Kalamullah

Kalamullah

Saturday, November 12, 2011

Daie itu bukan Hakim..

 

Sukar sebenarnya sebagai seorang daie, kita ingin membersihkan jiwa kita dari sebarang bentuk perasaan. Cukup mudah kita terlanjur menilai tanpa cuba untuk membantu. Kita jadi orang yang menghakimi perbuatan seseorang, kita mula mengkritik itu dan ini. InshaAllah, kalau kritikan dan nilaian itu unsurnya untuk takwin, mungkin ianya akan membawa kemaslahatan. Tapi bagaimana kalau ada antara kritikan itu terlanjur jatuh pada nafsu? Jatuh pada ego? Jatuh pada Dzon? Jatuh pada bisikan Syaitan?


Pernah sekali, dalam satu kisah, Usamah Bin Zaid meriwayatkan,
"Rasulullah s.a.w telah mengutuskan kami dalam suatu pasukan. Kami sampai di Al-Huruqat, suatu tempat di daerah Juhainah pada waktu pagi. Aku berjumpa seorang lelaki, lelaki tersebut menyebut لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ lalu aku menikamnya. Aku menceritakan peristiwa itu kepada Rasulullah.
Rasulullah bertanya dengan sabdanya: Adakah kamu membunuhnya sedangkan dia telah mengucapkan kalimah syahadat لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ Aku menjawab: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya lelaki itu mengucap demikian kerana takutkan hayunan pedang. Rasulullah bertanya lagi: Sudahkah engkau membelah dadanya sehingga kamu tahu dia benar-benar mengucapkan Kalimah Syahadat atau tidak? Rasulullah mengulangi soalan itu kepadaku menyebabkan aku bercita-cita untuk menyerah diri pada ketika itu juga. 


Ada sebuah kisah lagi, kisah Miqdad.
Beliau telah bertanya Rasulullah s.a.w: Wahai Rasulullah, apakah pendapatmu sekiranya aku berjumpa dengan seorang lelaki dari golongan orang-orang kafir, lalu menyerangku dan memotong salah satu dari tanganku dengan pedangnya. Kemudian dia lari dariku dan berlindung di sebalik sepohon kayu, lalu berkata, aku menyerah diri kerana Allah. Adakah aku boleh membunuhnya selepas dia mengucapkan ungkapan itu? 
Rasulullah bersabda: Janganlah engkau membunuhnya. Miqdad tidak berpuas hati lalu membantah: Wahai Rasulullah! Lelaki itu telah memotong tanganku kemudian telah mengungkapkan ungkapan tersebut selepas memotongnya, adakah aku boleh membunuhnya? Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu membunuhnya, sekiranya kamu membunuh lelaki itu, sesungguhnya dia seperti kamu sebelum kamu membunuhnya dan sesungguhnya kamu sepertinya sebelum dia mengucapkan perkataan tersebut. 


Demikianlah dahsyatnya amaran Rasulullah SAW. Baginda melarang pembunuhan ke atas orang yang kononnya masuk Islam kerana takut dibunuh. Kata baginda, 'Aku tidak diutus untuk menghakimi hati manusia". SubhanaAllah.... Dan apakah kita telah membelah dada saudara kita untuk kita sewenang-wenangnya membuat penghakiman untuknya? Tidakkah kita lupa, hanya Allah-lah yang berhak menghakimi seseorang, dan Dia-lah yang Mengetahui segala isi hati. Serahkanlah semua itu kepadaNya.


Kita tidak akan tahu, mungkin sahaja sesuatu yang dilaksanakannya bukan benar-benar kerana Allah, tapi ia adalah langkah ke arah itu. Contohnya, Abu Talhah telah masuk Islam kerana ingin mengahwini Ummu Sulaim. Tapi setelah Islam benar-benar masuk ke dalam hatinya, Abu Talhah sendiri telah mendesak Khalifah untuk menerima dirinya sebagai salah seorang pejuang untuk sama-sama berjihad. Bukti dan tanda kesetiaan dan kasih kepada Allah SWT telah mendahului segala-galanya. Infiru...! Infiru...!


Maka ikhwati fillah sekalian..
Sedarlah kita bahawa kita tidak mempunyai langsung hak untuk mengadili ataupun menghakimi hati manusia. Kita harus menjadi sensitif dan menilai keadaan, tapi jangan sekali-kali menghakimi syurga dan nerakanya seseorang. Dan sentiasa berlapang dadalah, itu serendah-rendah ukhwah yang diharapkan.

Wallahua'lam










Tuesday, November 8, 2011

Hidayah itu, bukan dari kita



Pagi ini mentari muncul perlahan-lahan. Gamaknya, sepanjang hari tidak secerah biasa. Laporan cuaca pun menunjukkan hari akan mendung. Oh, tidak, sepanjang minggu akan mendung tanpa Matahari.

