia memberikan perlindungan? (6) Dan didapatiNya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Dia memberikan hidayat petunjuk (dengan wahyu Al-Quran)? (7) Dan didapatiNya engkau miskin, lalu Dia memberikan kekayaan? (8)
(Ad-Dhuha, 93:6-8)


Latar belakang:
Surah Ad-Dhuha diturunkan dalam keadaan Rasulullah SAW ''kering'', yang mana Baginda terputus wahyu buat seketika waktu, dan baginda diremeh-remehkan oleh Musyrikin, kononnya Allah SWT telah melupakan baginda. Pertamanya, untuk memahami situasi, kita kena cuba merasakan rasa kasih dan cinta yang wujud dalam diri Ar-Rasul kepada Allah SWT. Perasaan kasih dan cinta, yang teramat tinggi dan agung, antara makhluk dan Sang Pencipta. Itulah perasaan baginda, jauh lebih tinggi dari sebarang bentuk cinta lain. Namun, tiba-tiba perasaan cinta itu tidak disapa, di tunggu dan di tunggu sekian hari, namun masih tidak menjengah. Masih bisu. Masih sepi.

Syed Qutb di dalam Tafsir Fil Zilal menyebut keadaan ini sebagai:

"Penerimaan wahyu, pertemuan dengan Jibril dan perhubungan
dengan Allah, merupakan bekalan-bekalan kepada Rasulullah dalam
mengharungi jalan da’wah yang sukar, merupakan air minum di panas yang
terik dalam menghadapi keingkaran......"
"...Apabila wahyu terputus seketika, maka putuslah bekalannya,
keringlah matairnya dan sepi-lah hatinya dari kekasih, dan tinggallah beliau
seorang diri di tengah panas terik tanpa bekalan, tanpa air dan tanpa bau
kekasih tercinta yang biasa dini’matinya. Dan ini menjadikan Rasulullah
s.a.w. begitu sengsara menanggungnya dari segala sudut."


Cuba gambarkan pula kita dalam potret yang sama. Perasaan ditinggalkan. Perasaan keseorangan. Perasaan sepi dan sunyi. Tidakkah ianya sangat memeritkan? Tidakkah ianya sangat pilu dan mendukacitakan? Tidakkah ianya satu gurisan yang sangat dalam? Ya, demikianlah perasaan Baginda. Ditambah pula pedih cuka yang mengherdik dari puak Musyrik, yang memperolok dan memperlekeh perjuangan Baginda. Pada saat itu, apa agaknya kekuatan yang ada dalam diri kita seandainya perkara yang sama dihempapkan pada kita??

Mendung awan...

Maka turunlah ayat-ayat ini, bagi menyegarkan kembali kita, mengingatkan kembali diri kita, tidaklah Allah akan meninggalkan kita terkapai-kapai. Tidak walau sesaat. Dulu Dia-lah yang melindungi kita saatnya kita yatim. Dulu, Dia-lah yang menunjuki kita saatnya kita mencari-cari halatuju. Dulu, Dia-lah yang mengurniakan kita saatnya kita kemiskinan dan tidak punya apa-apa. Ingatkah lagi kita perkara ini?

Bukankah dulu, di zaman Jahiliyah kita, apabila kita dalam bahaya, kita hilang tempat bergantung, kita tidak punya tempat meluahkan masalah, Dia-lah yang menghantar insan yang dipilihNya untuk mendampingi kita, untuk membantu kita, untuk mengurai satu persatu kerisauan kita. Dulu, dizaman Jahiliyah, Dia berikan ini. Takkanlah dalam zaman kita menggalas bebanan dakwah, Dia akan biarkan sahaja kita berkarat dengan masalah tanpa jalan menyelesaikannya. Takkanlah Dia akan tinggalkan kita sepi, biarkan kita tanpa tempat pergantungan dan pengharapan. Loh, mungkin sahaja kita yang terlalu asyik mengharapkan makhluk, sampai melupakan Allah, dan Dia sebenarnya mahu kita kembali menangis dan merintih kepadaNya. Tidakkah Dialah tempat pengharapan dan pergantungan ultimate kita?

