Kalamullah

Kalamullah

Friday, May 21, 2010

Aku tidak tahu....



SubhanaAllah.
Setelah hampir 2 dekad dihabiskan dengan perbuatan dan amalan yang sia-sia, Allah Yang Maha Penyayang lagi Maha Pengasihani telah menganugerahkan kita peluang untuk melihat dunia ini sepertimana yang patut kita lihat. Dengan Baseerah.

Tapi dalam kita melihat, kerapkali kita gagal untuk memahami.
Tapi kita angkuh, masih keras dengan pendapat yang rapuh.
Kita memaksa fitrah untuk melihat dari kaca mata yang berkabus.
Kita meminta Haq untuk menurut kata-kata yang kelabu.

Angkuh dan sombongnya kita.
Batu.

Ar-Rasul SAW, Uswatun Hasanah untuk Ummat sepanjang zaman, kini hanya jadi kenangan.
Hanya sekadar satu ikon yang dikagumi, tapi bukan untuk dicontohi.

Akibatnya, kita terlupa ciri yang tidak pernah jauh daripada baginda walau seinci.
Itulah ciri rendah diri, tawadhu'. Jiwa baginda lapang, barangkali selapang dunia yang terbentang, hati Baginda kukuh, barangkali berkali ganda lebih kukuh daripada Gunung pemasak bumi.

Perhatikan sahaja sewaktu turunnya wahyu pertama.
"BACALAH!" seru Jibril
"Aku tidak tahu membaca" balas Muhammad SAW.

SubhanaAllah.

Baginda pernah ditanya, tentang pelbagai perkara, tentang hari kiamat, tentang ciri-ciri Allah dan sebagainya, tapi apa jawapan Baginda?
"Aku hanyalah seorang Nabi, dan aku hanya tahu apa yang telah diwahyukan kepadaku"

SubhanaAllah.

Cantiknya peribada Baginda. Nyatalah sifat tawaddhu' itu aset.
Dan lawan kepada sifat ini, sombong, angkuh, ego, adalah sifat-sifat yang sangat dicari oleh syaitan. Kerana sifat inilah sifat yang ada pada Iblis, sifat inilah yang mengkafirkan sekalian syaitan, sifat inilah yang mengeluarkan syaitan dari syurga, sifat inilah yang menyebabkan anak Nabi Adam saling berbunuhan, sifat inilah yang menyebabkan kaum Nabi Nuh ditenggelamkan oleh Allah, sifat inilah yang mencelakakan Abu Lahab. Yakni, sifat yang menyebabkan seseorang itu merasakan dia 'lebih bagus' atau lebih mulia disisi Allah berbanding dengan 0rang lain.

Dan sungguh, ilmu yang kita pelajari juga adalah ujian.
Ilmu itulah yang akan menguji adakah hati kita sudah bersedia untuk menjadi pembela agama.
Pernah dalam satu muktamar Ikhwan, ISHAB dipuji kerana jumlah ikhwan pada waktu itu sangat ramai. Jawab beliau, "Sesungguhnya ujian Allah itu belum tiba". Nyatalah, pada muktamar berikutnya, jumlah ikhwan merosot dengan mendadak.

Ya para ikhwah.
Bukan semua orang yang mahu membawa Agama ini akan terpilih.
Syaitan itu sangat licik, dengan cucukan jarum-jarum ajaibnya.
Selagi hati ini belum benar-benar tajarrud, maka tunggulah, ujian Allah pasti akan datang untuk menapis mereka yang belum 'layak' untuk membawa agamaNya.

Dengan segala ilmu yang kita pelajari, hati akan dapat melihat.
Tapi dengan perkara yang sama jugalah hati akan hilang penglihatan.
Benarlah, kata orang, Ilmu itu cahaya.
Tanpanya, mana mungkin kita dapat melihat.
Tapi seandainya mata ini didedahkan dengan cahaya, melebihi had yang sepatutnya,
maka mata itu akan buta. Buta yang tidak dapat melihat lagi. Selama-lamanya.
Bukan buta kerana tiada cahaya. Tapi kerana sudah hilang.
Insan yang hilang hatinya, mana mungkin dapat memahami kalimat-kalimat Tuhannya..