Dan sangat betul kata orang, dalam kemendungan dan kesejukan musim sejuk ini, penyakit futur sangat mudah menghinggap para daie. Kita akan berasa selesa dan ''justified'' untuk berehat. Aku ingin tidur, oh sebab cuaca mendung dan badan pun penat. Dan inilah masanya dimana kita sangat-sangat perlu berjihad melawan nafsu. Kita perlu menentang semua perasaan selain iman. Apatah lagi, dalam keadaan begini, barangkali tak semua yang kita harap dan rancangkan akan berjalan dengan lancar. Tapi tabahlah! Jangan terus patah dan menguncup. Daie harus bangkit dan teguh.

Kadang terasa, tak kira sebanyak mana kita cuba untuk menaikkan semangat dan mengekalkan kesungguhan, hakikat dan realiti yang berada dihadapan kita akan sangat selalu menjunamkan semuanya. Apatah lagi, setelah kita penat membina, sehingga kita sendiri yakin binaan itu telah kukuh, dan kita mula memberi mas'uliyah dan pertanggungjawaban, dengan harapan semua ini akan membina pengalaman dan seterusnya menjadikan binaan tadi lebih kukuh. Tapi semuanya semakin tinggal teori dan angan-angan. Tak pernah disangka, binaan tadi rupanya masih belum bersedia. Masih belum cukup kokoh untuk ditiup angin. Bukan marah, tapi sebenarnya, lebih kepada kecewa.

Mungkin sahaja ada kelompongan dalam diri ini yang menyebabkan keadaan ini. Oh, tidak, pastinya ada kecacatan dalam diri aku sehingga kesannya begini. Astaghfirullah. Ya Allah, janganlah Kau jadikan aku sebagai punca dan sebab kelemahan ini. Tunjukkanlah aku jalan untuk memperoleh rahmat dan keredhaanMu. Kuatkanlah hati dan kobarkanlah semangatku, Ya Rabbal A'lamin.


Friday, November 4, 2011

Sabar dan Kasih




Benar. Hidup ini akan menemukan kita dengan banyak manusia. Dan percayalah, tidak seorang pun manusia yang kita temui, adalah tidak sengaja. Semuanya, sudahpun dalam perancangan Allah SWT. Ya, setiap insan, tidak kiralah orang yang membenci kita, orang yang menganiaya kita, orang yang mengasihi kita, orang yang sering membantu kita, ataupun orang yang ikhlas menyayangi kita sebagai seorang sahabat. Semua ini, tidak pernah sesekali dipertemukan dengan kita dengan tidak sengaja, sebaliknya, semua ini adalah ujian dari Yang Maha Esa untuk kita. Menguji, adakah dengan derita, kita akan kembali menghadap Allah, melutut memohon keampunan, merintih meminta petunjuk. Dan adakah dengan bahagia, kita tidak berpaling, malah kekal melutut kepadaNya, tanda seorang Abid yang setia.


Dan, dalam menghadapi dan menemui manusia dalam kehidupan ini, perasaan yang seharusnya membuak-buak dalam diri kita adalah perasaan sabar dan kasih. Perasaan cinta dan sayang yang amat sangat kepada setiap manusia. Kerana kita tahu, kita sendiri ingin dikasihi dan disayangi, adakah mereka tidak punya perasaan yang sama? Kalau Allah SWT sendiri sifatnya Ar-Rahman dan Ar-Rahim, mengapa kita tidak mahu mengasihi manusia lain? Benar, mungkin ada sifat-sifat yang kita benci dalam diri manusia lain. Kita tidak sukakan sifat yang mencela, sifat sombong, dan sifat-sifat mazmumah yang lain. Tapi itulah gunanya kita menyayangi mereka, kerana kita sedar, kita sangat perlu untuk membantu mereka menyedari keburukan itu dan berubah. Tapi perubahan bagaimana yang mampu kita lakukan, andai tidak ada walau sekelumit rasa sayang.


Dalam melihat keburukan manusia, cubalah pandang kebaikannya. Nabi Yusuf pernah bersama-sama dengan ummatnya, mereka terjumpa satu bangkai Kambing. Semua sahabatnya mengutuk kambing itu busuk, kotor, berulat dan sebagainya, tapi perkataan pertama yang keluar dari mulut baginda, ialah ''putihnya gigi kambing itu''. Demikianlah, akhlak mulia yang dianjurkan. Kita cuba sentiasa melihat bahagian kebaikan, dan jagan terlalu pessimist dengan keburukan yang terhidang. 


Firman Allah:

ثُمَّ كَانَ مِنَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡمَرۡحَمَةِ 
Dan dia termasuk orang-orang yang beriman dan saling berpesan untuk bersabar dan saling berpesan untuk berkasih sayang
Al-Balad; 90:17



Ayuh, kita berkasih sayang~~