Bukankah dulu, di zaman Jahiliyah kita, kita mencari-cari apa yang patut kita lakukan di atas muka bumi. Kita merasakan bosan dengan ritual harian kita yang tidak bermakna. Kita terpinga-pinga, apa tanggungjawab ku? Saat itu, Allah SWT turunkan petunjuk-petunjuk, dipandunya hati kita yang kering dan gersang, dengan mata air yang lazat dan menyegarkan. Dia sentuh jiwa kita dengan kalimat-kalimat cintaNya, Dia halakan kita pada orang-orang yang sama-sama mengingati dan mencintaiNya, untuk kita turut sama merasai tempiasnya. Takkanlah, apabila kita menyatakan keazaman dan kesanggupan untuk berkhidmat untuk agamaNya, Dia tarik semua itu, Dia tutup petunjukNya untukmu, dia sesatkan engkau dalam engkau membutuhkan cahaya dariNya? Mungkin sahaja, ini adalah antara tarbiyyahNya untukmu, siapa tahu?





Benar.. Mungkin tribulasi ini memeritkan.. Tapi percayalah.. Dia tidak pernah meninggalkanmu. Dia tidak pernah meninggalkanmu. Dia tidak pernah meninggalkanmu. Hanya saja, engkaulah yang melupakanNya, tidak percaya pada aturanNya, tidak utuh dan kokoh dengan pengharapan padaNya. Moga kenangan yang pernah dirasai, menjadi pengubat, menjadi penguat, menjadi pengingat untuk kita semua. Ingatlah, Bukankah dulu Dia pernah......



Akhi, percayalah, Dia tidak pernah melupakanmu.




Thursday, January 19, 2012

Saatnya Hatimu mengeluh..




Allah berfirman:
"Barangsiapa yang Allah berikan Hidayah, maka tidak ada sesiapa yang boleh menyesatkannya, dan barangsiapa yang Allah sesatkan, kamu tidak akan dapat mendatangkan seorang pemimpin pun untuk memberinya petunjuk"
(Al-Kahfi, 18:17)

Fruuuuuuuuuhhhhhhhh.........

Allah juga berfirman:
"Allah telah mengunci mati hati-hati mereka, pendengaran mereka, dan penglihatan mereka ada penghadang. Dan bagi mereka azab yang sangat berat"
(Al-Baqarah, 2:7)


Zuurrrggggggkkkk.............

Itulah dia. Saatnya hatimu mengeluh, tanyakanlah padanya. "Apakah Allah sudah tidak mahu engkau mendapat petunjukNya, hinggakan tidak akan ada apa cara pun untukmu kembali segar dalam amal da'wimu. Apakah sudah tidak ada sebarang harapan untuk dirimu, hinggakan Allah telahpun menutup, mengunci mati hati, pendengaran dan penglihatanmu, sehinggakan, tidak ada lagi perkara yang bisa mengecas imanmu?

Akhi, tanyalah hatimu...!! Tanyalah ia..!! Jangan engkau biarkan ia disogok Sang Nafsu, untuk terus menggagalkan dirinya. Tanyalah ia berkali-kali, bertubi-tubi. Ingatlah, syaitan, nafsu, semuanya picisan jika nak dibandingkan dengan Ar-Rahman. Semua mereka tidak akan mampu menggugat dirimu, seandainya engkau dan Ar-Rahman kokoh hubungannya.

Pesan Ar-Rasul:
"Dalam badan ada seketul daging. Baik daging itu, maka baiknya keseluruhan badan, dan sekiranya ia rosak, maka rosaklah seluruh badan itu. Ketahuilah, daging itulah hati"

Semua bertitik pada hati. Saatnya hati itu sudah dibajai dengan dunia, dengan kemewahan, dengan keseronokan, maka mungkin kah ianya mampu kuat untuk menentang kebatilan? Saat hati itu, berselubung dengan dosa yang menghitamkan, menghanyirkan, apakah ada ruang untuk cahaya menembusinya, dan menghidupkannya? Janganlah engkau salahkan apapun atas kelelahan dan kepenatanmu, seandainya masih ada Jahiliyyah yang kau seru, yang kau puja dan kau agung-agungkan, biarpun secara tersembunyi. Percayalah, semua itu, hanya lah akan menjadikan dirimu menginginkan kesenangan, membutuhkan kefasikan. Kunci kepada kekuatan keimanan, kepada kesuburan himmah, adalah tajarrud. Kebebasan. Usahlah berlari dengan rantai-rantai pemberat, ia hanya melambatkan, malah melesukan.