"Allah tidak akan membiarkan orang-orang beriman dalam keadaan kamu sekarang ini, hingga Dia membezakan antara yang baik dan buruk."
(Ali Imran, 3:179)

Allah akan menapis, dan mereka yang jiwanya lemah, akalnya lemah, jasadnya lemah, yang asyik ingin dimanja, yang asyik merungut sentiasa, yang mencari alasan setiap saat, yang asyik penat, yang suka dunia, dan jutaan lagi sifat-sifat pelik, yang tidak sepatutnya ada pada seorang muslim, seorang daie, maka tanyalah diri kita, selama mana kita mampu bertahan.

Janji Allah, orang yang tidak tajarrud, pasti akan dibezakan dengan orang yang 'layak' untuk membawa Agama penyelamat ini.

Wahai para duat sekalian.
Kita ini penyeru manusia kepada Tuhan.
Bukan tempat adanya semua jawapan.
Janganlah pamerkan egomu,
seandainya tidak tahu, katakanlah
"Aku tidak tahu..."
Rendahkan jiwa, kerana itu adalah lebih baik bagi kita.

Jom, perbaiki diri, bersihkan hati, ikhlaskan niat.
Ini semua untuk Allah. Bukan untuk diri kita sendiri.
Bukan untuk kita. Tapi untuk Allah.

Selagi belum sampai syurga, katakanlah, ujian Allah masih belum tiba.

Saturday, May 15, 2010

Ini untuk Aku


Berlalu sudah tirai-tirai manik yang menyelingkup ruang pentas.
Semua mata berperosokan melihat.
Ya, pentas sudah terbuka.
Kini giliran aku.

Aku pernah seketika dikerumuni semangat
Diusung kudrat, padu hentakanku.
tapi itu waktu dulu
Waktu tirai masih terkatup susup

Ah, tepukan sudah bergemuruh
Semua mata meliar mencari keajaiban
Yang kononnya bakal dipertonton
Wahai yang disana, sudahkah kamu bersedia?
jerit suara dalam diri, seolah memberi misi.

Mana mungkin jawabku tidak
jasadku sudah terpampang, juri sudah mula menulis
Hasrat dan cita-cita juga tidak pernah aku lupa
Cuma jiwa, belum tentu bergema.

Ya, aku tidak mungkin boleh menolak
Ini peluang untukku
Walaupun ia bukan yang aku harapkan
Tapi aku percaya inilah untuk Aku.

Friday, May 14, 2010

Syurga dan Neraka....


“Hari Akhirat yang tiada guna lagi harta dan anak pinak, melainkan orang yang bertemu Allah dengan Qalbun Saleem (hati yang sejahtera)” (26 : 88-89)

Ikhwah Akhawat,

Ada sungai-sungai yang mengalir di syurga. Ia mengalir di bawah kita, bukan di tepi-tepi kita seperti di bumi. Alangkah indahnya, lebih indah dari Istana Puteri Balqis. Ada sungai susu, ada sungai arak yang murni, ada sungai madu. Tetapi, susu, arak dan madu di sana lebih lazat berbanding di sini. Juga, ada mata air yang mengalir. Indahnya pemandangan di sana. Dengan pakaian sutera halus yang hijau serta gelang yang dibuat daripada perak yang lebih hebat dari mana-mana cincin perkahwinan di dunia, kita pula akan berehat dan duduk bersandar di bantal-bantal yang empuk, permaidani-permaidani telah terhampar, dilayani oleh pelayan-pelayan yang sebaya dan sangat menarik. Tiada lagi terik matahari, tiada lagi sejuk yang melampau. Seolah-olah semuanya berkhidmat untuk kita. Kita mahukan apa sahaja, mintalah. Ia akan datang. Petik saja buah-buahan dari pohon. Subhanallah. Bidadari dan bidadara akan bercengkerama di sekeliling kita. Ya, ada biadadari khas untuk Umar al-Khattab. Berdahi besar, berkulit hitam manis, bawah matanya berwarna biru, atas matanya berwarna merah. Malah, sangat pemalu, duduk berasingan di saat-saat bidadari lain sedang bercengkerama. Kita akan hidup dengan pasangan cinta kita. Si isteri akan tinggal bersama suaminya yang terakhir ketika hidup di dunia. Bukan soalnya kita akan tinggal dengan siapa. Soalnya, ada tempatkah untuk kita di taman-taman hijau itu? Mereka akan melayan kita dengan gelas-gelas dipenuhi air. Air dari mata air bernama Salsabil. Gelas itu tidak sama dengan gelas sekarang. Kita akan makan dan minum, tapi bukan untuk menghilangkan lapar dan dahaga. Kita makan dan minum, semata-mata untuk makan dan minum. Kebun-kebun milik kita, anggur-anggur adalah kepunyaan kita. Tidak perlu takut kalau terlambat ke Perang Tabuk. Kerana, tiada perkara-perkara tidak berguna di sana. Tiada cemburu, tiada marah, tiada hasad dengki, tiada kezaliman dan tiada penindasan. Yang ada hanya kenikmatan, kegembiraan, ketenangan dan kebahagiaan. Di sana, kita akan menikmati kelazatan nikmat-nikmat syurga. Subhanallah. Melihat wajah Allah, muka kita akan berseri-seri. Siapa yang tidak suka melihat wajah seorang Kekasih? Ahh, rindunya kita pada kampung halaman itu.

Namun…ada air mendidih dan bernanah di neraka. Itulah air kita di neraka. Pernah ambil dan belah mata lembu? Mungkin seumpama itulah air bernanah. Malah di neraka, ia lebih teruk lagi. Makanan kita pula adalah pohon-pohon berduri, yang tidak menggemukkan dan tidak menghilangkan lapar. Kalau sekarang terkena duri pon sudah sakit, apatah lagi saat ia menjadi makanan kita di sana. Ubun-ubun kita akan ditarik lalu dihumbankan ke dalam neraka. Lalu, kita akan memanggil rakan-rakan kita. Namun, Allah memanggil malaikat Zahbaniah untuk menyeksa kita. Astaghfirullah. Juga, ada ramai penjaga kita, yang mengintai-ngintai kita. Malaikat Malik sendiri mempelawa kita ke neraka dengan muka yang bengis. Neraka membara, kerana menahan marah. Pernah tengok orang yang terlalu marah tetapi ditahannya? Neraka marah kerana kita telah menolak kebenaran Tuannya, Kekasihnya. Api-api neraka menyala-nyala dan tersembur-sembur setinggi istana. Ahh, besarnya. Kitalah bahan bakar api neraka. Astaghfirullah. Fira’un, Abu Jahal, jin, kala jenking dan haiwan-haiwan berbisa adalah peneman kita. Abu Lahab juga ada di sana. Isterinya turut sama, membawa kayu bakar sambil di lehernya ada tali dari sabut yang dipintal. Api neraka yang membakar kita itu sangat panas. Itulah Hawiyah. Tahukan kita apa itu Hawiyah? Api neraka itu akan membakar sampai ke hati, saat-saat kita terikat di tiang. Itulah Hutamah. Apakah belum pernah sampai kebenaran kepada kita? Mengapa kita masih menolak? Ahh, seksanya. Kita minta untuk dimatikan, tetapi sungguh jawapan Allah, kehidupan di neraka itu kekal abadi.

Ikhwah Akhawat, mari sini sebentar…

Untuk siapa syurga dan neraka itu? Untuk orang lain kah? Neraka itu untuk orang lain? Sungguh, syurga dan neraka juga adalah untuk orang beriman, untuk orang yang berdakwah, untuk KITA.

Ikhwah Akhawat,

Sebab itu dakwah bukan sekadar maratib dan mihwar, marhalah dan wasilah. Ia juga bukan sekadar ukhuwwah dan usrah, mahupun dakwah fardiah dan planning. Ayuh, bicaralah juga tentang Syurga dan Neraka.

Wahai diri, hambalah! Wahai akal, luruslah! Wahai hati, ikhlaslah! Wahai mata, menangislah!

WAHAI IMAN, GETARLAH!

with love,

Akhi Ammar

**dipetik dari blog Akh Ammar Roslizar


Jangan sangka disebabkan kita bergelar 'daie' dimata manusia, maka kita sudah bebas dari perhitungan akhirat.

Jangan sangka kita nie layak untuk melupakan tanggungjawab sebagai HAMBA, kerana hakikatnya status itu tidak akan hilang sampai bila-bila.

Jangan sangka diri sendiri itu mulia, disebabkan kita ini HINA, datang dari air yang hina, dan ISLAM itu yang memuliakan kita, tapi sesaat kita rasa diri sudah mulia, maka itulah saat kehinaan itu menimpa, dan kekal selamanya.

Astaghfirullah.

Mode: Muhasabah.

Tuesday, May 11, 2010

Ghuraba'


SubhanaAllah.
Ceramah pendek yang sangat terkesan.
Ghuraba', yang tajarrud itu pakaian mereka, akan berasa senang untuk menjadi 'asing'.
Lihatlah, dengarlah, dengan mata hati...
=)





Wallahua'lam

Sunday, May 9, 2010

Bila hidup dihias alasan...