Dan akhi, lihatlah manusia sekelilingmu. Lihat saja kejahilan yang melanda seluruh dunia ini. Saat manusia heboh dengan amalan sia-sianya, bangga dengan dosa-dosanya, mencari-cari arah tujunya, apa kau masih punya kesempatan untuk merengek dan mengeluh? Wahai hati... Jalan ini jalan Sang pejuang, jalan mereka yang hatinya lapang dan bidang. Bukan untuk hati sejempul, yang sekali dihentak terus ghaib. Pandanglah kelilingmu... keluargamu.. Mereka membutuhkan pembawa obor, untuk menunjukkan jalan pulang. Lihat sahaja teman-temanmu, betapa ramai lagi yang karam, yang terkapai-kapai dalam lautan jahiliyyah. Tidakpun mendapat kesedaran, hidupnya punya tujuan. Masing-masing mencipta dan mereka-reka, tujuan kehidupan sendiri. Ummat sedang menderita. Apakah masih layak untuk manusia yang diberi kesedaran untuk bermain-main dengan emosi, dengan syaitan dan nafsunya sendiri??

Firman Allah SWT lagi:

"Yang menciptakan mati dan hidup, untuk Dia menguji kamu, siapakah yang paling baik amalannya" (Al-Mulik, 67:2)

Ya.. tempat untuk beramal, untuk berpenat lelah, untuk perah segala kudrat yang ada tuh, hanyalah antara dua penciptaan ini, dari waktu kita mula dihidupkan, hinggalah kepada waktu kita dimatikan. Itu sahajalah peluang untuk memujuk Ar-Rahim, untuk memasukkan kita kedalam syurgaNya. Itu sahajalah sebenarnya, masa yang perlukan kita memberi segalanya. Selepas itu, segalanya telah tamat. Keperitan, pada waktu itu akan terbuka ikatannya. Akan terlerai. Tamat, sekadar disitu. Dan akan tiba pula masa pembalasan. Yang sakit dan menderita, akan beroleh kenikmatan yang tidak terhingga.

Pesan Rasulullah SAW tercinta:

“Pada Hari Kiamat dibawa seorang penduduk dunia paling nikmat kehidupannya yang menjadi orang ahli neraka. Dia dicelup ke dalam neraka satu celupan sahaja, kemudian dia ditanya: “Wahai anak Adam, pernah engkau melihat kesenangan? Pernah engkau mendapat kenikmatan? Jawabnya: “Tidak! Demi Allah, wahai Tuhanku!”. Lalu dibawa seorang penduduk dunia yang paling derita kehidupannya yang menjadi ahli syurga. Dia dicelup ke dalam syurga dengan satu celupan sahaja, kemudian dia ditanya: “Wahai anak Adam, pernahkah engkau melihat penderitaan? Pernahkah engkau mengalami kesusahan? Jawabnya: “Tidak! Demi Allah, wahai Tuhanku!. Aku tidak pernah melihat penderitaan. Aku tidak pernah mengalami kesusahan”. (Riwayat Muslim).

Lihat? Balasan Syurga nanti, akan menjadi terlalu indah, sehinggakan kesakitan dan penderitaan yang kita rasai sekarang ini, tidak akan terasa pun. Jadi, berhentilah menjadi penat, ingatlah janji-janji Allah. Kesenangan dan kemewahan, semua itu, tunggulah di syurga. Sekarang ini, berlakulah sepertinya kau panglima dalam sebuah peperangan, tiada masa untuk berpangku tangan!

Wallahua'lam






Wednesday, January 11, 2012

Rindu



Astaghfirullah Al Adzim.

Oh Tuhan
Aku meletakkan dahiku di atas tanah ini
Di atas tanah yang mana aku Kau ciptakan darinya
Dalam penuh kehinaan, dari air yang rendah

Oh Tuhan
Aku merayu dengan sepenuh rayuan
Aku meronta dalam penuh penyesalan
Bukalah hatiku. Bersihkanlah kotoran yang menempel padanya
Moga aku dapat kembali merasai manisnya jiwa hamba

Oh Tuhan
Rindu.... Aku benar-benar merindui
Saat dan waktunya
Aku terasa dekat denganMu

Oh Tuhan....
Aku semakin resah
Semakin gundah dan semakin tidak terurus
Kerana dalam hatiku, ada sesuatu yang hilang-Cinta padaMu

Oh Tuhan....!!
Aku merayu
Janganlah ini tandanya Kau palingkan aku dari redhaMu
Hinggakan dalam hatiku, sangat sedikit mengingatiMu

Ya Allah...!!!
Rintihan ini benar-benar hina
Dari jiwa yang penuh noda dan dosa
Entah bagaimana ingin aku persembahkan diriku padaMu

Ya Ghafur..!
Aku akui...
Aku malu andai alpa dan aibku terbuka
Tapi entah kenapa, aku teruskan juga dengan dosa tatkala Kau melihatku...

Ya Hakeem Ya Wahhab
Aku pinta
Moga rindu ku Kau ubati
Dengan kembalinya roh hamba, yang sepenuhnya mencintaiMu

Ya Allah...!!!
Buangkanlah segala dunia yang tinggal didalam hatiku..!!
Didiklah jiwaku akan cintaMu yang hakiki
Aku tidak punya apa-apa selainMu ya Allah.....


Rindu Seorang Hamba

Sunday, January 8, 2012

Selepas satu pekerjaan....



Selalunya, apabila kita telah melalui satu pekerjaan, lagi-lagi sekiranya pekerjaan itu mulia, baik, dan mungkin sukar, kita akan sama ada merasai dua perkara.

Pertama, semangat dan keinginan untuk menambah dan terus meningkatkan lagi pekerjaan itu akan membuak-buak. Momentum tu akan menyebabkan kita semakin kuat dan semakin mahukan perasaan itu. Seolah-olah, nikmat dan kemanisan dalam beramal itu terlalu dahsyat, sehingga kita asyik terfikir dan terdorong melakukannya setiap masa. Umpama anak burung yang menjerit-jerit meminta makanan dari ibunya. Ghairah dan haloba untuk mendapatkannya. Balik dari satu usrah, jiwa akan meronta-ronta mahukan lebih darinya. Pulang dari satu dauroh, menggigil dan terketar-ketar mencari lagi. Pulang dari men-DF seorang, jadi lebih semangat untuk pergi kesana dan kemari. Selepas pulang solat Jemaah, terasa seolah wajib membaca Al-Quran. Inilah dia tarikan Iman, semakin beramal, semakin terasa syurga dan neraka. Sepertinya kisah Anas An-Nadhar, jihadnya di Uhud, himmah dan kesedarannya pada waktu itu, mendorong Anas sehingga dia menjadi sangat ghairah untuk beramal, sehinggalah dia menyeru kepada Sa'd bin Muadh,

"Wahai Sa'd, sesungguhnya aku mencium bau syurga".


Tapi malangnya, bencana pertama untuk orang yang beramal ialah, pasti, PASTI akan datangnya syaitan yang akan membisikkan segala bentuk penyakit. Penyakit yang sangat sukar diubati, penyakit yang mustahil untuk dikenalpasti, melainkan melalui pemerhatian seorang Mu'min yang menyerahkan seluruh jiwanya kepada Allah SWT. Mana tidaknya, Syaitan akan cuba sedaya upaya untuk merosakkan amal kita dengan meniupkan rasa takabbur(merasa besar/hebat), riya'(merasa ingin dilihat), Ujub(merasa ajaib). Kesemua ini, akan menghancur luluhkan keseluruhan amal kita, sehingga tidak berbaki walau sedikit pun. Bayangkanlah, amal sebesar gunung, yang kita harapkan dapat menjadi pemberat timbangan kita di Al-Mizan, untuk menjadi hujah di hadapan Allah untuk membuktikan kita sebagai Abidurahman yang taat dan bertaqwa. Namun, apabila penyakit ini dikenal pasti, maka akan terbakarlah seluruh gunung tadi, hancurlah semua pemberat tadi, dan semuanya akan menjadi Habaan Mansura, habuk dan debu yang berterbangan..!!! Perumpamaannya, umpama sebuah kebun yang didalam sudahpun ada buah-buahan yang masak dan ranum, tapi tiba-tiba datangnya satu angin yang sangat keras, yang membakar dan kepanasan api itu terus menjilat dan mehancurkan terus kebun tadi..!! Oh, alangkah ruginya seandainya ini yang terjadi..!

Dan ada pula orang-orang yang seusai satu amalan baik, satu pekerjaan besar, tiba-tiba hatinya merundum jatuh. Himmahnya lesap terus. Api semangatnya disugah kesejukan air hinggakan yang tinggal hanyalah asap busuk dan kotor. Orang seperti ini, selepas amalnya, dia menjadi makin lesu, habis satu pekerjaan, maka hilanglah dia buat satu jangka masa. Dia bukan tiang-tiang penahan ombak dan badai, tapi dia hanyalah umpama kunang-kunang yang cahayanya muncul sekejap-sekejap. Perasaan yang akan memenuhi dadanya ialah rasa lega dan terlepas dari satu bebanan. Seolah setiap amal pekerjaan yang dilakukan itu, semuanya atas paksaan. Hatinya tidak pernah meridhoi pengorbanan yang dia lakukan. Kesusahan yang ada, semuanya dia harungi tanpa rela dan penuh terpaksa, diiring dengan keluhan dan rungutan.