Hidup ini ternyata satu tempoh ujian
Untuk menilai kita hamba kepada Tuhan

Yang telah menciptakan mati dan hidup untuk menguji antara kamu siapa yang paling baik amalannya.
(Al-Mulk, 67:2)

Sungguh, kalaulah kita benar2 diberi peluang untuk benar-benar memahami bait2 kalimat ini, nescaya akan sibuklah setiap insan atas muka bumi ini, dalam usaha merebut2 beramal kepadaNya.

Misalannya, dalam satu pertandingan menulis, yang mana pemenangnya adalah orang yang berjaya menulis paling banyak perkataan. Yang mana tempoh masanya adalah mula dari hirupan nafas yang pertama, sehingga helaan nafas yang terakhir.

Adakah antara peserta yang akan berhenti sekejap bersembang2, minum kopi, etc?
Adakah antara peserta YANG INGIN MENANG akan tidur dulu berehat, konon-konon penat?
Adakah antara peserta YANG SANGAT-SANGAT PERLU MENANG akan melihat sahaja tanpa berusaha menulis?

Atau mereka semua akan terus menulis, menulis dan menulis?
tanpa berhenti, walau sejenak?

Kalaulah kita benar-benar memahami harga syurga itu.
Kalaulah kita dapat menilai nikmat Ridho Tuhan itu.
Maka kitalah akan jadi orang-orang yang sangat ingin menang.
Orang-orang yang sangat-sangat perlu menang.
kerana dengan tidak menjadi orang yang menang,
kita telah memilih untuk kalah,
dan menjadi dari golongan Mukhsirin.
Nauzubillahimindhalik.

Namun sukarnya kita memahami realiti.
Bila hidup ini berumbikan alasan.
Tak mampu, belum bersedia, tak cukup lagi,
Tengah busy sekarang nie, inshaAllah kemudian ye,
dan jutaan lagi alasan.

Dan yang lebih pedihnya.
Setelah selesai satu alasan,
alasan lain pula yang akan diguna.
Kalau dulu sibuk, sekarang letih, kena rehat dulu.
Kalau dulu tiada masa, sekarang nak buat perkara lain dulu.
Itulah kita.
Belum memahami makna kehidupan
Sebagai pengembara, ghuraba jalanan, jundi Tuhan.

Ketahuilah.
Hanya ada 2 pilihan.
Islam, atau Jahiliah.
Berjaya, atau gagal.
Menang atau kalah.
Pejuang, atau penentang.
Itu sahaja.

Jangan biarkan alasan
Mengaburi pilihan.
Kerana nanti, sampai masa, wisel akan ditiup
Masa akan tamat.
Jumlah perkataan akan dikira
Oleh Hakim yang Maha Bijaksana.

Selepas pertandingan ini,
tidak akan ada pertandingan lain lagi.
Inilah satu-satunya.
Untuk kita dari Dia.
Maka, pilihlah.

Thursday, May 6, 2010

Si Miskin



Bismillahirahmanirrahim

Firman Allah dalam surah Al-Fatir, ayat 15.

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّاسُ أَنتُمُ ٱلۡفُقَرَآءُ إِلَى ٱللَّهِۖ وَٱللَّهُ هُوَ ٱلۡغَنِىُّ ٱلۡحَمِيدُ

"Wahai manusia, kamu(jamak) miskin(jamak) kepada Allah. Dan Allah, Dialah Maha Kaya, Maha Terpuji.
(35:15)


Nak taknak, kita kena empunya satu kesedaran, yang kita ini miskin. Miskin yang tak punya harta, jauh sekali kaya-raya. Bukan setakat tak punya walau seurat benang, malah tubuh yang dihuni ini juga bukan milik kita.

Benar, mungkin ramai yang mengeluh, sudah bosan mendengar bait-bait sebegini. Perkataan-perkataan yang mengajak kita untuk melihat kembali diri. Maklumlah, jiwa senantiasa mengaku kenal seluruh anggota. Perasaan ego yang menggunung, yang senantiasa mengaum mengaku tahu semua perkara. Tapi percayalah, disebalik kalimat ini, ternyata terselindung satu maksud yang sangat dalam, yang sangat tajam.

Maksud yang sebenarnya jika diamati, akan mene
Inilah sikap kehambaan. Jiwa yang akan tenang tatkala ribut melanda, bila ia faham status 'fuqara'. Ketahuilah, kita ini tidak punya apa-apa. Tidak walau apa sekali pun. Langsung.
Maka apakah yang kita rungutkan?
Maka apakah yang kita kesali?