Penyakit yang kedua ini peritnya lebih jauh dan lebih besar parutnya. Kisahnya umpama mereka yang tidak didatangkan dengan hidayah dan nikmat dalam beribadat. Umpama tanah gersang yang tidak bisa menumbuhkan. Biar jutaan benih pun ditabur, tidak satu pucuk pun yang melihat dunia. Buntu. Apa lagi yang bisa diperbuat? Dia cuba beramal, tapi setiap kali rasa futur dan penat menyerangnya, dia terlalu rapuh untuk menahan kesemuanya. Lantas terus terkulailah dia dalam celah usaha amalannya. Barangkali saja, hatinya belum cukup subur, atau mungkin juga, terlalu besar penutup yang menghalang cahaya dan kekuatan untuk masuk ke dalam hatinya. Firman Allah SWT:



وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَقُولُ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَبِٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِ وَمَا هُم بِمُؤۡمِنِينَ (٨) يُخَـٰدِعُونَ ٱللَّهَ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَمَا يَخۡدَعُونَ إِلَّآ أَنفُسَهُمۡ وَمَا يَشۡعُرُونَ 
 (٩)

Di antara manusia ada yang mengatakan: "Kami beriman kepada Allah dan Hari kemudian", padahal mereka itu sesungguhnya bukan orang-orang yang beriman. (8) Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya menipu dirinya sendiri sedang mereka tidak sadar. (Al-Baqarah, 2:8-9)


Perhatikanlah..!! Allah meletakkan orang-orang yang sebutannya dan apa yang dirasanya berbeza ini sebagai penipu-penipu!! Yakni orang yang pekerjaannya bukanlah dari hatinya, tapi sekadar untuk dilihat beriman/baik/soleh, maka orang-orang ini Allah hentakkan jiwa mereka dengan panggilan penipu. Bahkan, Allah tidakpun tertipu, dan orang tadi hanyalah menipu dirinya sendiri. Tanyalah jiwa kita, andai hati kita tidak pun merasai keinginan untuk maradhotillah, andai roh kita tidak meronta-ronta untuk dipulangkan pada syurga, andai hati kita sentiasa resah walau telah cuba diingatkan pada Allah, maka periksalah..! Periksalah setiap genap sudut diri kita, apakah bintik-bintik dosa dan maksiat telahpun menutup penuh hati kita, sampaikan tidak ditembusi cahaya Allah? Apakah kita sedang ditipu diri kita sendiri? Bongkarkanlah kesulitan hati itu, uraikan satu persatu benang yang berselirat diatasnya. Latihlah dirimu untuk menangis, kerana air mata itulah yang bisa membasuh kekotoran dalam hati. Fikirkanlah segala kenikmatan yang Dia berikan, gambarkan kenikmatan yang ditawarkan pula disyurga. Dan timbangkanlah kerugian terlepasnya tawaran itu, hanya kerana hati kita terlalu hitam untuknya. Beliakkanlah mata menyaksiakan maraknya api neraka. Siksaan yang Allah sendiri tidak mahu berikan pada hambaNya, tapi kita terlau degil dan bongkak sehingga hanya itulah tempat kembali yang Adil untuk kita. Ingatkan diri pada status hamba, pada kehinaan air dan tanah yang mana dengan ia-lah kita diciptakan.

Dan berdoalah.. Tidak ada doa ikhlas yang akan dibiarkan tidak berjawab. Allah sentiasa merindukan hamba-hambanya yang menangis bertaubat penuh kehambaan kepadaNya. Tidaklah sesiapun yang menzalimi diri kita, melainkan kita sendiri. Moga usaha yang berterusan, biarpun sedikit, dapat mensucikan jiwa yang kotor. Moga Dia izinkan kita keluar dari lumpur dosa kepada sucinya keikhlasan. Moga rasa cukup itu tidak pernah menghinggap hati kita, rasa kelazatan itu menguasai syu'ur kita, dan kita menjadi tanah yang subur, hidup dengan basahnya air mata.

Moga Allah membuka pintu-pintu hati kita, untuk merasai dan menlazimi jiwa hamba penuh ketenangan, yang mana usai satu urusan, terus pada urusan seterusnya, dengan penuh kelazatan dan keinginan, dengan momentum yang berkekalan, kerana misi dan matlamat kita hanya satu: Maradhotillah di Firdausi bersama Muhammad SAW.

Aamin.





Tuesday, January 3, 2012

Nikmat Tuhanmu yang manakah...



Beberapa hari lepas, saya telah berpeluang untuk mengikuti satu konferens selama satu hari yang diadakan di London. Tajuknya, Resurrection: Rejoice or Regret. Alhamdulillah, thummalhamdulillah, sangat-sangatlah menyegarkan dan mengingatkan kembali hati yang kian lupa akan hari pengadilan.

Tapi bukan intipati konferens tu yang ingin saya kongsikan. Ada satu perkara yang sangat-sangat menusuk kalbu. Benarlah kata Allah SWT,

لِيُحِقَّ ٱلۡحَقَّ وَيُبۡطِلَ ٱلۡبَـٰطِلَ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُجۡرِمُونَ
".....Dan Allah membenarkan yang Haq, dan membatalkan yang Batil...." (8:8)

Saatnya Allah mahukan Al-Haq itu muncul, maka tidak mungkin satu bentuk kebatilan yang dapat menghalang atau menutupinya. Dan SubhanaAllahi wabihamdih, SubhanaAllahi'Azim, Dialah sebaik-baik perancang, dan Dia berhak mendatangkan hidayah dan kebenaran itu dimana dan pada bila-bila masa sahaja.

Bayangkan, dalam kami semua asyik mendengar taujihan tentang neraka, tentang keperitan dan kesakitan didalamnya, tentang putus asa dan kecewa serta penyesalan yang tidak terhingga orang-orang didalamnya, sedang kami mendengar tentang azab kubur yang menakutkan, teman hodoh berupa amal kejahatan yang akan menghantui, tentang gambaran neraka atau syurga yang diberikan sejak dalam kubur lagi, tentang soalan-soalan mungkar nakir, sedang kami asyik mendengar keselesaan dan keindahan syurga, tentang sungai-sungai lazat yang mengalir didalamnya, tentang bidadari yang rupawan dan buah-buahan, serta makanan-makanan syurga lain yang berada di dalamnya, tiba-tiba ada seorang brother ini naik ke pentas dan membuat pengumuman.

"Alhamdulillah, our Brother David just now just offered his Syahadah"
Takbir, Allahuakbar!

Brother David, yang merupakan seorang technician ie orang menguruskan hal-hal teknikal dewan seperti speaker, lampu dsb, yang sambil-sambil buat kerja tu mendengar talk2 tersebut, telah tersentuh dan telah mendapat hidayah Allah SWT. Dia telah merasai betapa Haqnya kebenaran itu. Hati dan jiwanya pasti meronta-ronta untuk mendapatkan kebenaran, dan apabila kebenaran itu tiba, seolah-olah tidak ada apa pun antara dia dan kebenaran itu. Allahuakbar..!! Demikianlah fitrah manusia apabila berjumpa dengan kebenaran. Apabila datangnya kebenaran itu, maka akan hancur leburlah segala bentuk kebatilan..!

Alangkah terkesannya saya tatkala taujihan diberikan untuk orang lain, orang lain pula yang menghargainya. Cuba kita perhatikan seluruh alam ini... Tidakkah begitu banyak nikmat yang Allah berikan, terutamanya kepada kita Muslim? Tapi siapakah yang benar-benar menghargai nikmat ini? Saya rasa cukup terpukul dengan syahadah yang diucapkan saudara baru kita ini...

Mungkinkah, kita yang terlalu menutup mata, sehingga kita tidak mampu melihat cahaya yang diberikan Allah SWT. Mungkinkah hati kita yang terlalu gelap, sehinggakan kita tak mampu memahami petunjuk-petunjukNya, sedangkan orang yang tidak mengakui Allah sebagai tuhan pun akhirnya tunduk dan menyerah. Mengapakah kita terlalu degil...??

Cuba kita perhatikan semula setiap saat dalam kehidupan kita. Betapa banyak pertolongan dan petanda yang Allah berkan kepada kita? Tidakkah setiap petanda itu kita ambil dan manfaatkan sebagai pengajaran? Berapa kali kita terjun kedalam lumpur dosa, tapi pernahkah Allah berputus asa untuk menarik kita keluar semula kepada cahaya?

Maka, nikmat Tuhanmu yang manakah yang Engkau dustakan...???

Wallahua'lam