Sudahkah kita 'tanggalkan' dunia dan seisinya dari jiwa yang meronta tak tertahan derita?

Sudahkah kita 'cantaskan' cinta selain dari Allah dan RasulNya?

Sudahkah kita?

Atau lebih tepat, PERNAHKAH kita?

Sikap Tajarrud. Suci dari sifat-sifat dan keinginan selainnya.
Inilah mesej dalam kalimat ini.
Seorang yang miskin seharusnya sangat menghargai.
Apatah lagi jika pemberian yang diterima adalah sebaik-baik hadiah.
Pernahkah kita berjumpa dengan orang miskin yang bila diberi makanan yang paling baik, dimintanya pula makanan-makanan lain?
Kalau ya, apakah kita suka akan tabiatnya itu?

Allah berfirman lagi dalam surah Al-Baqarah ayat 57-61. Menerangkan kaum Nabi Musa yang tidak bersyukur dengan hadiah pemberian Allah. Mereka mendapat sebaik-baik makanan, tetapi mereka meminta makanan2 lain. Nyatalah mereka ini orang-orang yang tidak bersyukur, dan mereka juga telah hilang daya menilai sesuatu perkara. Apa balasan yang Allah berikan kepada mereka? Ha, lihat ayat ini.

وَضُرِبَتۡ عَلَيۡهِمُ ٱلذِّلَّةُ وَٱلۡمَسۡڪَنَةُ وَبَآءُو بِغَضَبٍ۬ مِّنَ ٱللَّهِ‌ۗ ذَٲلِكَ بِأَنَّهُمۡ كَانُواْ يَكۡفُرُونَ
.....Dan mereka ditimpakan ditimpakan dengan kehinaan dan kepapaan dan sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan Allah SWT. Yang demikian itu adalah sebab mereka kufur....

SubhanaAllah. Maha dahsyat pembalasan dariNya.
Disebabkan mereka ini meminta perkara lain setelah diberikan sebaik-baik kurniaan.
Adakah kita yang miskin ini masih punya cita-cita untuk meminta pelbagai kurnia?
Siapakah kita sebenarnya?
Dasar tak sedar diri hamba miskin hina!

Kenalkah kita dengan siapa yang berstatus Ghaniyyun Hamid itu?
Dialah Tuhan Langit dan Bumi.
Yang menciptakan manusia dari setitis air!
Yang menciptakan siang dan malam!
Yang tidak ada satupun, biar sekecil lalat, senipis kepak nyamuk sekalipun
Adalah milikNya.

Kalau seorang miskin akan berasa terhutang budi pada si kaya yang memberinya makanan
Maka ketahuilah, perasaan hamba melebihi perasaan ini!!

Kalau seorang anak kecil berasa sayang pada ayahnya yang senantiasa bersama dengannya
Maka ketahuilah, perasaan hamba melebihi perasaan ini!!

Ya, sedarlah.
Wahai si miskin
Jangan kau berangan tak tentu hala
Allah sudah beri kau kurnia paling besar
Allah sudah beli hidup engkau dengan syurga
Yang hidup itu sebenarnya bukan pun milikmu.

Apakah kau tidak mengerti?

Monday, May 3, 2010

Masih belum cukup

Pernahkah kita menjerang air?

Bayangkan, air yang diletakkan dalam satu periuk bewarna hitam.

Diletakkan pula diatas api untuk dididihkan.

Setelah seberapa lama, kita yang memerhati dari jauh mendapati masih belum wujud wap2 air yang keluar.

Apakah layak kita untuk mengatakan air itu takkan masak?





Besar kemungkinan, air itu sudahpun berbuih-buih tanda hampir masak. Hanya masa yg membezakannya dengan wap2 air stim.
Tapi kita yg memerhati dari jauh, manakan kita kan dapat melihat air itu bergelojak dari luar periuk hitam itu. Kita hanya dapati, wap air belum keluar. Tapi andai pada waktu itu kita padamkan api tanda putus asa, maka air yg sudah bergelojak itu kan hilang panasnya. Maka tidaklah ia akan menjadi wap air, jauh sekali setelah api itu dipadamkan.

Jadi ketahuilah, selagi wap air belum keluar, maksudnya belum cukup syarat untuk wap itu keluar, bukan tanda air xkan masak. Mungkin masa, mungkin api kurang kuat, atau apa shj.
Belum cukup.